“Anak I dah pandai jalan, Nina. Tak sabar nak belikan kasut baru comel-comel. You tengok tak posting Insta I semalam? Dah start berdiri dah semalam. I am so proud of my daughter. Anak you bila lagi nak berjalan?”
Nina hanya tersenyum mendengar soalan Suraya dan langsung tidak berkecil hati. Sebab Nina mahu berehat puas-puas sebelum anak kecilnya mula pandai berjalan.
Disaksikannya sendiri bagaimana hidup kakaknya berubah 360 darjah apabila anaknya dah pandai berjalan. Mula-mula memang kakaknya rasa bangga dan gembira kerana anak dah menunjukkan progress, rasa macam comel sangat. Tiap-tiap hari post ke Instagram dan Facebook menunjukkan setiap perkembangan perjalanan anaknya. Tetapi bila dilihat hidup kakaknya kelihatan semakin tidak terurus dan stres hari-hari, Nina tidak mahu hidupnya juga jadi begitu. Nina tekad mahu lebih bersedia sebelum anaknya mula ‘dapat kaki’.
Kebanyakan ibubapa muda tidak bersedia menghadapi situasi ini. Yang kita tahu, kita gembira lihat anak kita membesar dengan sihat. Tetapi hakikatnya, setiap perkembangan anak sebenarnya menjurus ke arah perubahan ketara dalam hidup kita. Dan bila tidak bersedia, stres lah jawabnya dan bila stres, kita jadi manusia yang pemarah. Dan ini adalah sesuatu yang ingin kami bantu anda elakkan.
Jom kami siap-sediakan anda untuk kenalpasti tanda hidup anda sedang berubah dek kerana anak dah mula ‘dapat kaki’.
KENALPASTI 10 TANDA HIDUP BERUBAH BILA ANAK MULA PANDAI BERJALAN
-
Waktu rehat dan tidur semakin singkat
Baru nak rehat dan chill, duduk bertenang tonton siri Ginny & Georgia di Netflix sambal minum Nescafe panas, tiba-tiba anak mula cuba berlari-lari keliling rumah tidak mahu duduk diam walaupun sudah diberi toys kegemaran. Hari ini jugalah mood dia mahu berlari-lari. Hari lain, tidak mahu lari pula. Kalau setiap 5 minit harus berkejaran dengan anak dalam rumah, tidak dapat tonton plot menarik, lupakan sajalah niat nak rehat dan bertenang tonton TV tu! Waktu untuk rehat dan tidur adalah ketika anak sedang tidur juga. Nasib baiklah kalau anak tidur lama, bolehlah kita tidur lama sikit.
-
Semakin hilang sabar dan jadi pemarah
Disebabkan kurang berehat dan kurang tidur, maka kita pun jadi hilang sabar dan selalu marah. Grumpy dan cranky, bad-temper teruk. Habis suami dimarahi walaupun isunya hanya perkara kecil. Mana tidaknya, baru nak duduk, si kecil sedang dalam mood untuk mula explore suasana ruang tamu lah, ruang dapur lah, kadang-kadang di tandas. Aduhhhhh, pening kepala. Walaupun rumah dah ‘child-proof’, tidak boleh dibiarkan anak berjalan-jalan dalam rumah tanpa pengawasan. Sebab kalau anak cedera atau terjatuh atau terlanggar apa-apa, maka tantrumlah anak itu dan akan menangis. Bila menangis, lagi susahlah kita mahu menenangkannya. Lebih menyesal, kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. Jadi, memang kerja kita sebagai ibubapa dikala anak baru ‘dapat kaki’ adalah menjadi superhero mereka. Namun berdasarkan dari Ibu Rose, seorang pakar parenting tempatan yang menjadi rujukan kami, adalah penting untuk bantu anak-anak kita berdikari. Jadi bukan selalu kita perlu bantu anak-anak kita bangun apabila jatuh (tanpa kecederaan). Kita hanya perlu berikan sokongan dan kasih sayang serta motivasi supaya mereka pandai bangun semula sekiranya terjatuh dalam proses belajar untuk berjalan. Akan kami kupas di artikel seterusnya nanti.
