Pelembap udara atau air humidifier adalah alat untuk kediaman rumah yang berfungsi mengekalkan kelembapan udara pada tahap normal. Ia sesuai digunakan pada musim panas dan sejuk di mana ia akan mengekalkan udara persekitaran dalam rumah supaya tidak terlalu kering yang boleh mengundang pelbagai jenis penyakit. Antara penyakit yang berpunca daripada kualiti udara yang terlalu kering ialah kekeringan pada kulit, bibir merekah, jangkitan pada rongga pernafasan dan sakit tekak.
Ramai di antara kita yang mungkin masih tertanya-tanya apakah itu peralatan pelembap udara atau air humidifier. Bagaimana ia berfungsi dan bagaimana anda dapat memanfaatkan penggunaan alat ini secara maksimum untuk kesihatan. Apakah perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum anda memiliki air humidifier di sudut rumah.
10 perkara tentang pelembap udara atau air humidifier ini akan menjawab beberapa persoalan berguna untuk panduan awal kepada anda sebagai pengguna.
1. Mengapa Pelembap Udara / Air Humidifier Berguna Untuk Kediaman
Dalam keadaan kualiti udara yang kering, pelembap udara berguna untuk meningkatkan semula kelembapan udara yang menurun. Tahap kelembapan udara semakin menurun terutama pada musim sejuk dan musim panas. Apabila ini berlaku perkara yang paling membimbangkan ialah timbulnya gejala penyakit bagi penghuni rumah. Antaranya kekeringan tekak, bibir merekah, hidung berdarah dan masalah pernafasan. Untuk itu, anda memerlukan pelembap udara untuk melegakan saluran pernafasan supaya ahli keluarga dapat bernafas dalam kualiti udara yang baik dan menyihatkan. Untuk jangka masa panjang pula, kekeringan pada kualiti udara juga akan memberi kesan kepada perabot rumah yang diperbuat daripada bahan kayu. Lantai dan perabot kayu akan menggelupas dan meleding.
2.Bagaimana Pelembap Udara / Air Humidifier Berfungsi
Hampir kesemua pelembap udara berfungsi dengan cara yang sama. Peralatan ini menyebarkan kelembapan ke dalam udara sekitar kediaman anda dalam bentuk cecair seolah-olah kelihatan seperti kabus. Bergantung kepada jenama, terdapat pelembap udara yang memeluap iaitu wap ditukarkan kepada cecair. Ada juga yang menggunakan kipas dalaman untuk menarik udara ke dalam sistem peralatan dan memprosesnya menjadi udara tepu yang penuh dengan kelembapan. Kelembapan itu akan diedarkan semula ke udara secara berulangan menggunakan sistem kipas tersebut.
Jenis-Jenis Air Humidifier
Ultrasonic
Jenis pelembap udara ini menggunakan getaran bunyi pada frekuensi tinggi untuk menghasilkan kabus air halus yang kemudiannya dikeluarkan ke udara untuk meningkatkan kelembapan pada ruangan bilik. Ianya lebih senyap dan tidak menghasilkan bunyi. Pelembap udara ultrasonik umumnya tidak mempunyai penapis di bahagian dalamannya. Ramai pengguna mempertimbangkan jenis ultrasonik atas faktor keselamatan di mana ia tidak menyimpan air panas dalam sistemnya. Oleh itu tidak timbul isu kejadian melecur pada kulit.
Cool Mist
Pelembap udara jenis ini menghasilkan kabus sejuk yang mengedarkan kelembapan pada ruangan bilik anda. Kabus ini walaupun tidak begitu sejuk namun ia boleh menurunkan sedikit suhu panas pada ruangan bilik anda jatuh beberapa darjah celcius.
Warm Mist
Humidifier jenis hangat ini membantu apabila anda ingin mengekalkan suhu dalaman yang panas pada musim sejuk. Ia mempunyai sistem pemanas air di bahagian dalam yang akan memanaskan air sehingga mendidih dan memeluwap. Tenaga kepanasan ini seterusnya menggerakkan udara yag lembap ke seluruh ruang anda.
