Dalam cuaca panas yang dijangka melanda negara Malaysia sehingga pertengahan bulan Mei 2019 ini, kita tentu ingin menghilangkan kepanasan dan dahaga tekak dengan makanan yang menyejukkan. Makanan sejuk seperti aiskrim adalah pilihan yang enak untuk dinikmati oleh semua golongan terutama untuk kanak-kanak dan tidak terkecuali orang dewasa. Aiskrim juga sesuai dijadikan sebagai pencuci mulut selepas menikmati hidangan utama makan tengah hari dan makan malam. Pendek kata aiskrim sesuai dinikmati dalam semua keadaan sama ada semasa musim panas, musim sejuk, sebelum atau selepas makan, ketika berehat sambil menonton televisyen di rumah, semasa beriadah bersama keluarga di kawasan taman dan sebagainya.
Tentu anda masih ingat pengalaman semasa kecil yang tidak mungkin dilupakan iaitu kenangan singgah ke kedai untuk membeli aiskrim setiap kali pulang dari sekolah. Masih terngiang-ngiang juga di telinga alunan merdu muzik penjual aiskrim yang meronda sekitar kawasan perumahan dan kampung. Masih ingatkah pada masa itu anda berlari-lari meminta wang daripada mak dan ayah untuk membeli aiskrim kegemaran daripada pakcik si penjual aiskrim? Ia adalah kenangan paling indah bagi kanak-kanak yang membesar di era zaman 70-an sehingga 90-an.
Kafe Aiskrim, Gaya Hidup Masa Kini
Namun pada hari ini, manusia lebih menggemari gaya hidup santai dengan meluangkan masa makan di restoran dan kafe bersama keluarga dan rakan-rakan. Dengan bertambahnya pelbagai pilihan makanan luar yang autentik, hipster dengan pilihan selera yang semakin luas ditambah lagi dengan suasana persekitaran tempat makan yang lebih selesa, pelanggan semakin ghairah ingin mencuba sesuatu yang baru.
Begitulah juga dengan aiskrim. Semakin ramai ahli perniagaan yang memperkenalkan jenama aiskrim masing-masing melalui kaedah jualan berbeza berbanding tradisional pada masa lalu iaitu dengan membuka kafe dan restoran aiskrim secara khusus. Bagi mereka yang tinggal di bandar membangun seperti Kuala Lumpur dan Selangor, pilihan kafe aiskrim lebih banyak berbanding negeri-negeri lain. Kini sudah wujud pelbagai jenis jenama aiskrim yang memperkenalkan konsep makan di kafe sesuai dengan kehendak pelanggan.
Bagi yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur & Selangor khususnya kawasan Lembah Klang, anda boleh menikmati aiskrim kegemaran bersama keluarga dan rakan-rakan di kafe di beberapa tempat menarik yang dicadangkan ini.
1. Sangkaya
Antara jenama aiskrim paling awal mewujudkan kafe yang menjual aiskrim secara khusus di Malaysia. Terkenal dengan signature aiskrim perisa tradisional iaitu perisa kelapa. Kafe ini mempunyai cawangannya hampir di seluruh Malaysia dan fokus di tempat strategik yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya dalam bangunan membeli belah mega. Oleh itu tidak hairan jika sambutan pelanggan terhadap jenama aiskrim ini begitu mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.
Selain itu Sangkaya juga terkenal dengan menu aiskrim terutamanya perisa kelapa yang menggunakan bahan-bahan semulajadi tanpa kandungan bahan pengawet dan perisa daripada bahan kimia. Pelanggan yang menikmati aiskrim mereka dapat merasai keuinikan aiskrim berperisa semulajadi. Antara sebab lain mengapa Sangkaya begitu terkenal di kalangan peminat aiskrim ialah melalui konsep persembahan yang berbeza bagi aiskrim perisa kelapa iaitu dihidangkan menggunakan tempurung kelapa. Ia bertujuan supaya pelanggan dapat merasai nilai tradisi yang lebih dekat ke jiwa mereka dalam menikmati aiskrim kelapa. Antara cawangan Sangkaya di sekitar KL & Selangor ialah Sunway Pyramid di Subang Jaya dan Times Square di KL.
