Setiap ibu yang bakal melahirkan anak tentunya menginginkan layanan terbaik dan tahap keselesaan yang maksimum semasa bersalin di hospital. Para ibu yang memilih untuk bersalin di hospital swasta tentunya memiliki alasan tersendiri di atas pilihan mereka. Tidak dinafikan faktor keselesaan menjadi alasan utama mengapa mereka memilih untuk bersalin d hospital swasta walaupun kos perbelanjaannya jauh lebih mahal berbanding hospital kerajaan.
Bagi pasangan yang memiliki kemampuan dari segi kewangan, bersalin di hospital swasta adalah satu kelebihan utama yang perlu dimanfaatkan. Kita tidak nafikan bahawa memang terdapat jurang yang besar antara hospital bersalin kerajaan dan swasta terutama dari segi kos, perkhidmatan, keselesaan layanan ke atas pesakit serta khidmat kepakaran dari kalangan pekerja hospital. Kewujudan hospital bersalin swasta sekurang-kurangnya membantu mengurangkan jumlah pesakit yang harus ditanggung oleh hospital kerajaan sehingga adakalanya menyebabkan kesesakan di wad bersalin seluruh Malaysia.
Bagi pasangan suami isteri yang tinggal di kawasan bandar terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor, ini dia 10 hospital swasta terbaik untuk ibu bersalin di Lembah Klang yang anda boleh masukkan dalam senarai untuk tempahan sebelum tibanya waktu bersalin.
1. Hospital Pusrawi Kuala Lumpur
Ibu hamil yang merancang untuk bersalin di hospital ini perlu menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum tarikh jangkaan bersalin. Tempahan awal perlu dilakukan beberapa bulan lebih awal untuk kemudahan mendapatkan tempat yang terhad. Sesuai bagi ibu hamil dari kalangan orang Muslim. Hospital ini menawarkan pakej bilik bersalin untuk dua dan empat orang dalam satu bilik pada harga yang berpatutan untuk penginapan 2 hari 1 malam. Pakej ini termasuk untuk prosedur kelahiran normal, ujian darah serta perundingan oleh pakar perbidanan dan kanak-kanak.
Laman Web : http://www.pusrawi.com.my
2. Hospital Pakar Al Islam, Kuala Lumpur
Menyediakan pakej bersalin normal berserta pakej penginapan 2 hari 1 malam pada harga di bawah RM3,000. Untuk tempahan bersalin di hospital ini, anda perlu melakukan sekurang-kurangnya dua kali pemeriksaan hamil di Hospital Pakar Al-Islam sebelum tarikh bersalin. Terdapat 3 jenis bilik penginapan selepas bersalin iaitu bilik perseorangan serta perkongsian bilik untuk 2 dan 4 orang. Pakej ini termasuk juga khidmat nasihat dari pakar perbidanan dan kanak-kanak. Hospital yang bersifat mesra ibadah ini menyediakan perkhidmatan terbaik khususnya untuk ibu-ibu Muslim yang merancang untuk bersalin tanpa sebarang isu aurat.
Laman Web : http://al-islamhospital.com.my
3. Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur
Menawarkan pakej bersalin secara normal dan pembedahan. Pada ibu bapa yang mencari pakej lengkap bermula pada harga RM7,000 hospital ini adalah pilihan terbaik untuk anda. Pakej ini tidak termasuk kos pendaftaran dan kos rawatan kecemasan lain sebagai contoh suntikan epidural dan suntikan tahan kesakitan. Hanya bilik penginapan persendirian selepas bersalin disediakan. Hospital swasta tersohor di Kuala Lumpur ini tentunya menawarkan keselesaan berganda untuk anda, pasangan anda dan bayi yang baharu lahir. Untuk kelahiran sehingga 31 Disember 2018 ini, Prince Court Medical Centre menawarkan harga khas untuk para ibu bapa.
Laman Web : https://www.princecourt.com/news/prince-court-delivery-package/
4. Hospital Pantai Kuala Lumpur
Hospital Pantai Kuala Lumpur mempunyai ramai doktor pakar perbidanan dari kalangan lelaki dan perempuan yang berpengalaman. Ini termasuklah staf dari kalangan jururawat yang mempunyai pengalaman tinggi dalam penjagaan ibu bersalin dan bayi baharu lahir. Kebanyakan wanita lebih selesa bersalin di bawah jagaan doktor wanita. Oleh kerana itu, ramai pakar perbidanan di Hospital Pantai KL terdiri daripada kaum wanita. Antara doktor perbidanan dari kalangan wanita yang berkhidmat ialah Dr. Idora Mohamed, Dr Premitha Damodaran dan Dr Suriati Akmal Mahari.
