Bayi anda sememangnya memerlukan belaian dan pelukan dari ibunya, bukan sahaja untuk mendapatkan kasih saying, namun ia juga membantu dalam proses tumbesarannya.
Namun begitu, terkadang ragam si manja mengganggu dalam perjalanan seharian si ibu kerana mahu didukung sepanjang masa dan akan menangis sekiranya diletakkan.
Antara sebab mengapa bayi anda gemar untuk sentiasa didukung dan enggan diletak dibawah ialah si manja anda rindu dengan perasaan selamat sewaktu di dalam perut ibu. Jadi, ketika bayi anda mahu didukung, itu adalah perkara yang biasa dan tidak bermakna bayi anda terlalu manja.
Bayi anda hanya mahu merasakan hangat tubuh ibunya yang dapat membantu memberi ketenangan kepadanya. Mereka akan berasa lebih nyaman dan selesa ketika berada di dalam pelukan ibu.
Persekitaran yang asing baginya juga antara sebab mengapa bayi anda mahukan layanan dari anda.
Tentu ramai ibu ada anak yang begini ragamnya, bukan? Bagi kebanyakan wanita yang juga ‘first-time-mother’, perkara ini tentu amat memenatkan sehingga ada yang mengalami kemurungan. Percayalah, hanya anda yang tahu bagaimana kelam-kabutnya keadaan sampai tiada masa untuk diri sendiri!
MENGAPA ANAK ENGGAN BERPISAH?
Mengikut istilah kesihatan, perkara ini dikenali sebagai ‘separation anxiety’. Ia boleh berlaku kepada bayi seawal 7 bulan, iaitu ketika bayi sudah mula mengenal kehadiran ibunya. Keadaan ini paling sering berlaku kepada bayi sekitar 10-18 bulan dan ada yang berlarutan sehingga ke peringkat kanak-kanak.
ANAK SUKA BERKEPIT
Antara sebab utama berlakunya keengganan mereka untuk berpisah daripada ibu atau penjaga mereka ialah:
A) HUBUNGAN YANG ERAT
Hubungan emosional yang erat antara anda dan anak anda kadangkala boleh berpunca daripada masa yang diluangkan untuknya – sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit. Di dalam fikirannya, dia berasa perlu untuk berkepit dengan anda ada kerana selesa dan tidak mahu kehilangan anda.
B) BAYI TIDAK FAHAM KONSEP ‘MASA’ DAN ‘KEKAL’
Sesetengah anak kecil masih belum memahami konsep masa dan objek yang berkeadaan ‘kekal seperti dalam situasi berikut:
Konsep masa: Anda berlalu keluar dari tempat dia berada untuk mendapatkan telefon. Dia mula gelisah kerana menyangkakan bahawa anda telah keluar buat masa yang lama.
Konsep kekal: Semasa bermain, mereka menyangka mainan yang kita sorokkan dalam genggaman tadi sudah ‘hilang’.
C) ANAK YANG SENSITIF
Anak yang sebegini merasakan bahawa dia sudah merindui anda walaupun anda hanya pergi sebentar. Ini adalah reaksi daripada kefahamannya yang agak matang terhadap persekitaran.
CARA UNTUK MENGATASI MASALAH DUKUNG SEPANJANG MASA
Pertama, kena faham kenapa bayi suka kena dukung. Ok macam ini, baby secara fitrahnya memang suka kena dukung. Sebab bila didukung, secara tak langsung dia akan dipeluk dan terasa dibuai, didodoi macam duduk dalam rahim ibu lagi. Perkara ini saya suka kaitkan dengan Pyramid of Learning (Williams & Shellenberger), ada 3 core sensory yang menjadi asas dalam pyramid ini iaitu
1. Tactile (deria sentuhan)
2. Vestibular (deria keseimbangan/balance)
3. Propioception (deria sendi/joint senses)
Sejak dari lahir, bayi memerlukan semua deria ini dalam proses perkembangan otak. Sebab itu, bayi normal memang suka dibelai (deria sentuhan), suka dipeluk (deria sendi) dan suka didukung (deria keseimbangan). 3 deria penting ini memang sangat diperlukan untuk perkembangan otak bayi. Setiap bayi berbeza keperluannya. Jadi jangan compare anak kita dengan anak org lain. Tugas kita ialah memenuhi semua keperluan deria ini, bukan hanya dengan berdukung ok? Ada banyak cara utk memenuhi keperluan sensori bayi, tak perlu beli apa-apa pun cuma pakai apa yang ada je. Contohnya:
1) TACTILE (DERIA SENTUHAN)
