Selamat Tahun Baru 2019 kepada seluruh rakyat Malaysia!

Mengharungi tahun baru setiap tahun amat bermakna bagi mereka yang memiliki cita-cita dan keazaman yang besar. Setiap kali tibanya tahun baru, kita seolah-olah sedang berdiri di atas garisan pelumba lari yang bersedia meneruskan perlumbaan bagi mencapai pingat kemenangan. Tahun 2019 seharusnya membuka ruang dan semangat baharu untuk anda mencapai azam dan matlamat dengan penuh daya usaha yang penuh dengan strategi dan bermotivasi.

Sudah tentu anda telah menyenaraikan beberapa matlamat dan azam baru 2019 yang mesti anda capai. Bagi mereka yang menanam azam baru 2019, pasti anda tidak ketinggalan menetapkan matlamat kewangan hidup bagi memastikan pengurusan kewangan anda lebih lancar demi mencapai matlamat bebas kewangan sempena tahun 2019. Menetapkan matlamat kewangan yang berstrategi bukan suatu perkara mudah yang mampu dilakukan oleh setiap individu. Menetapkan matlamat kewangan memerlukan ilmu dan pengurusan kewangan sebagai bekalan. Ia seolah-olah anda sedang membaca papan tanda dan memahami arahan untuk sampai ke suatu destinasi yang ditetapkan.

Matlamat kewangan boleh terdiri daripada pelbagai bentuk. Lima matlamat kewangan 2019 ini adalah antara perkara yang anda boleh tetapkan sempena tahun baru 2019.

1. Jana Lebih Banyak Pendapatan

Dengan keperluan kewangan yang semakin mendesak, siapa yang tidak ingin menjana pendapatan sampingan ? Sempena tahun baru 2019 ini, anda mestilah berusaha mencari lorong yang anda boleh masuk untuk jana lebih banyak pendapatan. Selain daripada pendapatan tetap yang anda miliki sebagai pekerja kerajaan mahupun swasta, anda mesti berusaha mencari peluang menjana pendapatan sampingan. Terutamanya kepada mereka yang mempunyai keperluan kewangan yang mendesak disebabkan banyaknya komitmen kewangan yang perlu dipenuhi.

Zaman internet dan media sosial yang meluas kini membuka banyak peluang yang boleh dimanfaatkan untuk jana pendapatkan sampingan sendiri. Antara idea menarik ialah :

  • Mulakan blog berkaitan affiliate dan bisnes online
  • Jual produk melalui promosi di media sosial
  • Mewujudkan blog penulisan
  • Jadi agen dropship
  • Daftar sebagai pemandu Grab
  • Penterjemah atau penulis artikel
  • Vlogger atau jana pendapatan melalui Youtube
  • Jual kek dan biskut secara online

Banyak lagi idea yang boleh dikembangkan. Kebanyakan idea ini telah pun diterokai oleh kebanyakan daripada mereka yang berminat menjana pendapatan sampingan. Dan ramai yang terbukti berjaya dengan usaha yang bersungguh-sungguh!

2. Berbelanja Secara Berhemah

Jika tahun-tahun sebelumnya anda cukup teruja membelanjakan duit ke arah sesuatu yang bukan menjadi keperluan mendesak, tahun 2019 ini apa kata anda ubah tabiat berbelanja secara tidak berhemah ini kepada perbelajaan secara lebih terancang. Khusus bagi mereka yang sentiasa mempunyai wang lebih yang boleh dibelanjakan untuk sesuatu yang dianggap tidak atau kurang penting.

Sebagai contoh jika sebelum ini anda biasa bercuti ke luar negara setiap bulan, apa kata tahun 2019 ini akan tetapkan untuk bercuti tiga ke enam bulan sekali. Banyakkan aktiviti bercuti di dalam negara kerana kosnya yang lebih rendah. Jika tahun sebelumnya anda terlalu kerap membelanjakan wang membeli perabot baru yang tidak diperlukan, tahun ini apa kata anda lakukan sebaliknya. Iaitu menjual perabot yang tidak diperlukan kepada kenalan anda yang berminat.

Jika tahun sebelumnya anda terlalu kerap makan di restoran berkonsep mewah, apa kata tahun 2019 ini anda penuhi dengan aktiviti memasak di rumah. Anda pasti akan dapati pelbagai ruang penjimatan yang tidak disangka-sangka!

