Jarang sekali kanak-kanak yang tidak berminat dengan permainan. Buktinya, kebanyakan ibu sentiasa merungut kerana kepenatan menyimpan barang mainan anak-anak mereka yang bersepah di seluruh sudut rumah. Memang sukar untuk mengawal keinginan kanak-kanak yang sentiasa menginginkan koleksi permainan baru di rumah. Mereka sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dan terlalu berminat mengumpul pelbagai koleksi permainan.
Malangnya tidak semua jenis permainan yang dibeli bermanfaat untuk perkembangan minda kanak-kanak. Akhirnya yang penat tentulah si ibu yang terpaksa mengemas permainan yang setiap hari disepahkan oleh anak-anak. Jika ini berlaku kepada anda, seharusnya anda berhenti berfikir sekejap sebelum membuat keputusan membeli suatu permainan untuk anak-anak.
Tidak semua jenis permainan yang diminta oleh anak anda perlu dibeli. Sebagai ibu bapa, anda seharusnya lebih selektif dalam pemilihan permainan untuk anak anda. Daripada anda membazirkan duit membeli barang permainan yang tidak membawa sebarang manfaat, apa kata anda pertimbangkan 10 jenis permainan kanak-kanak yang perlu ada di rumah. Yang penting, permainan ini perlulah memberi manfaat untuk perkembangan minda dan spasial anak anda.
1. Lego
Bermainan pembinaan penuh inspirasi untuk dunia imaginasi kanak-kanak. Lego mengasah kreativiti, daya tumpuan serta membentuk kemahiran teknikal dan mekanikal dalam diri anak-anak. Permainan Lego digemari oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan seluruh dunia. Permainan susunan bongkah-bongkah kecil plastik oleh Lego ini perlu disusun mengikut tema atau model yang dibeli.
Lego menyediakan beratus-ratus jenis model binaan yang perlu diselesaikan oleh kanak-kanak. Antaranya model kereta, rumah, bangunan, keretapi, kapal terbang, kapal angkasa, orang-orangan dan pelbagai lagi model yang menarik. Kesemua tema permainan Lego pula terhasil daripada idea filem-filem dan kartun yang pernah popular seperti Star Wars, Spiderman, Harry Potter, Fantastic Beasts, Batman dan lain-lain.
2. Permainan Berpapan / Board Game
Antara permainan berpapan popular popular di Malaysia ialah chess, monopoli, snake and ladder dan scrabble. Ia merupakan permainan berpapan yang digerakkan berasaskan peraturan dan strategi antara pemain. Dalam permainan berpapan, kanak-kanak akan belajar teknik penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir untuk mencapai matlamat dalam permainan. Kebaikan lain permainan berpapan adalah ia mewujudkan semangat persaingan yang sihat di kalangan pesaing-pesaing lain yang perlu dihadapi. Permainan berpapan boleh merapatkan perhubungan kekeluargaan apabila mereka berkumpul bersama-sama untuk bermain.
3. Puzzle
Anak anda pasti bijak menyusun atur, memecahkan teka teki dan menggunakan analisis logik untuk penyelesaian puzzle. Bermain puzzle dapat mempertajamkan fikiran dan daya pemerhatian kanak-kanak. Ianya tidak boleh diselesaikan tanpa kemampuan kanak-kanak dalam menghubungkan logik penyelesaian bentuk permainan puzzle yang dihadapi. Dengan permainan puzzle, kanak-kanak mampu belajar bersabar untuk menyelesaikan ceraian-ceraian kepingan puzzle yang bercampur aduk. Hanya kanak-kanak yang sabar sahaja mampu untuk menyelesaikan permasalahan puzzle sehingga ke kepingan terakhir.
4. Abakus Huruf
Untuk memperkenalkan dunia bacaan kepada kanak-kanak, mereka perlu diajar terlebih dahulu mengenal huruf. Untuk mengenal huruf, mereka perlu mengetahui bentuk-bentuk huruf dan sebutannya. Sebelum memperkenalkan mereka dengan buku, ada baiknya anda membeli abakus huruf sebagai langkah awal memperkenalkan bentuk-bentuk huruf kepada anak-anak anda yang masih kecil. Kanak-kanak akan mudah belajar melalui susunan dan bentuk huruf berwarna-warni melalui hafalan visual dan pendengaran. Anda cuma perlu sentiasa menemani anak-anak membaca huruf-huruf itu setiap hari. Baharulah mereka cepat mengenal huruf.