-
Rumah dan dapur selalu bersepah
Setiap kali rumah dikemas, memang akan bersepah semula sekelip mata kerana anak sudah pandai berjalan dan menyentuh serta memegang barang-barang di rumah. Kemudian dibiarkan merata-rata. Paling membuatkan kita naik hantu adalah bila barang yang dibiarkan merata itu adalah mainan bertekstur seperti Lego yang kemudiannya kita terpijak. Mula-mula memanglah kita mengemas setiap kali berselerak. Tapi sampai satu tahap kita sudah tidak berdaya, kita biarkan saja sehingga malam. Barulah kita kemas. Dapur pun tidak terkemas sebab tidak cukup masa. Tanpa bantuan ‘maid’, bilalah kita ada masa? Anak yang sedang tidur kadang-kadangnya terbangun dan akan berjalan merata-rata. Itu pun bahaya. Jadi, memang malam-malamlah kita akan mengemas. Itupun kadang-kadang, terbiar sebab dah terlalu penat dan kita terus tertidur. Esok tengok rumah dan dapur bersepah, kita stres! Hahaha. Bahagian ini paling penting untuk para ibu buat persediaan dan perancangan.
-
Pemakaian dan solekan semakin simple dan minimal
Sebelum anak mula berjalan, always ready to look perfect for Instagram! Banyak masa nak pilih tudung, iron tudung, matching warna tudung dengan baju, pilih kasut dan bersolek cantik-cantik pastikan kening dan eyeliner on fleek. Sekurang-kurangnya 3 jamlah nak bersiap tu. Tapi sejak anak dah mula ‘dapat kaki’ ni, 10 minit pun belum tentu ada masa tu. Sebab sekarang maknya bersiap dulu, pakai je apa ada, tudung atau baju berkedut, pakai sajalah! Make up pun setakat bedak dan lipstick, kadang-kadang langsung tak sempat pakai apa pun di muka. Keluar rumah memang minimal habis. Kemudian barulah siapkan anak. Jadi si suami janganlah sesekali cuba bertanya ‘Kenapa awak serabai?’ bila nak keluar dinner. Soalan maut yang mungkin akan menyebabkan pergaduhan berabad lamanya. Hahaha…
-
Semakin menghargai waktu tidur
Kalau dulu kita selalu ambil kesempatan ke atas waktu tidur kita, sering tidur lewat kerana melambatkan masa demi membaca berita gossip di Facebook dan like gambar kawan-kawan di Instagram serta shopping di Shopee dan Lazada, sambil-sambil membawang di Whatsapp Group, sekarang, dapat berehat 5 minit pun kita sangat-sangat hargai. Betul tak? Kerana kita perlu peka dan celik dengan pergerakan anak. Walaupun kita tidur dan rehat pada waktu yang sama anak tidur, kita tetap perlu berhati-hati dan memerhati. Jadi, saat-saat anak dah pandai berjalan, waktu tidur rasanya macam lebih berharga dari emas berlian bagi seorang ibu.
-
Jadi paranoid dan nampak semua benda dan perkara sebagai sesuatu yang bahaya
Samada di rumah atau di luar rumah, semua orang kita nampak sebagai penculik, semua barang kita nampak membahayakan anak. Kita jadi sangat-sangat paranoid sebab anak kita dah pandai bergerak sendiri dan ada kemungkinan akan berjalan jauh dari kita. Namun ini adalah sesuatu yang normal kerana naluri ibubapa sememangnya sentiasa risaukan anak-anak. Samada bimbang anak disakiti atau bimbang anak kita yang sakiti orang. Jadi, fasa-fasa anak mula berjalan, bakal mejadi fasa paling paranoid untuk ibubapa.
-
Tiada lagi waktu bermesra dengan suami/isteri
Kadang-kadang bila anak dah dapat kaki, tiba-tiba muncul depan pintu bilik comel-comel minta nak tidur sekali. Atau bila-bila masa saja anak perlukan perhatian dari ibu atau bapa, dia hanya perlu berjalan dan bergerak sendiri untuk cuddle dan bermanja. Kalau dulu masih merangkak atau berbaring, ibubapa boleh mengawal masa dan situasi. Sekarang anak dah boleh berjalan, memang waktu bermesra akan semakin singkat. Dah sedia ke untuk hadapi situasi ini? Suami haruslah memahami bila isteri melayan manja anak-anak. Jangan dicemburui pula perhatian yang isteri berikan pada anak anda. Sama-sama bergabung tenaga manjakan anak, kan bagus?
