Rata-rata peminat filem yang menonton di panggung wayang akan memilih tiket untuk tontonan umum di dewan tayangan standard kerana harganya yang lebih murah. Untuk menonton filem berdurasi sekitar dua jam pada harga RM8.00 sehingga RM18.00 dengan tempat duduk yang agak selesa, skrin yang besar dan sistem bunyi yang memuaskan, kebanyakan penonton sudah berpuas hati dengan tiket yang dibeli pada harga standard.
Dengan tahap gaya hidup penonton yang gemar mencuba pengalaman berbeza saat menonton filem kegemaran mereka di panggung wayang, rangkaian panggung wayang di Malaysia seperti TGV Cinemas dan Golden Screen Cinemas mula membangunkan pilihan dewan tontonan selain daripada harga standard sejak dua tahun kebelakangan ini. Antara kelebihan ketara yang ditawarkan ialah teknologi skrin paparan yang lebih canggih, sistem persekitaran audio yang lebih memuaskan penonton dan tempat duduk lebih selesa dengan gaya mewah.
Mari kita lihat beberapa kelas dewan tayangan filem yang ditawarkan dalam rangkaian panggung wayang utama di Malaysia selain daripada kelas standard 2D. Bagi anda yang tidak kisah melaburkan lebihan duit untuk menikmati pengalaman unik sewaktu menonton wayang, berikut ialah 8 kelas panggung wayang yang anda boleh nikmati.
1.THX
Dewan tayangan THX menyediakan rekabentuk dewan tayangan yang berbeza dari segi keluasan bilik tayangan dan pengalaman audio yang lebih memukau. Sistem audio pembesar suara dalam dewan tayangan diintegrasikan bersama rekabentuk dalaman dewan lalu menghasilkan pengalaman bunyi yang lebih unik dan memuaskan. Sistem pengasingan bunyi menghasilkan persekitaran dalam panggung yang lebih akustik ke telinga penonton. Anda juga akan merasai keselesaan dari segi penyediaan tempat duduk yang selesa serta ruangan dewan yang lebih luas.
2. DOLBY ATMOS
Pengalaman sistem audio yang mengelilingi penonton semasa dalam dewan tayangan. Penonton akan merasai pengalaman menonton yang lebih dramatik dengan kesan sistem bunyi dinamik yang dihasilkan. Sistem pembesar suara mengelilingi bahagian kiri, kanan dan atas dewan. Ia membekalkan sehingga 64 pembesar suara dalam sebuah dewan untuk sistem bunyi yang lebih memuaskan penonton.
3. LUXE
Pawagam bagi penonton yang menyukai gaya hidup ekslusif, mewah dan selesa. Rekabentuk tempat duduk penonton adalah daripada kerusi baldu berwarna merah lengkap dengan meja kecil untuk anda meletakkan hidangan seperti minuman dan kotak popcorn. Tempat merehatkan tangan pula lebih luas untuk anda bergerak apabila duduk sebelah menyebelah dengan penonton lain. Juga disediakan tempat duduk untuk pasangan di mana anda boleh duduk bersebelahan tanpa pembahagi di bahagian tengah. Jarak tempat duduk depan dan belakang juga luas untuk keselesaan semasa meregangkan kaki. Untuk pengalaman tontonan pada skrin, projektor digital sepenuhnya digunakan untuk kepuasan menonton terutama apabila anda menikmati filem 3D yang mempamerkan paparan imej lebih tajam dari pelbagai sudut. Hanya terdapat di rangkaian
4. Gold Class
Dewan Gold Class menawarkan pengalaman menonton berkelas tinggi dari segi layanan menonton, kemudahan dan semasa berada di dalam dewan. Gold Class menyediakan kemudahan lounge dan tandas khusus bagi pemegang tiket Gold Class yang lebih selesa. Anda boleh menunggu di ruangan lounge sebelum masuk menonton di dalam dewan. Setiap tempat duduk pula dilengkapi dengan butang pemanggil khas bagi penonton yang memerlukan bantuan tertentu semasa menonton wayang. Penonton juga dibekalkan dengan selimut kecil untuk perlindungan daripada kesejukan semasa di dalam dewan.
