Pernah terfikir untuk mendaftarkan anak anda dalam kelas menyelam skuba? Bagi kanak-kanak yang mempunyai asas kemahiran berenang seperti menyelam, bergerak dan mampu mengapungkan diri di dalam air, jangan disia-siakan kemahiran berenang ini. Luaskan pengenalan terhadap dunia laut melalui aktiviti menyelam skuba. Anak-anak anda perlu didedahkan lebih jauh mengenai dunia laut yang penuh keindahan dan rahsia alam yang masih terpelihara. Aktiviti menyelam skuba mampu meningkatkan keyakinan kanak-kanak ketika berada di dalam air. Ia boleh dijadikan sebagai hobi di waktu lapang. Malah ada juga yang menjadi penyelam scuba diving profesional sebagai sumber mencari pendapatan sampingan.

Mungkin menyelam skuba suatu aktiviti yang agak berbahaya kepada nyawa. Namun dengan skil dan tunjuk ajar yang betul oleh tenaga pengajar yang berpengalaman, anak anda akan lebih seronok dan yakin berada di dalam air termasuklah ketika berada di dalam laut yang sebenar.

Syarat Menyertai Kelas Menyelam Skuba Bagi Kanak-Kanak

Kanak-kanak yang mahir berenang dan mampu menyelam skuba memiliki kelebihan berbanding kanak-kanak lain. Usia 10 tahun adalah peringkat umur paling sesuai mendaftarkan kanak-kanak menyertai kelas menyelam skuba. Mampu berenang, bergerak dan mengapungkan diri di dalam air adalah syarat asas menyertai kelas ini. Kanak-kanak yang menyertai kelas ini akan dikategorikan sebagai Junior Open Water.

Selain itu, stamina kanak-kanak juga perlu kuat kerana aktiviti menyelam memerlukan daya tenaga yang banyak untuk melawan graviti dan tekanan semasa berada di dalam air. Ditambah pula dengan peralatan menyelam skuba yang agak berat, kanak-kanak perlulah memiliki kekuatan stamina yang mantap. Tahap kesihatan kanak-kanak juga perlu baik. Paru-paru mestilah sihat dan tidak mengidap sebarang jenis penyakit seperti asma dan epilepsi.

Semasa di dalam kelas menyelam skuba, kanak-kanak akan diajar cara mengendalikan peralatan menyelam skuba secara profesional. Peralatan menyelam skuba inilah yang menjadi penyambung nyawa mereka semasa berada di dalam air. Jadi adalah amat penting mereka diajar dan memahami selok belok mengendalikan peralatan menyelam skuba dengan mahir dan betul.  Semua kemahiran ini akan didedahkan oleh tenaga pengajar yang mahir dan berpengalaman.

Organisasi Menyelam Skuba

Terdapat beberapa organisasi menyelam skuba terbaik di dunia yang melatih penyelam skuba tidak mengira peringkat umur. Antara yang paling popualr ialah PADI (Professional Association of Diving Instructors), SDI, SSI, CMAS, BSAC, NAUI dan RAID. Kebanyakannya beroperasi di luar negara seperti Eropah.

Organisasi menyelam skuba yang popular di Malaysia pula adalah seperti PADI, SDI, SSI, NAUI dan RAID. Jadi bagi ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak anda menyertai kelas menyelam skuba, pastikan anda menyemak dahulu badan-badan profesional yang mempunyai tengaga pengajar terlatih dalam dunia menyelam skuba secara profesional.

Kelas Menyelam Skuba Kanak-Kanak Di Malaysia

Setelah anda mengetahui kelebihan kanak-kanak yang didedahkan dengan dunia menyelam skuba, langkah seterusnya adalah mencari kelas-kelas sesuai untuk mendaftarkan anak anda menjalani latihan menyelam skuba secara profesional. Di Malaysia, kebanyakan kelas ini disediakan untuk orang dewasa. Namun ada juga organisasi yang menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam dunia menyelam ini.

Mari kita lihat beberapa kelas yang menawarkan latihan menyelam skuba untuk kanak-kanak di Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Klang.


1.Kids Scuba Malaysia

Pusat pembelajaran menyelam skuba ini dijalankan di Tropicana Heights Kajang Recreational Club. Mereka menjalankan kursus skuba mengikut panduan organisasi menyelam terkenal di dunia iaitu PADI. Kanak-kanak akan melalui tiga peringkat pembelajaran. Peringkat pertama ialah proses memahirkan diri dengan skil berenang dan menyelam. Apabila memasuki peringkat kedua, kanak-kanak akan diperkenalkan dengan peralatan menyelam skuba dari segi fizikal dan pengendalian secara teknikal. Seterusnya pada peringkat ketiga, kanak-kanak akan mula belajar menyelam dengan peralatan skuba dalam situasi kedalaman kolam yang sesuai. Pada peringkat ini, mereka akan merasai pengalaman seolah-olah berada di laut dalam dan mula mahir mengendalikan peralatan skuba secara profesional berdasarkan skil-skil yang dipelajari.