-
Semakin peka dengan keadaan dan suasana
Kalau dulu, langsung tidak alert dengan apa yang berlaku dalam dan luar rumah kita. Cuaca, berita, jiran tetangga, tarikh luput makanan, barang-barang rumah ada chemical membahayakan atau tidak, semua tidak peduli. Tetapi sejak ada anak yang dah pandai berjalan ini, semua wajib diambil tahu untuk langkah keselamatan. Kita semakin peka dengan semua perkata di sekeliling kita demi memastikan anak kita dapat bergerak ke sana ke sini dengan selamat. Kalau dulu melayari internet kerana ingin membeli-belah di Shopee, kini sibuk Google Search tips-tips dan ilmu berguna untuk bantu sediakan keadaan keliling yang terbaik untuk anak-anak. Itu dia, penangan fasa anak dah pandai berjalan. Transformasi diri di setiap sisi!
-
Rumah bertukar jadi 100% ‘child-proof’dan seperti taman permainan
Kalau sebelum anak boleh berjalan, rumah dipenuhi dengan dekorasi IKEA mengikut citarasa dan gaya peribadi, segala hiasan moden yang tajam dan memukau mata menjadi keutamaan. Sekarang memandangkan anak dah boleh jalan, rumah yang dulunya moden dan urban kini dah jadi seperti taman permainan ya. Jangan main-main. Sebab dari pintu depan sampailah ke dapur semuanya berwarna-warni dan bercorak kartun. Barang-barang tajam langsung tiada, disimpan dalam stor sementara nak tunggu anak dah besar. Tapi tidak mengapa. Sangat berbaloi! Keselamatan dan kegembiraan anak diutamakan dahulu. Nak kekalkan anak dalam mood gembira supaya mudah uruskan tantrum, biarlah rumah jadi Istana Gula-Gula sekalipun. Nak buat macam mana kan? Relakan diri.
-
Berat badan makin menyusut
Ini adalah sesuatu yang bagus tapi memenatkan mental dan fizikal. Hasil dari kurang tidur, kurang rehat, asyik mengemas dan berlari mengejar anak yang baru pandai berjalan ke sana ke mari, memang susutlah badan kita jawabnya. Senaman kardio yang tidak disangka dan tidak dijangka hasilnya. Jangan terkejut kalau tiba-tiba kawan atau jiran anda tegur dan memuji tentang badan anda yang semakin slim. Jawapannya : Anak I dah pandai jalan. Maka, faham-faham sendirilah mereka yang bertanya apakah rahsia kita semakin slim.
Jika ada 10 tanda-tanda ini ketika fasa anak sedang mula belajar berjalan, maka hidup anda sememang sedang berubah. Namun, ia bukanlah sesuatu yang memudaratkan hidup. Cuma ia boleh memenatkan diri sekiranya tidak bersedia fizikal dan mental masing-masing.
Sebab itulah ramai mengakui betapa besarnya pengorbanan ibubapa. Penat-lelah mereka tidak terbalas di kala mereka fokus menjaga kita untuk memastikan kita selamat dan gembira. Hanya ibubapa sahaja yang faham cabaran ibubapa yang lain. Dan kami ingin mengucapkan tahniah buat anda yang merajinkan diri membaca artikel ini demi mengubahsuai hidup anda untuk disesuaikan dengan penjagaan anak-anak.
Sesungguhnya anda adalah ibubapa yang prihatin.
Hari ini, 100comments.com mahu mengajak anda mengucapkan terima kasih kepada ibubapa anda yang berpenat-lelah memastikan kita selamat, gembira, sihat dan masih bernafas dari kecil ketika baru berjalan bertatih memulakan langkah kecil kita sehingga ke hari ini, meneruskan langkah-langkah besar menjadi insan yang berguna di muka bumi.
Jom, hubungi mereka sekarang!