5. Stacking Ring Toys
Permainan interaktif yang membantu memahirkan sistem koordinasi bayi. Sedari kecil, bayi anda perlu diajar menggunakan deria pergerakan dan saraf untuk ketajaman sistem koordinasi. Ia merupakan permainan gelang berbentuk bulat pelbagai saiz yang perlu disusun secara menaik dari bawah sehinggalah ke atas bermula dari gelang bersaiz besar dan akhirnya bersaiz kecil. Bayi anda perlu mengawal keseimbangan koordinasi pergerakan tangan dan genggaman tangan mereka bagi memastikan gelang-gelang tersebut berjaya dimasukkan ke tempatnya secara tersusun.
6. Papan Lukisan
Adakalanya kanak-kanak menjadi begitu berminat dengan dunia lukisan dan conteng-conteng. Untuk mengelakkan idea kreatif lukisan mereka di conteng ke tempat-tempat tidak sepatutnya, anda seharusnya menyediakan sebuah papan lukisan untuk kanak-kanak. Papan Grow’n Play Fold Art Studio ini dilengkapi dengan meja yang boleh ditukarkan kepada papan lukisan dengan begitu mudah. Anak anda boleh duduk fokus bermain dengan alat-alat lukisan dan warna yang disediakan berjam-jam lamanya tanpa rasa bosan. Dengan membekalkan anak-anak sebuah papan lukisan, anda tidak perlu lagi risau dinding rumah dipenuhi contengan yang sukar ditanggalkan. Kanak-kanak juga boleh belajar dan fokus melukisa di tempatnya.
7. Permainan Jam
Kanak-kanak selalunya paling susah dan lambat untuk belajar membaca jam sama ada jam berbentuk analog yang ditunjukkan oleh putaran jarum atau jam bacaan digital. Kebanyakan kanak-kanak didapati paling lambat mengutarakan waktu semasa jam apabila ditanya oleh ibu bapa. Walaupun kita sering melihat kanak-kanak kecil begitu gemar bergaya dengan jam tangan, mereka tidak semestinya mahir membaca waktu yang dipaparkan. Oleh itu, anak anda memerlukan pendedahan dari bayi lagi tentang kaedah membaca jarum jam dan mengenal nombor serta tahu membezakan antara jarum jam panjang dan jarum pendek.
8. Permainan Memancing
Sekali pandang memang comel apabila melihat ikan-ikan dengan mata dan mulut yang besar yang tersusun begitu banyak dalam papan memancing. Ia disertai pula dengan bunyi muzik dan suara-suara ikan yang meriangkan ketika sesi permainan memancing dimulakan. Kanak-kanak perlu cepat mengail ikan-ikan dengan batang joran yang disediakan. Ikan-iakan akan bergerak secara berpusing pada kelajuan yang agak pantas. Permainan ini juga berupaya menajamkan sistem koordinasi dan pergerakan tangan dan mata kanak-kanak supaya bergerak secara pantas dan tepat. Jika tidak, past ikan-ikan tersebut tidak akan berjaya ditangkap.
9. Permainan Simetri
Permainan yang memperkenalkan pelbagai bentuk simetri seperti segitiga, segiempat dan bulatan. Permainan simetri ini akan mengajar kanak-kanak menyusun atur urutan papan kecil bersimetri secara bersambungan. Sedikit kesilapan dalam sambungan akan menyebabkan runtuhan atau sambungan tidak berjaya. Kanak-kanak akan belajar mengenal bentuk-bentuk simetri dan belajar menyusun bongkah secara teratur sama ada melalui tunjuk ajar ibu bapa atau bermain sendiri setelah belajar berulang kali. Untuk lebih mudah, ibu bapa boleh mendapatkan Edushape Magic Symmetry C1 yang boleh menggabungkan bongkah simetri secara kuat melalui tarikan magnet. Ia boleh memegang susun atur bongkah supaya tidak jatuh.
10. Permainan Sukan
Kanak-kanak perlu digalakkan menyertai aktiviti senaman secara aktif. Sukan bukan sahaja menjadikan kanak-kanak lebih sihat dan kuat. Perkembangan otak mereka juga akan semakin cerdas. Pelbagai jenis mainan sukan kanak-kanak sesuai untuk permainan di dalam mahupun di luar rumah. Antaranya permainan badminton, gelung rotan, kasut roda, papan seluncur dan lain-lain. Antaranya permainan badminton, gelung rotan, kasut roda, papan seluncur dan lain-lain. Permainan sebegini sesuai untuk permainan di tempat-tempat awam seperti taman permainan dan taman bunga. Di samping bermain, anda sekeluarga boleh melakukan aktiviti kecergasan dan rekreasi bersama-sama.