Orang kata dunia luar adalah sekolah kedua selepas rumah dan alam persekolahan. Dunia luar adalah motivasi terbaik untuk seorang kanak-kanak mempelajari sesuatu yang mampu membentuk minda mereka secara lebih matang, luas dan berkemahiran.

Bagi seorang kanak-kanak, bermain, bereksperimen, berani mengambil risiko dan melakukan penerokaan adalah salah satu cara mereka untuk mengembangkan minda. Kesemua aktiviti ini melibatkan keseluruhan otak dan fizikal yang menjadikan mereka lebih cepat belajar terhadap sesuatu. Sebagai contoh apabila mereka bermain bola, minda mereka dirangsang untuk mencari jalan bagaimana sebiji bola dapat ditendang masuk ke gol pihak lawan. Contoh lain seperti aktiviti mendaki bukit. Bagaimana minda mereka terangsang mencari jalan laluan selamat untuk mengelakkan dari bahaya seterusnya sampai sehingga ke puncak.

Semua pendedahan ini menyumbang kepada perkembangan minda. Oleh kerana itu peranan ibu bapa amat penting dalam menggalakkan anak mereka supaya sentiasa aktif melibatkan diri dengan aktiviti luar. Anda sebagai ibu bapa seharusnya menyediakan senarai aktiviti luar sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk anak-anak. Ingat! Dunia seorang kanak-kanak bukan hanya di sekolah dan rumah. Anda boleh mendedahkan mereka dengan pelbagai aktiviti luar menjana minda anak anda. Contoh terbaik adalah 10 aktiviti di bawah ini.

1.Taman Permainan Kanak-Kanak

Aktiviti di taman permainan amat sesuai bagi kanak-kanak yang berumur antara 3 bulan sehingga 1 tahun pertama. Taman permainan adalah tempat permainan awal yang paling selamat untuk kanak-kanak pada usia ini.

Pilih taman permainan awam yang mempunyai ciri-ciri berikut iaitu tempat permainan yang berwarna-warni, kawasan rumput, udara yang terbuka, burung-burung yang berterbangan, bunyi-bunyian seperti suara burung, kenderaan, suara kanak-kanak bermain dan sebagainya.

Kesemua unsur-unsur ini penting untuk memperkenalkan bayi anda kepada objek-objek yang disentuh, dilihat dan didengar. Sebagai contoh beza antara suara burung dan manusia. Tekstur rumput dan warnanya yang hijau, bunyi kenderaan yang pelbagai seperti motosikal dan kereta. Kepanasan cahaya matahari yang memberikan refleks kepada saraf mata dalam penerimaan cahaya dan sebagainya. Semua ini merupakan rangsangan awal yang mampu menjana minda mereka terhadap dunia luar bagi seorang bayi.

2. Bercucuk Tanam

Bagi anda yang memiliki lebihan ruang sama ada di balkoni rumah, memiliki kebun buah-buahan, kebun sayur-sayuran atau sawah padi, manfaatkan ia sebagai salah satu cara menjana minda anak anda. Pada usia awal kanak-kanak, mereka terbuka untuk terlibat dalam semua aktiviti baharu termasuk bercucuk tanam. Menerusi aktiviti bercucuk tanam, kanak-kanak didedahkan dengan tumbuh-tumbuhan, nama buah-buahan, nama sayuran, warna buah yang pelbagai, peralatan bercucuk tanam, kaedah menanam dengan betul, aktiviti menyiram bunga, menggali tanah, hidupan dalam tanah seperti cacing dan seterusnya. Semua aktiviti ini mampu menjana minda dan skil kanak-kanak dalam aktiviti tanaman.

3. Bermain Air

Anda boleh tentukan lokasi bermain air paling untuk kanak-kanak. Antaranya kolam renang kanak-kanak, kawasan pantai dan air terjun. Skil berenang adalah amat penting untuk diajarkan kepada kanak-kanak seawal usia mereka memasuki 2 tahun. Disamping menjadi salah satu aktiviti luar yang meriangkan, minda anak anda dijana untuk bersedia dengan skil keselamatan diri semasa berada di dalam air. Mereka juga diajar bagaimana mengawal pernafasan dan pergerakan supaya dapat mengapungkan diri dengan baik. Cara ini dapat meningkatkan keberanian dan keyakinan mereka semasa berhadapan dengan air. Disamping itu, kesihatan jantung dan paru-paru mereka juga dapat dipelihara melalui aktiviti berenang.