Laman Web : http://www.kidsscuba.com/

Facebook : https://www.facebook.com/KidsScuba/


2. Dive Buddy

Beroperasi di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor. Dive Buddy begitu terkenal di kalangan penggemar aktiviti skuba. Ia mula menjalankan operasi sejak tahun 2001 melalui tawaran kursus menyelam dan kelengkapan skuba yang lengkap. Kanak-kanak akan diajar teknik menyelam skuba di dalam situasi kolam renang. Sijil yang diberikan kepada para peserta juga diiktiraf oleh Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI). Setelah memahirkan diri dengan teknik skuba, kanak-kanak boleh menyertai pakej menyelam yang diadakan di beberapa pulau popular seperti Pulau Perhentian dan Pulau Tioman. Kelas menyelam skuba ini dibuka kepada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Laman Web : www.divebuddy.my

Facebook : https://www.facebook.com/mydivebuddy/


3. Viking Scuba

Kanak-kanak seawal usia 8 tahun boleh menyertai kelas skuba di Viking Scuba. Mereka akan diajar oleh jurulatih skuba berpengalaman yang diiktiraf oleh organisasi PADI. Bagi kanak-kanak berusia antara 10 sehingga 14 tahun, mereka layak untuk pensijilan Jr Open Water Diver. Sijil ini melayakkan mereka untuk menyertai sebarang aktiviti menyelam skuba pada kedalaman air antara 12 sehingga 18 meter di seluruh dunia. Kanak-kanak akan melalui tiga peringkat pembelajaran. Peringkat pertama ialah pendedahan teori. Semasa peringkat teori, kanak-kanak perlu melalui peperiksaan untuk ke peringkat kedua iaitu sesi latihan di kolam renang. Semasa peringkat kolam renang, mereka akan belajar cara-cara pemasangan dan membuka alat skuba secara profesional oleh tenaga pengajar. Peringkat akhir ialah pengalaman berenang di laut dalam di mana mereka perlu melengkapkan 4 sesi skuba di laut sebenar sebelum layak dianugerahkan sijil Jr Open Water Diver.

Laman Web : http://www.vikingscuba.asia/courses/padi-bubblemaker.html


4. Sealantis Dive Centre

Menyediakan latihan menyelam skuba untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Sijil yang diberikan kepada para peserta juga diiktiraf oleh Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI). Pusat menyelam skuba ini telah beroperasi sejak tahun 1996 bertempat di Damansara, pusat beli belah 1 Utama , Bandar Utama, Selangor. Sealantis juga mempunyai pusat skuba di Kampung Paya, Pulau Tioman bagi mereka yang mengadakan aktiviti skuba di sana. Kanak-kanak akan melalui latihan menyelam skuba secara profesional mengikut peringkat yang sesuai oleh tenaga pengajar mereka yang diiktiraf oleh PADI.

Laman Web : http://www.sealantis.com/#courses_courses/diving

Facebook : https://www.facebook.com/sdctioman/


5. Scuba Mike’s – Scuba Diving Center

Scuba Mike menerima pelajar cilik yang berusia antara 8 sehingga 12 tahun. Pelajar akan melalui lima sesi pembelajaran meliputi teori dan praktikal pada harga yang berpatutan. Keselamatan adalah asas pembelajaran yang diutamakan kepada kanak-kanak. Mereka akan belajar secara praktikal pada kedalaman kolam tidak melebihi lima meter sesuai bagi ketinggia seorang kanak-kanak. Bagi pelajar berusia antara 10 sehingga 14 tahun pula, mereka layak untuk menyertai Junior Open Water Diver dengan penganugerahan sijil yang diiktiraf. Semasa kursus kanak-kanak akan belajar semua asas menyelam, teknik mengapungkan diri, teori menyelam, penggunaan peralatan dan rancangan menyelam skuba. Selepas penganugerahan sijil, kanak-kanak layak untuk menyelam di mana sahaja lokasi laut dan kolam renang pada kedalaman 12 meter dengan syarat mereka perlu ditemani oleh tenaga pengajar atau ibu bapa.

Laman Web : https://www.divescubamikes.com/kids.htm