Facebook : https://www.facebook.com/sangkaya/
2. Inside Scoop
Mula diperkenalkan pada tahun 2013 bermula dengan kafe pertama mereka di Bangsar, Kuala Lumpur. Ia merupakan jenama aiskrim tempatan yang berani mengetengahkan konsep makan aiskrim dalam kafe sebaris dengan jenama aiskrim antarabangsa yang mendominasi pasaran Malaysia. Inside Scoop cuba membawa keunikan aiskrim mereka melalui penyesuaian gaya lokal iaitu dengan memperkenalkan aiskrim dengan perisa yang dekat di hati seluruh rakyat Malaysia iaitu perisa durian.
Sehingga kini mereka menyediakan lebih daripada 25 pilihan perisa aiskrim yang lembut, lazat, berkrim dan pelbagai warna termasuk perisa durian. Walaupun secara asasnya mereka masih menggunakan bahan-bahan berkualiti yang diimport terutama coklat dan kacang, mereka masih mengekalkan konsep aiskrim yang bertepatan dengan selera orang Malaysia.
Kebanyakan cawangan mereka dibuka dalam pusat membeli belah mega. Anda boleh melihat senarai cawangan Inside Scoop di sekitar KL & Selangor menerusi laman web.
Laman web : https://www.insidescoop.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MYinsidescoop/
Instagram : https://www.instagram.com/myinsidescoop/?hl=en
3. Fatbaby Ice Cream
Cawangan Fatbaby Ice Cream terletak di Seksyen 15, Subang Jaya, Selangor. Pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan perisa aiskrim kegemaran mereka dalam suasana kafe yang selesa berhawa dingin. Antara perisa yang ditawarkan ialah mentega kacang coklat, strawberry lemonade, caramel brownies, passionfruit raspberry, genmaicha, mango, mocha dan lain-lain.Terdapat lebih daripada 10 pilihan perisa aiskrim yang anda boleh pilih. Kafe ini tidak hanya menghidangkan aiskrim sahaja. Pelanggan boleh merasai keenakan aiskrim yang dimakan bersama wafel dan biskut. Kanak-kanak pasti menyukai pilihan menu aiskrim yang terdapat di kafe aiskrim yang unik ini.
Laman web : http://www.fatbabyicecream.com/
Facebook : https://www.facebook.com/FatbabyIceCream/
4. Urban Artisan
Penggemar-penggemar aiskrim kon pasti tidak melepaskan peluang merasai keeenakan aiskrim unik yang diperkenalkan oleh Urban Artisan ini. Yang uniknya mereka menghidangkan aiskrim pelbagai perisa dalam kerepek kon arang berwarna hitam. Pelanggan boleh menggabungkan dua perisa aiskrim dalam satu kon. Anda pasti akan berpuas hati bentukkan 2 gabungan perisa skop aiskrim yang dibentuk secara segitiga dan bukan dalam bentuk skop bulat seperti lain-lain aiskrim yang anda pernah nikmati. Bagi yang menggemari kelembutan wafel, terdapat pilihan menu untuk anda nikmatinya bersama aiskrim dengan campuran coklat dan potongan Oreo.
Urban Artisan baru sahaja melancarkan cawangannya yang pertama pada Mac 2019 di Kuala Lumpur bertempat di Jalan Petaling. Bagi warga Kuala Lumpur yang telah lama menunggu sejak pengumuman pembukaan cawangannya yang pertama di Kuala Lumpur pada tahun lalu, kini anda boleh berkunjung ke kafe Urban Artisan dan nikmati aiskrimnya bila-bila masa anda inginkan.
Facebook : https://www.facebook.com/urbanartisansoftserveicecream/
5. Softsrve
Kafe aiskrim ini telah menjalankan operasinya sejak tahun 2014 bertempat di Desa Parkcity, Kuala Lumpur. Hidangan utama mereka ialah aiskrim pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ramai. Selain aiskrim mereka turut menghidangkan pemanis mulut seperti wafel, kek, roti bakar dan ais kepal dalam mangkuk bersaiz besar. Jika anda berkunjung ke kafe aiskrim Softsrve ini pastikan anda tidak melepaskan aiskrim perisa mangga yang menjadi kegemaran utama oleh kebanyakan pelanggannya.
Facebook : https://www.facebook.com/softsrve/
Itulah antara beberapa pilihan kafe aiskrim yang paling popular dan menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor khususnya di kawasan Lembah Klang. Sebelum mengunjungi kafe aiskrim pilihan anda, apa kata anda semak dahulu waktu operasi setiap kafe supaya kunjungan anda tidak sia-sia iaitu pada waktu yang tepat.
Sebenarnya masih ada beberapa pilihan kafe aiskrim yang tidak kurang menariknya di sekitar KL & Selangor yang semuanya menarik untuk dikunjungi.