5. ONYX
Panggung wayang ini dikuasakan oleh inovasi Samsung Electronics, Onyx untuk mengubah pengalaman pawagam tradisional. Ia menyampaikan video imej pada definisi tinggi lebih jelas pada layar skrin dengan paparan sistem LED yang bersifat futuristik. Sistem paparan digital berasaskan teknologi High Dynamic Range (HDR) ini boleh mencapai nisbah kontras pada nilai tidak terhingga. Penonton juga dapat menikmati pengalaman sistem audio yang lebih unik di tempat duduk masing-masing menerusi integrasi sistem pembesar suara yang sampai terus ke telinga pendengar.
6. BEANIE
Pengalaman menonton wayang dalam keadaan paling releks pernah anda rasai. Tempat duduk disediakan lain dari yang lain dimana setiap penonton dapat duduk di atas bean bag yang super empuk. Anda boleh menikmati tayangan filem kegemaran dalam keadaan releks seperti sedang berehat ketika di rumah. Setiap tempat duduk pula luas membolehkan anda berada dalam posisi duduk mahupun baring secara mengiring. Anda boleh memilih tempat dudu secara berpasangan atau individu tanpa gangguan orang sebelah.
7. Panggung Wayang Mesra Kanak-Kanak
Kini ibu bapa tidak perlu memendam rasa kerana tidak dapat menonton wayang kerana menjaga anak-anak. Sebenarnya telah wujud konsep panggung wayang mesra kanak-kanak yang membenarkan ibu bapa menonton wayang bersama anak-anak kecil mereka tanpa risau anak-anak meragam. Dalam panggung wayang ini anda akan mendengar suara kanak-kanak dengan bebas tanpa kerisauan. Dewan tayangan turut menyediakan ruang menukar lampin dan bilik simpanan stroller yang lebih selamat untuk kemudahan ibu bapa. Jika menonton di dalam dewan standard mungkin penonton lain akan terganggu dengan suara kanak-kanak bermain dan menangis sehingga terpaksa keluar dari panggung wayang. Namun itu tidak terjadi jika anda menonton di dewan panggung wayang mesra kanak-kanak.
8. 4DX
Tingkatkan stimulasi pengalaman menonton wayang dengan teknologi 4DX yang jauh lebih hebat dari pengalaman menonton secara 3D. Paling ketara ialah penonton dapat menikmati pergerakan kerusi mengikut situasi babak dalam filem yang ditonton. Penonton seolah-olah berada dalam situasi sebenar seperti pengalaman seperti terbang, tercampak dari kenderaan, lampu, kilat hujan dan sebagainya seperti kebanyakan babak aksi yang disaksikan dalam filem. Malah anda akan turut merasai pengalaman aroma yang disesuaikan mengikut babak seperti aroma masakan dalam filem! Memang hebat. Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti sawan, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan wanita mengandung tidak digalakkan menikmati pengalaman menonton wayang yang ekstrim sebegini.
9. Standard Class
Dewan tayangan umum yang menjadi pilihan kebanyakan penggemar wayang di Malaysia. PAda harga tiket yang ditawarkan antara RM8.00 sehingga RM18.00, anda boleh menikmati tayangan filem dalam tempat duduk yang selesa. Skrin tayangan bersaiz standard dengan paparan imej video yang baik dan sistem bunyi yang memuaskan. Hampir semua golongan sesuai menikmati kelas tayangan standard ini tanpa mengira umur. Anda boleh menikmati tayangan filem sambil menikmati hidangan makanan dan minuman yang boleh dibeli secara berasingan. Kesemua rangkaian panggung wayang utama di Malaysia menyediakan kelas standard kerana ia menjadi pilihan kebanyakan penonton yang menyukai gaya hidup sederhana.
Akhirnya..
Dengan pelbagai pilihan bilik tayangan filem yang disediakan oleh rangkaian panggung wayang di Malaysia, tentunya ia mampu memenuhi gaya hidup penonton yang mempunyai citarasa yang pelbagai. Dari yang bercitarasa sederhana, pertengahan sehinggalah gaya mewah, rangkaian panggung wayang di Malaysia mampu memenuhi selera penonton. Lebih daripada itu penonton sebenarnya boleh menikmati kelas tontonan yang lebih mewah dilengkapi dengan ruangan makan yang mana penyediaan makanan bertaraf lima bintang. Walaubagaimanapun, kelas ini hanya terdapat di beberapa rangkaian terpilih di seluruh Malaysia. Biasanya kelas tayangan ini disediakan untuk majlis rasmi seperti majlis perkahwinan dan sambutan harijadi istimewa yang perlu ditempah lebih awal.