Pernahkah terjadi ‘perang’ antara anda dan pasangan apabila berbincang tentang topik ‘Tambah Anak’ ? Sudah semestinya akan terjadi konflik jika anda dan pasangan mempunyai cara fikir yang tidak sama. Topik ‘tambah anak’ sebenarnya memerlukan persefahaman yang erat di antara suami dan isteri. Ia ibarat mengadakan satu perjanjian hidup yang harus ditanggung dalam keadaan jiwa dan mental yang penuh dengan persediaan di kedua-dua belah pihak. Ini kerana merancang menambah anak kedua, ketiga dan seterusnya tidak semudah seperti mendapatkan anak pertama. Di awal perkahwinan tentunya kedua-dua pasangan begitu teruja menunggu kehadiran si comel yang menjadi darah daging pertama dalam hidup.

Namun, seiring dengan perjalanan masa, pelbagai faktor akan mengubah keadaan. Rancangan ‘tambah anak’ mungkin menjadi perkara yang harus difikirkan secara matang dan berulang kali oleh kedua-dua belah pasangan. Jadi, bagaimanakah anda tahu jika anda sudah bersedia untuk menimang cahaya mata seterusnya?

Mulakan dengan bertanya pada diri sendiri dan pasangan tentang 10 persoalan di bawah ini sebelum memutuskan memiliki anak lagi.

1. Tanya Pandangan Pasangan Anda Mengenai Tambah Anak

Hidup berumahtangga tentunya memerlukan persefahaman dan persetujuan kedua-dua belah pihak. Berbincanglah dengan pasangan sama ada keputusan memiliki anak seterusnya boleh diteruskan dalam masa terdekat atau perlu dijarakkan untuk beberapa tahun berikutnya. Suami dan isteri pastinya mempunyai alasan tersendiri masing-masing apabila membincangkan soal tambah anak. Banyak faktor kedua-dua belah pihak yang mungkin berbeza perlu diutarakan supaya kata persefahaman dapat dicapai. Anda tidak boleh mengeluarkan kata utus dan menetapkan keputusan berdasarkan kehendak peribadi tanpa mendengar pendapat dari pasangan anda.

2. Kemampuan Dari Segi Ekonomi Keluarga

Kos membesarkan seorang anak sahaja memakan belanja yang besar. Anda perlu menyemak dari aspek ekonomi jumlah keseluruhan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk membesarkan seorang bayi. Kos ini meliputi dari segi keperluan lampin, pakaian, perubatan, perbelanjaan sekolah, yuran sekolah, upah pengasuh dan sebagainya. Adakah keadaan ekonomi antara suami dan isteri masih mempunyai ruang untuk dibelanjakan bagi anak seterusnya? Adakah kedua-dua pasangan mempunyai kewangan dan kerjaya yang stabil yang dapat menjamin kemampuan menanggung anak seterusnya? Suami adalah orang yang bertanggungjawab menanggung sebahagian besar perbelanjaan dalam rumahtangga. Persoalan mengenai keupayaan ekonomi seharusnya perlu lebih banyak dipersoalkan di pihak suami berbanding isteri. Lebih-lebih lagi jika isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Adakah suami mampu untuk menampung perbelanjaan anak seterusnya?

3. Adakah Keselesaan Rumah Sesuai Untuk Pertambahan Ahli Keluarga Baharu

Lihat keadaan rumah anda sama ada jumlah bilik yang ada cukup untuk menempatkan katil baharu untuk anda dan pasangan, anak pertama, kedua dan seterusnya. Jika anak terlalu ramai sedangkan jumlah bilik terhad untuk menempatkan katil anak, dibimbangi berlaku masalah untuk memisahkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan. Anak perempuan memerlukan bilik khas peribadi lebih-lebih lagi apabila mereka meningkat remaja. Walaupun adik beradik, batas tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan perlu diberi perhatian. Bagi suami dan isteri pula, anda juga memerlukan bilik tidur peribadi yang selesa tanpa perlu berkongsi dengan anak-anak. Ini penting untuk memastikan kelangsungan perhubungan seks boleh dilakukan dengan pasangan. Memang tidak salah berkongsi bilik lebih-lebih lagi di saat bayi sedang membesar. Namun pada satu peringkat umur, anda perlu memisahkan tempat tidur anak daripada anda dan pasangan.

4. Penerimaan Anak Yang Lebih Tua

Sudah tentu anak yang sedia ada bukan penentu utama bagi anda dalam membuat keputusan menambah anak seterusnya. Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab menerangkan tentang rancangan mendapatkan adik baru untuk anak yang sedia ada. Adakah mereka bersedia dan sanggup untuk mula berkongsi kasih sayang anda dengan adik yang bakal lahir. Ibu bapa bertanggungjawab menerangkan kepada anak yang sedia ada yang masih kecil tentang perkara yang bakal mereka lalui tentang perkongsian kasih sayang. Anak kecil yang sedia ada mungkin sukar menerima kenyataan bahawa mereka perlu berkongsi kasih dengan adik baru yang bakal dilahirkan. Andalah yang bertanggungjawab memberi kefahaman kepada mereka dengan sebaiknya.

5. Sebab Utama Mengapa Anda Ingin Tambah Anak

Tanya kepada diri dan pasangan mengapa anda berkeinginan tambah anak? Adakah kerana anda ingin keseimbangan jantina anak dalam keluarga? Adakah anak yang anda masih belum cukup untuk kemeriahan rumahtangga? Mungkin juga disebabkan faktor dorongan dari ahli keluarga mentua yang inginkan cucu yang lebih ramai untuk kemeriahan saat berhari-raya? Setiap pasangan memiliki alasan tersendiri untuk mendapatkan anak seterusnya.

6. Persediaan Mental, Fizikal & Rohani Ibu

Isteri adalah individu yang melahirkan anak. Kesakitan melahirkan anak tentunya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Pengalaman melalui kesakitan melahirkan bayi boleh menyebabkan fobia bagi sesetengah mereka yang bergelar isteri dan ibu. Ada pula yang sanggup mengharungi penderitaan mengandung dan melahirkan anak berulang kali tanpa sedikit pun perasaan fobia malah menjadi keseronokan dan kepuasan peribadi. Oleh itu amat penting bagi setiap pasangan berbincang tentang kesediaan mental, fizikal dan rohani seorang ibu yang melahirkan. Adakah mereka bersedia melalui proses kehamilan dan kelahiran yang penuh kesakitan dan cabaran.

7. Bersediakah Anda Membahagi Kasih Sayang Sama Rata Di Antara Anak-Anak

Memiliki lebih daripada seorang anak menuntut pengagihan kasih sayang yang sama rata oleh ibu bapa. Setiap anak-anak yang dimiliki perlu diberi nikmat kasih sayang dan perhatian yang sama rata supaya tidak wujud isu pilih kasih. Seringkali anak-anak yang sedang membesar mengalami gangguan emosi apabila ibu bapa tidak mampu berlaku adil dalam melayani setiap anak dalam sebuah keluarga. Anak sulung tidak harus dibezakan dengan anak bongsu. Begitu juga anak lelaki tidak harus diletakkan pada darjat yang lebih tinggi daripada anak perempuan sehingga berlaku perbezaan layanan antara anak yang berlainan jantina.

8. Perubahan Gaya Hidup

Cabaran membesarkan lebih daripada seorang anak bakal mempengaruhi perubahan gaya hidup sedia ada. Peralihan ini menuntut tanggungjawab yang lebih besar bagi suami dan isteri. Jika dahulu anda mungkin mampu bercuti beberapa kali dalam setahun bersama anak pertama. Apabila anak kedua lahir, perbelanjaan keluarga untuk bercuti akan semakin meningkat. Kekerapan bercuti mungkin akan berkurang setiap tahun.  Kecuali bagi mereka yang sememangnya mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh. Jika dulu mungkin anda masih mampu meluangkan masa kerja sehingga waktu malam. Namun apabila memiliki lebih daripada seorang anak, masa untuk mencari rezeki akan menjadi lebih terhad. Tanggungjawab menguruskan anak-anak terletak di atas bahu kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Suami tidak boleh memberatkan tanggungjawab mendidik dan menjaga anak kepada isteri semata-mata.

9. Kemampuan Fizikal & Kesihatan

Peningkatan usia suami dan isteri turut mempengaruhi tahap kesihatan dan kemampuan fizikal yang berlainan. Isteri yang berusia di bawah usia 30 tahun mungkin masih memiliki kemampuan fizikal yang lebih kuat berbanding dengan wanita yang melewati usia 30 dan 40 tahun. Faktor usia amat mempengaruhi keadaan kehamilan dan semasa bersalin. Jika salah seorang atau kedua-dua pasangan mengalami penyakit kronik yang memerlukan rawatan secara berkala, anda seharusnya mendapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan rancangan menambah anak seterusnya.

10. Berapa Ramai Anak ?

Penting bagi setiap pasangan merancang bilangan ahli keluarga yang diimpikan. Ada di kalangan kita yang mengimpikan kemeriahan ahli keluarga seperti sebuah pasukan bola sepak. Lebih ramai ahli keluarga tentulah lebih kemeriahan yang dirasai. Namun ada juga yang inginkan bilangan ahli keluarga yang sederhana. Kesemua sembilan faktor di atas perlu difikirkan dalam membuat keputusan sebelum tambah anak.