Penggunaan baby carrier sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh manusia. Pelbagai budaya dan bangsa di dunia telah menjadikan baby carrier sebagai salah satu alat penjagaan bayi yang penting. Saiznya yang ringan serta praktikal menjadikan ia lebih sesuai digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia membolehkan anda sentiasa bersama si kecil dalam pelbagai keadaan seperti ketika menyelesaikan kerja-kerja rumah, menyusukan bayi, berjalan-jalan dan sebagainya. Penggunaan baby carrier dilihat lebih bermanfaat dan fleksibel berbanding peralatan membawa bayi yang lain seperti stroller.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa setiap ibu bapa yang memiliki bayi kecil seharusnya memiliki sekurang-kurangnya sebuah baby carrier kerana ia cukup memudahkan kerja-kerja anda. Kami boleh senaraikan 10 sebab mengapa penggunaan baby carrier lebih baik untuk bayi anda berbanding dengan peralatan membawa bayi yang lain.
1. Mendekatkan Jarak Antara Ibu Bapa Dan Anak
Baby carrier mendekatkan jarak antara anda dan bayi. Bayi akan merasa lebih selesa dan selamat apabila menyedari mereka berada dalam dakapan ibu bapa mereka. Semasa mengendong bayi menggunakan baby carrier, berlaku sentuhan antara ibu bapa dan bayi. Apabila bayi dirapatkan ke tubuh ibu atau bapa secara langsung akan membentuk suatu perhubungan dan perasaan erat yang terus berhubung ke dalam hati. Anda masih mampu melakukan eye contact bersama si kecil yang dikendong dalam dakapan dan sentiasa dapat memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan selamat. Bayi dapat melakukan lebih banyak eye-contact dengan ibu bapa mereka berbanding apabila diletakkan di dalam keret sorong bayi.
2. Fleksibel Untuk Menyelesaikan Kerja
Anda mampu melakukan kerja secara multitasking iaitu menjaga bayi sambil menyiapkan kerja-kerja rumah. Malah penggunaan baby carrier tidak hanya terhad di rumah. Anda juga boleh membawa bayi ke pejabat selagi dibenarkan oleh pihak atasan atau bos anda. Sambil menggendong bayi dalam dakapan, kedua-dua belah tangan anda masih mampu digerakkan secara bebas untuk menyelesaikan pelbagai urusan penting melibatkan kerja rumahtangga atau urusan kerja lain. Penggunaan baby carrier memberikan kebebasan kepada anda untuk menjaga bayi sambil memasak hidangan makanan tengah hari di dapur, mop lantai, menaip laporan kerja di pejabat dan sebagainya. Memang fleksibel!
3. Tidur Bayi Lebih Lena
Apabila bayi selesa dalam dakapan ibu atau bapa, mereka akan menikmati tidur yang lebih lena. Tidur lena untuk seorang bayi amat penting untuk perkembangan otak yang cerdas. Bayi lebih mudah tidur dengan sendirinya apabila dikendong dalam baby carrier dan anda pula tidak perlu bersusah payah menetapkan posisi bayi yang membuatkan mereka tidur dengan lena. Berada dalam dakapan anda tidak kira di mana sahaja sudah cukup membuatkan bayi tidur tanpa gangguan sehingga beberapa jam lamanya.
4. Mengurangkan Beban Di Bahagian Lengan
Memang lenguh seluruh lengan dan badan apabila terpaksa mendukung bayi sehingga beberapa jam lamanya tanpa peralatan sokongan. Keadaan ini menyebabkan anda terpaksa bergilir-gilir dengan pasangan untuk tugas mendukung bayi. Baby carrier adalah penyelesaian terbaik menghilangkan lenguh di bahagian lengan ketika mendukung. Sistem sokongan baby carrier yang kuat mampu menampung berat sehingga beberapa kilogram sekaligus membolehkan anda mengurangkan beban dan kelenguhan di bahagian lengan.
