Tidur adalah salah satu cara perkembangan otak bayi boleh berlaku secara maksima. Pada peringkat awal kelahiran bayi iaitu antara 0 sehingga 6 bulan, seorang bayi memerlukan tempoh masa tidur antara 14 sehingga 18 jam sehari. Pada usia ini bayi masih dalam tempoh penyesuaian diri untuk membezakan antara waktu malam dan siang. Oleh itu anda akan dapati bayi akan sentiasa mengalami masalah menangis dan terjaga daripada tidur pada waktu tengah malam. Mereka juga akan tidur mengikut tempoh waktu yang tidak konsisten seperti orang dewasa.

Setelah memasuki usia enam bulan dan ke atas, tempoh masa tidur mereka akan menjadi normal dan berkurang sehingga 12 jam sehari secara maksima. Pada usia ini mereka sudah mula mampu membezakan antara waktu malam dan siang. Tetapi mereka juga akan sering terjaga semasa terutamanya pada waktu malam disebabkan faktor seperti lapar, cuaca yang terlalu panas atau sejuk, kembung perut dan sebagainya.

Cara Menidurkan Bayi Dengan Mudah

Untuk memastikan bayi memiliki waktu tidur yang berkualiti dan maksimum, perkara yang paling penting adalah cara menidurkan bayi. Kaedah menidurkan bayi yang betul, cepat dan berkesan mampu menjimatkan masa anda disamping menguruskan kerja rumah dan tugas seharian.

Untuk itu kami kongsikan kepada anda 10 cara menidurkan bayi dengan mudah semudah A B C.

1. Elakkan Eye-Contact Dengan Bayi

Semasa membaringkan bayi di tempat tidur, elakkan daripada melihat ke arah mata mereka secara berterusan. Cara ini akan mempercepatkan rasa mengantuk pada bayi berbanding jika anda terus menerus menatap mata mereka untuk memastikan bayi tidur dengan cepat. Mata bayi akan menjadi semakin segar apabila anda terus menerus melakukan eye contact dengan mereka semasa tidur. Cara terbaik adalah dengan meletakkan bayi di atas badan anda dan dodoikan mereka dengan nyanyian yang perlahan. Tepuk belakang badan mereka dan biarkan mata mereka menghadap ke arah belakang iaitu di atas bahu anda. Jika mereka berbaring, biarkan mata mereka mengadap ke arah siling atau kipas yang berpusing. Cara ini akan memudahkan bayi untuk tidur dengan sendirinya tanpa pertolongan anda.

2. Mandikan Bayi Sebelum Tidur

Pastikan bayi anda tidur dalam keadaan selesa dan bersih. Memandikan mereka dengan air biasa atau air suam adalah cara terbaik meletakkan mereka dalam situasi paling nyaman sebelum tidur. Ia seolah-olah meditasi dalaman tubuh yang menyelesakan sebelum tidur. Lampin dan baju yang bersih juga memberikan perasaan yang selesa kepada bayi sebelum tidur. Tukarlah lampin sebelum setiap kali sebelum tidur terutama pada waktu tidur utama seperti ketika waktu tengah hari dan sebelum tidur pada malam hari. Keselesaan semasa tidur akan menjadikan tidur mereka lebih panjang.

3. Tidur Bersama Bayi

Ibu yang berada di sisi bayi ketika tidur akan membuatkan bayi lebih selesa dan lebih mudah tertidur. Sama ada anda menidurkan mereka di atas katil atau tidur di atas badan anda, bayi akan merasa lebih nyaman dan selamat apabila menyedari ibunya berada di sisi. Jika mereka terjaga seketika sekalipun mereka akan cepat kembali semula tidur apabila mendapati ibu mereka tidur bersama di sisi mereka.

