Apakah yang dimaksudkan dengan botol susu yang selamat? Pernahkan anda terfikir ciri-ciri apakah yang menentukan suatu botol susu bayi itu selamat digunakan?
Tentu perkara ini membingungkan ramai kalangan ibu bapa. Masih ramai yang sekadar memerhati rekabentuk botol susu yang menarik dan comel semata-mata apabila melakukan tinjuan pemilihan botol susu di pasaraya. Walhal, terdapat beberapa ciri lain yang lebih penting untuk dipertimbangkan sebelum anda memilih botol susu yang tepat dan selamat digunakan oleh bayi.
Sebelum membuat keputusan membeli botol susu pilihan hati, mari kita semak satu persatu ciri-ciri botol susu bayi yang selamat untuk digunakan. Info ini kami kongsikan supaya ibu bapa tidak hanya mementingkan rekabentuk dan warna botol susu semata-mata. Ini kerana, botol susu dengan warna dan rekabentuk yang menarik belum tentu selamat digunakan bayi. Sebaliknya pertimbangkan beberapa ciri lain yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Bebas Bahan BPA
Apa itu bahan BPA? BPA merupakan bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan produk plastik PC termasuklah botol susu di mana ia menghasilkan ciri keras dan lutsinar.
Pada tahun 2011 pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengharamkan dan menarik balik penjualan botol susu polibikarbonat (PC) yang mengandungi bahan Bispehnol Z (BPA).Tindakan pengharaman ini bukan sahaja dilakukan oleh Malaysia. Bahkan beberapa negara maju lain seperti Jerman, Perancis, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat juga turut melakukan perkara yang sama.
BPA didakwa boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon badan bayi sekaligus menjejaskan sistem tubuh bayi. Kesan penggunaan botol susu yang mengandungi BPA adalah bersifat jangka panjang. Kesannya akan dapat dilihat apabila bayi mula membesar dan memasuki alam dewasa. Mereka lebih terdedah kepada risiko penyakit kanser, kemandulan dan lain-lain penyakit kritikal.
Cara Mengenali Botol Susu yang Mengandungi BPA :
- Botol susu sangat keras dan bersifat lutsinar
- Kod kitar semula pada botol iaitu nombor 7, nombor 7 dan PC serta nombor 7 dan ‘Other’
Perlu diingatkan bahawa nombor 7 bukan merupakan kod bagi PC sahaja. Ia juga merujuk kepada kod bagi lain-lain plastik (others) termasuk PC.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Botol Susu Gelas
Botol susu gelas adalah botol susu yang paling selamat digunakan. Ia amat dicadangkan bagi ibu bapa yang ingin membeli botol susu bayi yang 100% selamat untuk bayi mereka.
Walaubagaimanapun kerana sifat kaca yang mudah pecah ramai ibu bapa yang kurang berminat memilih botol susu gelas yang ada di pasaran. Sifatnya yang berat juga menjadi faktor mengapa ibu bapa tidak cenderung memilih botol susu kaca.
Botol susu gelas bebas tidak seperti botol susu plastik di mana ia bebas dari bahan BPA. Tidak seperti botol susu plastik, susu yang dimasukkan dalam bekas kaca tidak akan mengalirkan atau memindahkan sifat-sifat kaca atau plastik ke dalam susu yang diminum. Keadaan ini menjadikan botol susu kaca lebih selamat terutama apabila susu dalam keadaan panas atau suam.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Tahan Karat atau Stainless Steel
Jika anda mencari botol susu yang tidak mudah pecah, pilihan botol susu tahan karat sememangnya sesuai untuk bayi anda.
Botol susu stainless steel kini menjadi satu trend baharu bagi versi botol susu masa kini. Semakin ramai ibu bapa menyedari kelebihan botol susu stainless steel sehingga ramai yang mula beralih kepadanya.