5. Kepelbagaian Posisi
Salah satu kelebihan menggunakan baby carrier ialah posisi bayi tidak tetap pada satu keadaan sahaja. Rekabentuk baby carrier dilihat lebih fleksibel di mana anda boleh mempelbagaikan posisi bayi. Anda bebas menentukan mengikut keselesaan sama ada menggendong bayi di bahagian depan, belakang badan anda, membaringkan bayi dalam posisi tidur, meletakkan bayi dalam posisi mengadap ke arah anda atau membenarkan mereka berada dalam posisi duduk mengadap ke arah depan atau front-facing. Kepelbagaian meletakkan posisi bayi ini penting supaya anda merasa lebih fleksibel mengikut keselesaan postur tubuh anda.
6. Memudahkan Penyusuan
Penyusuan bayi menjadi lebih mudah apabila anda menggunakan baby carrier. Bukan hanya semasa anda berada di rumah. Malah semasa berada di tempat-tempat awam yang terbuka juga anda masih boleh menyusukan bayi anda dengan selesa. Sesetengah baby carrier direka untuk memudahkan anda menyusu semasa berada di hadapan umum di mana anda boleh menutupi bahagian dada supaya tidak terdedah semasa menyusu. Sesetengah ibu merasa tidak selesa menyusukan susu badan semasa berada di khalayak umum kerana bimbang payudara mereka dilihat oleh orang lain. Untuk itu, semasa memilih produk baby carrier pastikan anda tahu jika produk yang dipilih bersesuaian untuk tujuan penyusuan di khalayak umum.
7. Latihan Fizikal Untuk Anda
Jika anda tidak dapat meluangkan masa mennjalani latihan fizikal di gimnasium tidak mengapa. Menggendong bayi dalam baby carrier juga boleh dianggap sebagai salah satu latihan fizikal yang mencabar. Kebanyakan ibu dan bapa tidak mempunyai masalah menggendong bayi sambil berjalan-jalan kerana sistem sokongan yang sinergi antara postur badan kita dengan rekabentuk baby carrier yang lebih kukuh. Sebenarnya dengan menggendong bayi menggunakan baby carrier anda sudah dianggap melakukan senaman kekuatan terutama melibatkan bahagian atas badan. Luangkan masa sekurang-kurangnya 20 minit sehari berjalan-jalan di taman sambil menggendong bayi sudah cukup untuk latihan fizikal yang dapat menyihatkan sistem kardiovaskular dan kekuatan otot badan.
8. Boleh Dibawa Ke Mana Sahaja
Penggunaan stroller mungkin lebih memudahkan tetapi ia tidak fleksibel di bawa ke mana sahaja. Tidak seperti baby carrier di mana anda boleh membawa bayi anda ke tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai, ke kawasan pantai yang berpasir, mendaki bukit, melalui jalan yang sempit dan sebagainya. Dengan baby carrier anda tidak perlu susah melipat semula stroller yang di bawa dan dalam masa yang sama terpaksa pula membawa dua beban iaitu bayi dan stroller yang dilipat. Penggunaan baby carrier tentunya jauh lebih memudahkan untuk tujuan berjalan-jalan.
9. Mengeratkan Perhubungan Dengan Si Bapa
Salah satu masalah yang dihadapi oleh kebanyakan keluarga ialah anak-anak tidak begitu rapat dengan ayah berbanding dengan ibu. Ini kerana kaedah seorang ayah menunjukkan rasa kasih sayang terhadap anak-anak bayi mereka berbeza dengan cara seorang ibu mempamerkan rasa kasih sayang. Penggunaan baby carrier yang diamalkan seawal bayi berusia lima bulan adalah jalan terawal untuk mewujudkan perhubungan yang erat antara bapa dan anak. Bayi dapat merasai kehangatan tubuh badan ayah mereka membuatkan mereka lebih cepat kenal dengan bau badan seorang ayah sebagaimana mereka kenal bau badan ibu mereka semasa dilahirkan.
10. Lebih Menjimatkan Kos
Terdapat pelbagai pilihan baby carrier pada harga berpatutan untuk semua golongan masyarakat. Terdapat pelbagai pilihan harga baby carrier yang jauh lebih murah berbanding dengan harga sebuah stroller. Namun tidak dinafikan terdapat harga baby carrier yang jauh lebih mahal sehingga menyamai harga sebuah stroller. Harga baby carrier yang mahal ini boleh mencecah sehingga RM500 sehingga RM600 kerana rekabentuknya lebih ergonomik yang semestinya lebih selesa untuk bayi dan ibu bapa.
Pilihan Editor :