4. Minimakan Cahaya

Tidak kira sama ada cahaya dari lampu atau matahari, pastikan anda menidurkan bayi dalam keadaan cahaya bilik yang paling minima seolah-olah tidur pada waktu malam. Cahaya yang terlalu terang yang masuk menerusi tingkap atau pancaran dari cahaya lampu akan semakin menyegarkan mata si kecil menyebabkan mereka semakin sukar untuk tidur. Periksa jika langsir bilik tidur bayi terlalu nipis atau jenis material kain jarang yang menyebabkan cahaya matahari terlalu menerangi suasana bilik. Langsir yang terlalu nipis tidak sesuai untuk bilik seorang bayi kerana mereka perlu tidur dalam keadaan cahaya yang redup. Jika bayi terjaga pada waktu malam sekalipun, jangan sesekali menyalakan lampu bilik kerana ini seolah-olah memberi isyarat mereka untuk bangun. Sebaliknya kembalikan bayi kepada tidur mereka tanpa bantuan cahaya lampu.

5. Tunggu Seketika Ketika Bayi Mula Mengantuk

Bayi boleh belajar tidur sendiri pada keadaan tertentu. Anda tidak perlu segera menodoikan mereka untuk tidur. Sebaliknya cuba biarkan mereka leka dengan diri mereka sendiri di katil atau tempat pembaringan tanpa sebarang gangguan. Cara ini akan membuatkan mereka segera mengantuk dan seterusnya tidur dengan sendirinya. Kaedah ini akan mengajar bayi supaya tidak terlalu bergantung untuk digendong dan didodoikan setiap kali ingin tidur.

6. Menggendong Bayi

Tidurkan bayi sambil menggendong di atas badan anda iaitu dengan cara mendukung mereka secara berbaring. Cara lain juga adalah dengan merapatkan kepala mereka ke bahu anda supaya mereka boleh menyandarkan kepala mereka ke bahu anda semasa ingin tidur. Cara ini amat sesuai diamalkan dalam keadaan tertentu seperti semasa di dalam kereta. Namun menggendong bayi setiap kali sebelum tidur tidak digalakkan kerana ini akan menyebabkan mereka sukar membiasakan diri untuk tidur dalam posisi lain tanpa pertolongan anda.

7. Elakkan Gangguan Bunyi Bising

Bayi mudah tidur apabila suasana bilik atau persekitaran jauh dari bunyi bising. Jika anda mempunyai anak-anak lain yang masih kecil, elakkan mereka daripada bermain di persekitaran bayi yang ingin tidur kerana ini akan menyebabkan mereka terkejut apabila mendengar suara yang terlalu kuat. Menidurkan bayi dalam bilik tidur adalah lebih baik daripada menidurkan mereka di hadapan televisyen atau di ruang tamu yang dipenuhi dengan kanak-kanak yang sedang bermain.

8. Tidur Pada Waktu Berjadual

Bayi anda perlu dibiasakan tidur pada waktu yang tetap. Contohnya menetapkan tidur pada waktu tengah hari. Lakukan rutin ini sentiasa seperti menanam jam automatik dalam diri mereka untuk tidur pada waktu yang sepatutnya. Rutin tidur yang diamalkan secara tetap akan membuatkan mata mereka menjadi mengantuk pada waktu yang sama tanpa anda perlu bersusah payah mencari waktu sesuai untuk membuatkan mereka tidur.

9. Jangan Tidurkan Mereka Terlalu Awal

Untuk memastikan bayi tidur dengan lena sepanjang malam, elakkan daripada menidurkan mereka terlalu awal. Tidur terlalu awal sebelum menjelang malam akan menstimulasikan otak mereka untuk berjaga sehingga lewat malam. Waktu terbaik menidurkan bayi pada waktu malam adalah sekitar 8.30 malam dan ke atas. Elakkan menidurkan mereka pada waktu petang kerana ini akan menyebabkan stimulasi otak dan mata mereka menjadi segar pada sebelah malam.

10. Menepuk Punggung Bayi

Tepukan yang lembut pada punggung bayi akan membuatkan mereka rasa terbuai dan selesa. Sama ada ketika anda meletakkan mereka di atas katil atau menggendong mereka, berikan tepukan lembut di bahagian belakang atau punggung mereka untuk beberapa ketika sehingga anda mendapati mata mereka hampir layu. Setelah itu baharulah anda boleh berhenti dan meletakkan bayi di tilam tempat mereka tidur.