1. Pakaikan losyen pada bayi sambil belai-belai seluruh badan bayi.
2. Sambil minum susu boleh usap-usap kepala dia.
3. Baringkan bayi dekat atas baju belum lipat, lagi banyak jenis material kain lagi bagus.
4. Beri bayi gengam jari kita.
5. Usap tangan dan jari jemari bayi.
6. Beri bayi main dengan pelbagai jenis texture dan bentuk.
2) VESTIBULAR (DERIA KESEIMBANGAN)
1. Letak dalam buaian ataupun bouncer semasa dia sedar. (Penerangan dalam post lain)
3) PROPRIOCEPTION (DERIA SENDI/ JOINT SENSE)
1. Urut lepas mandi. Sangat penting and tolong jangan skip untuk bayi baru lahir.
2. Pakaikan bedung untuk bayi baru lahir. (Nanti saya cuba post tentang amalan nenek moyang kita dan sensori bayi, panjang sangat penjelasannya)
3. Selalu buat “tummy time” seawal baru lahir.
4. Peluk bayi.
Cara diatas ini boleh dilakukan untuk bayi baru lahir untuk memenuhi keperluan sensori mereka.
Kedua, kenapa bayi suka berdukung adalah disebabkan Separation Anxiety (resah bila berpisah). Ini normal dalam proses perkembangan emosi bayi. Bila kita hilang dari pandangan, bayi akan rasa macam kita akan hilang selamanya. Sebab itulah, bila kita letak ke bawah dia risau kita “hilang”. Biasanya akan bermula bila bayi dah kenal orang sekeliling, lagi teruk bila pergi rumah orang taknak lepas nak melekat je. Biasanya bermula seawal 6-7 bulan dan waktu genting sekitar 10-18 bulan dan mungkin akan berterusan sampai umur 2 tahun. Jangan risau, ini semua akan hilang ikut masa. Kena ingat setiap bayi berbeza. Enjoylah masa anak nak berkepit dengan kita, tanamkan dalam fikiran yang kita nombor satu dalam carta hati.
Antara tips yang boleh diambil oleh ibu supaya si manja anda tidak resah apabila anda tidak tiada bersamanya adalah:
1. Ajarkan konsep ‘bye-bye’. Apabila si ibu meninggalkan bayi anda, gunakan perbualan sebagai cara untuk meyakinkan bayi anda. Gunakan ungkapan seperti ‘bye, ibu pergi toilet/dapur ni”. Jadi apabila kita pergi anak anda tidak lagi risau apabila para ibu sudah selalu dipraktikkan.
2. Selalu berkomunikasi bersama bayi anda. Walaupun bayi anda tidak memahami apa yang disampaikan, namun ia merupakan satu latihan yang berguna. Beritahulah bayi anda sekalipun anda hanya mahu ke tandas, makan, atau kemana-mana. Lama-kelamaan bayi anda akan dengan apa yang anda ingin sampai kan.
3. Bawa mainan yang biasa bayi anda main ketika anda bawa keluar. Ini dapat membuat si manja anda berasa selamat seperti dirumah. Sekiranya bayi anda sudah biasa, aktiviti ini boleh dikurangkan.
4. Untuk bayi anda yang sudah pandai merangkak atau berjalan, anda boleh selalu bermain bersamanya. Hal ini akan dapat membuat bayi anda lupa dengan kehendaknya yang selalu didukung.
5. Yang terakhir, jika bayi anda minta didukung, tetapi kita ada perkara yang perlu dilakukan, biarkan dia menangis dan abaikan buat sementara waktu. Selepas selesai kerja, segeralah melayan si manja anda dan luangkan masa bersamanya. Hal ini dapat membantu membina kepercayaan bayi anda bahawa si ibu tidak mengabaikannya.
Akhir kata, apa yang penting adalah emosi ibu dan bapa semasa mengatasi masalah si manja anda. Anda perlu banyak bersabar, bertenang dan sentiasa senyum. Hal ini kerana, si manja anda dapat mengesan emosi dan reaksi anda yang berkerut itu.
Semoga bermanfaat.