Laman Web : https://www.pantai.com.my/cheras/maternity-services
5. KPJ Sentosa Kuala Lumpur
Menawarkan pakej bersalin secara normal dan pembedahan. Pakej ini terbahagi kepada bilik penginapan selepas bersalin iaitu bilik persendiri, bilik perkongsian dua orang dan empat orang dalam satu bilik. Untuk harga pakej yang lebih murah anda boleh semak jika terdapat tawaran promosi yang disediakan pada setiap tahun. Doktor pakar perbidanan yang merawat pesakit terdiri daripada seorang doktor wanita dan dua doktor lelaki dari pelbagai kaum yang berpengalaman tinggi dalam bidang obstetrik dan ginekologi.
Laman Web : http://www3.kpjsentosa.com.my/
6. Hospital Rampai Puteri, Kuala Lumpur
Menyediakan pakej menarik untuk kaedah bersalin secara normal dan pembedahan. Setiap pakej mempunyai terma dan syaratnya yang akan berubah mengikut keadaan seperti bersalin anak kembar, suntikan epidural dan permintaan daripada pesakit untuk rawatan tertentu. HArga pakej juga mungkin berubah mengikut keadaan kesihatan pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan semasa bersalin. Pakej normal bermula daripada harga di bawah RM3,000 sahaja manakala pakej pembedahan bermula dari pakej di bawah RM7,000. Majoriti doktor pakar perbidanan mereka terdiri daripada kalangan doktor wanita. Hospital mesra muslim ini amat sesuai bagi wanita yang Muslim yang kurang selesa dengan rawatan dari doktor lelaki.
Laman Web : https://www.rampaiputeri.com
7. Pusat Perubatan Sunway
Pusat perubatan pelbagai bidang yang sememangnya terkenal di seluruh Malaysia. Hospital swasta ini menyediakan penjagaan sebelum, semasa dan selepas kelahiran bayi anda. Bagi tahun 2018, Pusat Perubatan Sunway menyediakan pakej promosi potongan 20% untuk pakej bersalin secara normal dan pembedahan. Bagi anda yang ingin mengetahui promosi bagi tahun-tahun selepasnya, pastikan anda sentiasa menyemak laman web mereka untuk kemaskini terkini. Pakej promosi bermula antara RM3,500 sehingga RM9,000.
Laman Web : http://sunwaymedical.com/
8. Kelana Jaya Medical Centre
Kelana Jaya Medical Centre adalah salah satu hospital di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd. Hospital swasta ini menyediakan pakej bersalin secara normal dan pembedahan yanng anda boleh tempah secara online dengan mudah. Pakej ini termasuk dalam kos bilik wad penginapan 2 hari 1 malam, suntikan imunisasi bayi asas iaitu BCG, vitamin K dan dos pertama suntikan hepatitis B serta penyediaan makan dan minum. Hospital ini mempunyai seorang doktor pakar perbidanan wanita iaitu Dr. Fatima Najla dan seorang doktor perbidanan lelaki yang akan memberikan rawatan bersalin kepada ibu dan bayi anda.
Laman Web : https://kmihealthcare.com/kjmc
9. KPJ Tawakkal Kuala Lumpur
Menawarkan pakej bersalin secara normal bermula pada harga RM3,300. Untuk harga bersalin secara pembedahan anda perlu mendapatkan maklumat secara terus daripada pihak hospital. Tenaga pakar perbidanan hospital ini terdiri daripada doktor lelaki dan wanita yang berpengalaman. Pakej yang disediakan merupakan harga asas bagi caj wad sehari dua malam, suntikan vaksin bayi, penjagaan selepas bersalin dan tidak termasuk caj-caj tambahan jika berlaku kecemasan.
Laman Web : https://www.kpjtawakkal.com
10. Pusat Perubatan Taman Desa
Pusat Perubatan Taman Desa adalah salah satu hospital di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd. Menawarkan pakej bersalin secara normal bermula dari harga RM3,700 dan pembedahan bermula dari harga RM7,900. Anda boleh membuat tempahan beberapa bulan sebelum bersalin dan pihak hospital akan menghubungi untuk tindakan selanjutnnya.
Lamann Web : http://kmihealthcare.com/tdmc