3. Mengekalkan Tahap Kelembapan Paling Ideal
Tahap kelembapan yang sihat adalah antara 30% sehingga 50%. Kelembapan terlalu tinggi melebihi 50% akan mewujudkan peluang pembiakan bagi bakteria, virus, kutu serta lain-lain serangga perosak lain. Jika kurang daripada 30% pula akan menyebabkan ruangan udara menjadi terlalu kering. Ini mengundang pelbagai jenis masalah penyakit terutama melibatkan sistem pernafasan. Untuk mengelakkan masalah kelembapan yang tidak terlalu kering atau terlalu lembap, kami mencadangkan anda mengekalkan tahap kelembapan antara 40% dan 45%. Untuk itu, pastikan anda mencari alat pelembap udara yang mempunyai penunjuk sistem ukur yang mengukur dan menyelaras kelembapan udara secara automatik.
4. Saiz Air Humidifier Paling Sesuai Untuk Anda
Ianya bergantung kepada saiz persegi ruangan yang anda. Kebanyakan pengeluar kan menetapkan saiz ruangan yang boleh diliputi oleh alat tersebut. Terdapat pelbagai saiz liputan yang ditawarkan dan anda perlu mengetahui spesifikasi sebelum membeli produk humidifier. Sebelum membeli elok sekiranya anda dapat mengukur atau sekurang-kurangnya menganggarkan saiz ruangan.
5.Kapasiti Alat Pelembap Udara
Kapasiti alat pelembap udara merujuk kepada output maksimum kelembapan yang mampu dihasilkan dalam masa 24 jam. Ianya bergantung kepada saiz tangki dalaman yang mampu menangkung air takungan apabila pengisian sepenuhnya dilakukan. Saiz humidifier yang besar biasanya mempunyai saiz kapasiti tangki yang lebih besar sehingga beberapa gelen air. Sebagai contoh, humifier konsol mempunyai saiz tangki yang lebih besar berbanding humidifier yang diletakkan di atas meja. Semakin besar saiz tangksi, semakin panjang kemampuan masa ia berfungsi malah mungkin melebihi tempoh 24 jam.
6. Cara Mengisi Air Dalam Alat Pelembap Udara
Untuk mengisi humidifier, anda hanya perlu membuka takungan air dan mengisinya dengan air bersih. Biasanya humidifier bersaiz kecil perlu diisi air secara manual. Namun ada sesetengah humidifier yang boleh dihubungkan terus ke bekalan paip air untuk bekalan air secara automatik apabila diperlukan. Humidifier jenis ini biasanya mempunyai sistem yang lebih kompleks berbanding yang bersaiz kecil.
7. Kekerapan Isian Semula Tangki Humidifier
Kebanyakan pelembap mudah alih perlu diisi semula setiap 24 jam jika digunakan sepanjang hari dan malam. Semakin lama anda memasangnya, semakin kerap anda perlu mengisi tangki air. Sekiranya waktu penggunaan dijarakkan atau berselang seli, semakin jimat air yang digunakan dan anda tidak perlu mengisinya secara berulang kali.
8. Jenis Air Pengisian Semula Tangki Humidifier
Air yang ditapis menerusi sistem penapisan air di rumah adalah pilihan air terbaik untuk digunakan. Ini kerana kelembapan yang dihasilkan daripada pelembap air akan memasuki sistem pernafasan oleh manusia di sekelilingnya. Jika anda menggunakan air yang tidak ditapis, dibimbangi bahan bendasing daripada air akan memberikan risiko kepada kesihatan. Namun jika anda menggunakan air daripada paip air, pastikan anda memilih produk air humidifier yang mempunyai sistem katrij penapisan air dalaman. Katrij penapis ini akan menapis sebahagian besar kandungan mineral air daripada dilepaskan ke udara dalam persekitaran anda. Selain itu, air suling juga sesuai untuk pengisian semula tangki alat.
9. Tetapan Masa Alat Pelembap Udara
Kebanyakan produk air humidifier masa kini mempunyai sistem kawalan digital yang canggih untuk penetapan tempoh masa yang beolh diprogramkan. Penetapan masa ini membolehkan alat dihidupkan dan dimatikan secara automatik bergantung kepada masa penetapan yang ditentukan sendiri oleh pengguna.
10. Penggunaan Tenaga
Penentuan penggunaan tenaga elektrik bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya tempoh masa anda menggunakan alat pelembap udara setiap hari. Ia juga bergantung kepada jenis humidifier yang anda gunakan. Penggunaan warm mist humidifier misalnya akan memerlukan kos elektrik yang lebih tinggi kerana ia melibatkan pemanasan air sebelum dilepaskan ke udara. Begitu juga dengan pelembap air konsol akan melibatkan lebih banyak penggunaan tenaga berbanding alat pelembap udara mudah alih.