4. Bermain Basikal

Berbasikal bagi kanak-kanak adalah satu pendedahan yang wajib perlu dilakukan sebagai salah satu aktiviti luar. Ddengan belajar menunggang basikal, anak anda akan belajar bagaimana mengawal minda supaya badan mereka dapat diseimbangkan semasa berada di atas basikal supaya tidak terjatuh. Mengajar basikal agak sukar pada awalnya bagi kanak-kanak. Namun jika dilatih secara berterusan, secara semulajadi mereka dapat membina keyakinan dan keberanian diri untuk berani mengambil risiko seperti rasa sakit ketika jatuh. Penawasan ibu bapa semasa proses belajar basikal amat penting untuk keselamatan.

5. Membuat & Bermain Layang-Layang

Aktivit membuat dan bermain layang-layang adalah skil yang pernah dipelajari semasa zaman kecil ibu bapa. Membina dan bermain layang-layang adalah satu cara pembelajaran menjana minda mengenai arah angin, aerodinamik, matematik, geografi, rekabentuk, seni, kawalan diri dan sebagainya. Projek membina layang-layang memerlukan skil yang betul supaya layang-layang mampu diterbangkan sesuai mengikut arah angin. Kanak-kanak belajar bagaimana mengadaptasi dan menggabungkan ilmu pengukuran, aerodinamik dan seni untuk menghasilkan dan menerbangkan layang-layang dengan jayanya.

6. Mengecat & Melukis Mural

Mungkin anda risau warna dalam rumah dirosakkan oleh kanak-kanak. Jika begitu pilih satu ruangan dinding di bahagian luar rumah yang boleh digunakan untuk aktiviti mengecat sekeluarga. Jika tidak boleh menggunakan dinding, anda boleh sediakan lapisan papan putih yang besar untuk aktiviti mengecat dan melukis mural. Aktiviti ini dapat mendedahkan anak anda dengan dunia warna, kemahiran melukis, mewarna dan mengecat seperti seorang profesional. Berbeza dengan aktiviti melukis di atas kertas, kanak-kanak didedahkan dengan peralatan cat yang lebih kompleks seperti pemilihan warna cat, berus yang sesuai, skil melukis, teknik mengecat yang betul dan sebagainya.

7. Wall Climbing

Wall climbing adalah salah satu aktiviti lasak luar rumah paling selamat dan sesuai untuk kanak-kanak. Aktivit ini melibatkan rangsangan adrenalin, fizikal, minda dan keupayaan mereka dalam membuat keputusan. Pergerakan fizikal melibatkan seluruh anggota terutama tangan dan kaki dapat menguatkan otot badan mereka. Yang penting juga, minda anak anda akan diajar bagaimana mengawal kedudukan koordinasi badan dan koordinasi mata supaya tidak terjunam jatuh. Mata, otak dan fizikal perlu tangkas berfikir dalam menentukan pergerakan langkah antara kaki, tangan dan seluruh anggota badan.

8. Berkhemah Dalam Hutan

Pemilihan lokasi perkhemahan dalam hutan adalah untuk pendedahan kepada kanak-kanak dalam dunia survival yang penuh mencabar. Dalam aktiviti perkhemahan, kanak-kanak akan diajarkan bagaimana membaca penunjuk arah sama ada melalui peralatan kompas, arah kedudukan matahari, arah angin serta kedudukan buruj di langit. Semua ini adalah penjanaan minda dalam dunia survival. Anak anda juga akan belajar bagaimana menyalakan api, membaca peta, mengelakkan dari gangguan serangga dan haiwan, belajar tentang tumbuh-tumbuhan, membina khemah dan sebagainya.

Panduan Perkhemahan Keluarga Sempena Cuti Sekolah

9. Gotong-Royong

Aktiviti gotong-royong adalah usaha terbaik untuk penjanaan minda kanak-kanak dari pelbagai sudut. Paling penting adalah kepentingan menjaga kebersihan di persekitaran komuniti seperti kawasan perumahan, sekolah, kebersihan dalam rumah dan tempat-tempat awam. Dalam melakukan gotong-royong anak anda perlu melibatkan diri dengan masyarakat. Perkara ini dapat mengajar mereka cara bersosial dengan masyarakat untuk mewujudkan perasaan kasih sayang dan kerjasama yang erat untuk kepentingan semua pihak.

10. Seni Mempertahankan Diri

Seni mempertahankan diri seperti silat, karate-do, taekwondo, judo dan sebagainya adalah satu penjanaan minda yang membantu mereka untuk berfikir dan mengawal diri secara rasional. Menerusi kelas seni pertahanan diri, mereka akan diajar pergerakan untuk mempertahankan diri dari serangan musuh, mengawal dari sikap marah, mendidik diri supaya lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan orang sekeliling, belajar untuk saling menghormati, membina keyakinan diri serta melatih minda supaya sentiasa cekap dalam mengatur gerakan semasa berhadapan dengan musuh.