Santan kotak kalau dibeli pek besar di pasaraya, mesti akan ada lebihan dan seterusnya disimpan di dalam peti ais untuk kegunaan kelak. Tetapi jika dibiarkan lama di dalam peti ais, ianya akan basi sebegitu sahaja. Seterusnya kita akan buang sahaja lebihan santan dan pembaziran akan berlaku.
Berhenti melakukan pembaziran lagi, Puan Nelisa Sofea berkongsi cara-cara beliau menyimpan santan agar tahan lebih lama buat semua pembaca. Perkongsian ini disiarkan di akaun Facebook miliknya dan sememangnya patut anda semua contohi. Bagaimanakah cara Puan Nelisa menyimpan santan? Jom kita ikuti tipsnya:
Simpan santan dalam bekas kecil
Jika membeli santan dalam pek kecil merugikan, maka, anda boleh beli santan dalam pek yang lebih besar dan lebih jimat. Lebihan santan yang sudah anda gunakan, anda simpankan dalam bekas palstik ais krim.
Anda hanya memerlukan 2 bahan sahaja yang mudah untuk didapati dan murah. Pastikan anda mempunyai santan serta plastik ais krim.
Mudah sahaja, anda hanya perlu tuangkan sahaja santan ke dalam bekas plastik ais krim sehingga penuh dan ikat simpul. Simpan di dalam peti ais di bahagian sejuk beku. Keluarkan apabila anda mahu menggunakan dan hanya perlu ‘defrost’ sahaja.
Cara ini bukan hanya mampu menyimpan santan agar tahan lebih lama, malah ianya menyenangkan kerja anda kerana anda hanya perlu keluarkan kuantiti plastik ais krim mengikut bilangan yang diperlukan sahaja. Tip tambahan adalah dengan membungkus plastik ais krim berisi santan dengan mengguankan surat khabar agar tahan lebih lama. Pastikan anda basahkan kertas surat khabar dahulu dan balutkan. Hasilnya santan akan kekal segar dan tidak terpisah air dari santannya.