Seandainya setiap bulan anda membeli lima helai pakaian baru, apa kata anda kurangkan mungkin hanya dua helai setiap bulan. Lihat kembali almari baju anda. Adakah ia perlu ditambah lagi atau sudah cukup memenuhi satu almari?

3. Komitmen Menyelesaikan Hutang

Setiap tahun anda begitu komited menyelesaikan hutang pelbagai pinjaman seperti pinjaman kereta dan rumah. Akan tetapi komited membayar hutang setiap bulan secara tetap sahaja tidak cukup. Anda harus mengubah matlamat menyelesaikan komitmen hutang anda berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Sebagai contoh, tetapkan matlamat untuk memendekkan jangka masa pembayaran hutang dengan membayar sekali ganda lebih pinjaman kereta seperti yang anda biasa lakukan sebelumya. Memang agak sukar melaksanakannya lebih-lebih lagi jika pendapatan anda tetap dan tiada pertambahan pendapatan sampingan. Dengan menetapkan matlamat memendekkan jangka masa pembayaran hutang, secara langsung anda semakin termotivasi untuk mencari sumber pendapatan sampingan. Pastikan matlamat anda realistik dan mampu dicapai mengikut bajet perbelanjaan bulanan anda.

Selain itu, anda perlu berusaha mengelakkan daripada menambah hutang-hutang baru yang tidak diperlukan. Sebagai contoh hutang membeli perabot dan hutang pakaian. Daripada anda berhutang, adalah lebih baik jika anda mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk membeli secara bayaran tunai. Apa yang penting, anda perlulah bersabar sebelum memiliki sesuatu yang menjadi idaman anda.

4. Lebihkan Duit Simpanan

Zaman keperluan wang ini anda perlu sentiasa memastikan mempunyai duit simpanan. Duit simpanan amat berguna di saat anda memerlukan. Sebagai contoh di saat kecemasan kenderaan, kesihatan, ahli keluarga yang memerlukan dan sebagainya.

Amatlah rugi jika anda tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya dua puluh peratus daripada jumlah gaji bersih dalam setahun. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan tetap, pastikan anda membahagikan sekurang-kurangnya 10% daripada duit gaji untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan. Lakukan ini secara konsisten setiap bulan setiap kali dapat wang gaji. Pastikan anda ‘top up’ simpanan terlebih dahulu sebelum membelanjakan lebihan duit yang ada.

Semakin banyak yang anda mampu simpan, tentunya lebih baik untuk masa depan anda. Walaupun kebanyakan kita mungkin menggunakan duit simpanan di saat-saat kecemasan, namun menggunakan wang simpanan di saat memerlukan lebih baik daripada anda terpaksa meminjam kepada orang lain. Pastikan matlamat simpanan anda realistik mengikut kesesuaian keadaan kewangan anda.

5. Simpanan Untuk Hari Tua

Alangkah baiknya hari tua anda disediakan dengan tabungan melalui sumbangan duit gaji anda sendiri dan majikan melalui KWSP serta wang persaraan bagi warga kerajaan. Dengan adanya ini, anda kini sebenarnya mampu bernafas lega sebelum menunggu menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan di hari tua saat anda tidak lagi mampu untuk bekerja.

Namun, bagi mereka yang bermatlamat jauh dalam menyimpan wang, mereka tahun bahawa bergantung hidup di hari tua dengan wang simpanan KWSP dan persaraan sahaja belum tentu mencukupi. Tidak salah jika anda menyediakan simpanan khas daripada duit gaji yang anda dapat setiap bulan sebagai simpanan peribadi tetap untuk hari tua anda.

Simpanan tambahan untuk hari tua adalah ‘top up’ kepada apa yang anda bakal nikmati dengan wang hasil pengeluaran KWSP dan persaraan nanti. Tetapkan untuk 10 tahun tempoh anda bekerja, berapa peratusan yang paling layak anda seharusnya ada untuk simpanan peribadi di hari tua. Mungkin tidak banyak yang mampu anda menabung. Tetapi sekurang-kurangnya menyimpan untuk tempoh 20 ke 30 tahun berikutnya daripada hasil gaji setiap bulan akan membuahkan hasilnya. Bak kata pepatah, sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit.