Selamat Tahun Baru 2019!
Setiap orang mempunyai azam dan idea tersendiri dalam menetapkan azam tahun baru. Ada yang berazam menjadi lebih cantik, kacak dan kurus. Ada yang berazam menambahkan amal ibadah dan memperbaiki diri ke arah lebih baik. Ada yang bercita-cita mewujudkan perniagaan sendiri untuk menghasilkan lebih banyak sumber kewangan. Sesetengah daripada kita melalui tahun 2019 dengan azam yang sederhana iaitu sekadar ingin menikmati hidup gembira dan sihat tanpa sebarang masalah yang berat.
Walau apa jua azam anda, kesempatan awal tahun baru tidak harus dibiarkan kosong tanpa pengisian. Azam tahun baru menjadi perangsang bagi anda meneruskan hidup dengan sesuatu yang berfaedah yang memberi manfaat untuk diri sendiri dan insan tersayang.
Apakah azam tahun baru yang perlu menjadi keutamaan dalam hidup seseorang? Berikut merupakan 10 matlamat yang anda tidak boleh abaikan sempena tahun baru 2019.
1.Kurangkan Berat Badan
Tahun yang berlalu bukan sahaja menyebabkan pertambahan umur. Berat badan juga semakin bertambah dari hari ke hari. Tentu ramai yang semakin risau menyaksikan berat badan sendiri yang semakin hari semakin meningkat. Ya! Terlalu banyak makanan sedap di dunia ini yang membuatkan anda sukar mengawal selera makan. Tidak salah untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang Sudah tentu anda boleh saja menikmati apa jua jenis makanan dan minuman yang digemari. Yang salah adalah anda membiarkan segala lemak makanan itu berkumpul di dalam badan tanpa sebarang senaman! Senaman penting bagi seseorang yang ingin mengurangkan berat badan. Satu-satunya cara untuk mengurangkan berata badan adalah melalui senaman yang kerap dan menjaga diet pemakanan secara teratur.
Mengurangkan berat badan memberi manfaat untuk diri anda sendiri. Berat badan yang ideal akan membuatkan seseorang itu kelihatan lebih cantik, kacak ,menarik dan yang penting terjaga kesihatan dari penyakit-penyakit milenium yang mengancam nyawa.
2. Jaga Kesihatan
Kesihatan adalah anugerah paling berharga sepanjang kita hidup. Bagi yang masih dikurniakan tahap kesihatan yang baik, anda harus berjaga-jaga dengan peningkatan umur setiap tahun. Meningkatnya umur seseorang akan meningkatkan juga risiko dihidapi pelbagai jenis penyakit yang tidak disangka. Paling utama adalah menjaga diri dari terkena penyakit tiga serangkai iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung. Tiga penyakit ini sebenarnya paling mudah untuk dihindari. Gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam adalah kaedah terbaik mencegah penyakit tiga serangkai. Penyakit tiga serangkai merupakan pembunuh utama yang paling sukar disembuhkan. Ia boleh menurunkan kualiti hidup seseorang dan mendedahkan diri kepada pelbagai penyakit lain yang tidak dijangka.
3. Kurangkan Berbelanja, Tingkatkan Simpanan
Mempunyai simpanan tetap pada tahap selesa adalah penting untuk kestabilan ekonomi diri dan keluarga. Salah satu kaedah terbaik meningkatkan jumlah tabungan akaun simpanan anda adalah melalui amalan berbelanja secara berhemah. Jika tahun-tahun sebelumnya anda meluangkan terlalu banyak masa dan wang dengan membeli pelbagai perkara yang tidak perlu, tahun ini berazamlah untuk mengurangkan aliran wang dengan menyalurkannya ke dalam akaun simpanan anda. Jika tahun sebelumnya juga anda gemar membelanjakan duit dengan barang-barang berjenama dan mahal, tahun ini anda kurangkan perbelanjaan itu dengan barangan berkualiti pada harga yang lebih munasabah.
4. Jaga Kestabilan Mental & Emosi
Setiap tahun semakin ramai yang menghadapi masalah mental dan emosi. Penyakit mental berpunca daripada tekanan emosi yang tidak terkawal menyebabkan seseorang pengidap itu menghadapi kemurungan. Paling menyedihkan bila pesakit bertindak mengambil nyawa sendiri. Anda perlu sentiasa memastikan tahap emosi sentiasa terkawal dengan tidak terlalu stres apabila berhadapan dengan masalah. Dapatkan nasihat kaunseling, pakar psikiatri atau melalui pembacaan buku-buku yang memberi anda panduan tentang kaedah mengurangkan stres yang boleh membawa kemurungan.
5. Tingkatkan Kualiti Masa, Kurangkan Membuang Masa
Sekarang ini pelbagai aktiviti tidak bermanfaat yang mengurangkan kualiti masa untuk untuk melakukan perkara-perkara berfaedah. Antaranya terlalu banyak melayan media sosial dan bermain permainan telefon pintar secara berlebihan. Begitu juga menonton filem, drama dan televisyen. Jika tahun sebelumnya anda menghabiskan masa dua sehingga tiga jam sehari dengan melayan media sosial, apa kata tahun ini anda cuba hadkan kepada 1 jam sehari dan membaca lebih banyak buku bermanfaat. Bagi pelajar pula, kurangkan masa menonton drama bersiri Korea sebaliknya tumpukan lebih persediaan menghadapi peperiksaan.
6. Tambah Kemahiran Kerjaya / Hobi
Anda sebenarnya boleh lebih maju dalam kerjaya dengan meningkatkan pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan kerjaya anda. Sebagai contoh jika anda seorang pengaturcara komputer, anda boleh menyertai pelbagai kelas bahasa pengaturcaraaan yang belum pernah anda terokai selama ini atau belum mahir. Seorang tukang masak boleh mencapai tahap profesional melalui kelas-kelas masakan bersama chef terkemuka. Seorang penulis boleh meningkatkan sumber pendapatan melalui kursus penulisan dan penerbitan. Penyertaan kelas yang menyediakan sijil setelah tamat kursus merupakan aset berharga yang meningkatkan nilai anda di sisi majikan syarikat.
Begitu juga hobi. Pelbagai hobi yang boleh dimanfaatkan ke arah yang lebih bermakna. Sebagi contoh hobi menghasilkan kraftangan dapat dijadikan sumber menambah pendapatan.
7. Perbaiki / Jaga Perhubungan Keluarga & Orang Tersayang
Keluarga adalah aset paling berharga yang tidak boleh diketepikan. Seringkali dalam keluarga akan berlaku krisis yang menyebabkan hubungan kasih sayang menjadi renggang. Pergaduhan suami dan isteri akan memudarkan cinta dan kasih sayang. Pergaduhan adik beradik akan menjarakkan hubungan kekeluargaan. Jika tahun sebelumnya anda terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga menyebabkan kurangnya masa bersama anak, tahun ini dan seterusnya anda perlu berazam untuk memastikan ada masa yang diluangkan untuk mereka. Salah satu punca yang menyebabkan kualiti hidup seeorang itu jatuh adalah apabila kita gagal menjaga perhubungan kasih sayang antara keluarga.
8. Jadi Lebih Pemurah
Pemurah di sini bermakna anda perlu berusaha mengikis sifat bakhil dan kedekut dalam diri. Sifat buruk ini bukanlah satu sikap yang baik untuk diamalkan. Ia hanya merugikan diri sendiri kerana anda tidak akan mendapati sebarang kebaikan dan balasan baik dengan mengekang diri dari menjadi seorang yang pemurah. Anda boleh menjadi pemurah dengan pelbagai cara. Antaranya memperbanyakkan sedekah, memberi makan kepada gelandangan dan orang miskin, belanja kawan-kawan makan di restoran, sedekah ke tabung masjid atau rumah ibadat dan pelbagai lagi cara asalkan ia memberi manfaat dan kegembiraan kepada orang lain.
9. Bersikap Lebih Optimistik, Kurangkan Bersikap Pesimistik
Sikap optimistik dan pesimistik berkait rapat dengan keyakinan diri dan cara kita melihat sudut pandangan sesuatu perkara. Jika anda ingin lebih berjaya di tahun 2019 atau thun-tahun seterusnya, anda wajib mengubah diri dan sudut pandangan dengan menilai sesuatu secara positif. Sebaliknya sifat pesimistik akan menjadikan seseorang itu tertutup, sukar memperbaiki kelemahan diri dan lebih gemar bersikap menyalahkan daripada menyelesaikan sesuatu perkara. Jika anda meneruskan hidup sebagai seoranga yang pesimistik, sukar untuk anda mendapatkan pencapaian tertentu dalam hidup dan menjalinkan hubungan yang positif dengan orang sekeliling.
Sebaliknya, sikap optimis menjadikan anda selalu yakin dalam sesuatu tindakan, mengurangkan rasa takut mengambil risiko dan tidak memandang rendah terhadap kekurangan diri dan orang lain.
10. Mengurangkan Beban Kewangan Iaitu Hutang
Hutang keliling pinggang yang tidak selesai sering membuatkan seseorang itu mengalami tekanan dan masalah hidup. Menyelesaikan hutang merupakan salah satu intipati pengurusan kewangan yang baik. Cara terbaik menguruskan hutang adalah melalui pengurusan hutang-hutang lama yang sering tertangguh serta berusaha untuk tidak terlibat dengan hutang yang mempunyai kadar faedah pinjaman bernilai kosong. Agak sukar untuk seseorang itu tidak terlibat dengan kadar pinjaman bernilai kosong terutama melibatkan pinjaman bank dan kad kredit. Untuk itu anda perlu duduk dan mendaptkan nasihat mereka yang mahir dalam pengurusan hutang dan kewangan untuk merancang semula pengurusan hutang-hutang lama anda yang tertangguh dan menyelaraskan semula kedudukan kewangan secara lebih berhemah dan stabil.