Sifatnya yang tahan karat dan tidak mudah pecah menjadikan ia selat untuk dipegang oleh si comel. Selain itu, ia juga dapat menyimpan susu dalam keadaan suam untuk jangka masa lebih lama. Jadi anda tidak perlu berulang kali menukar menyusukan bayi.
Botol susu tahan karat juga lebih bersifat mesra alam yakni lebih selamat untuk alam sekitar kita. Bukan sahaja selamat untuk alam sekitar, ia juga tidak mengandungi sebarang bahan yang memberikan kesan terhadap kesihatan kanak-kanak.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Puting Botol Diperbuat Daripada Bahan Silikon
Setiap botol susu yang terdapat di pasaran dilengkapi bersama puting susu. Pastikan material puting susu tersebut jenis yang selamat iaitu diperbuat daripada bahan silikon.
Puting silikon amat tahan kepada kepanasan yang tinggi. Ciri ini membolehkan anda melakukan proses sterilisasi pada puting susu sama ada dengan menggunakan mesin steril, merebus dalam air panas atau dalam ketuhar gelombang mikro. Ia bersifat getah yang mana lebih fleksibel apabila dimasukkan dalam mulut bayi.
Ciri ketahanan pada puting silikon juga menjadikan ia tidak mudah terlerai atau rosak apabila bayi menggigit. Bayi akan terhindar daripada tercekik akibat tertelah sisa puting botol yang pecah akibat gigitan bayi.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Saiz Lubang Putih Menentukan Aliran Susu
Pilihan puting susu di pasarang mempunyai saiz yang berbeza-beza mengikut peringkat umur bayi dan saiz botol. Lubang puting susu bagi bayi yang baru lahir semestinya tidak sama degan saiz lubang puting dengan bayi yang sudah mampu meminum susu botol dengan sendiri.
Saiz lubang puting menentukan kelajuan aliran air susu yang masuk ke dalam mulut bayi. Aliran susu yang masuk ke dalam mulut bayi baru lahir mestilah perlahan. Untuk itu, anda memerlukan saiz lubang puting yang paling kecil supaya bayi sempat menelan aliran susu yang masuk ke mulut.
Apabila bayi anda semakin membesar dan sudah mampu untuk minum dan memegang sendiri botol susu, maka anda boleh menukar putin dengan saiz lubang yang lebih besar. Semuanya bergantung kepada tahap umur si comel.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Anti-Kolik
Kolik merujuk kepada kembung perut di kalangan bayi. Faktor makanan adalah punca utama bayi menghidap kembung perut.
Namun, faktor botol susu yang tidak sesuai juga menjadi punca bagaimana angin boleh berkumpul dalam perut bayi sehingga menyebabkan mereka rasa tidak selesa, sakit dan seterusnya menangis.
Untuk mengelakkan bayi terkena kolik, anda memerlukan puting susu dengan tambahan ciri anti-kolik. Ia mencegah pengambilan udara masuk bersama ke dalam perut bayi semasa menghisap. Ciri anti-kolik ini boleh didapati sama ada pada puting susu atau pada botol susu.
Ciri-Ciri Botol Susu Yang Selamat : Puting Ortodontik
Sekiranya jenis puting susu yang tidak betul digunakan untuk tempoh masa yang lama, ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap gigi dan gusi bayi. Kebanyakan ibu bapa lebih memilih puting susu tradisional kerana harganya lebih murah berbanding puting susu ortodontik.
Selepas ini anda boleh pertimbangkan puting susu ortodontik kerana ia dicipta untuk menggalakkan pembentukan gigi yang sihat. Puting ortodontik direka untuk mencegah gusi dan gigi lembut bayi anda daripada rosak.
Sekiranya bayi anda baru memasuki fasa tumbuh gigi, penggunaan puting ortodontik adalah alternatif terbaik. Bentuk putingnya disesuaikan mengikut gusi seorang kanak-kanak. Apabila puting dihisap, puting akan meregang sama keadaannya seperti menghisap puting ibu.
Pilihan Editor :