Cabaran bagi ibu bapa untuk memilih prasekolah yang sesuai buat anak-anak. Walaupun telah banyak tadika dan taska diselidiki, namun dalam membuat keputusan memilih prasekolah bukanlah semudah ABC. Perkara utama yang perlu dipertimbangkan adalah mengenai perkembangan anak-anak dan kesesuaian mereka belajar di situ.
Table of Contents
6 tanda pilihan anda salah!
Anda sudah mendaftar kemasukan anak anda di tadika? Setakat ini, bagaimana perkembangan anak anda? Jika salah satu petunjuk di bawah terdapat di tadika anak anda, maka jangan berlengah untuk mencari tadika lain yang terbaik untuknya. Jangan risau, masih belum terlewat untuk anda berubah fikiran. Ketahui petanda mudah anda sudah tersilap membuat keputusan.
1. Ceria atau suram?
Persekitaran di tadika adalah subjek penting yang perlu diambil kira. Jika persekitarannya tidak menarik, bagaimana suasana pembelajaran ingin dicipta?
Tadika yang menarik perlu mempunyai dekorasi dinding yang berwarna-warni, papan notis berhias untuk tatapan kanak-kanak, guru yang bertenaga dan kreatif semasa mengajar dan bahan pembelajaran yang terkini serta menarik minat pelajar.
Jika anda rasa persekitaran yang disebutkan tadi tidak terdapat di tadika anak anda, maka anda boleh mula berfikir untuk mencari tadika lain.
2. Guru pengganti ibu bapa?
Semasa di tadika, guru dan kakitangan di sana diibaratkan sebagai pengganti ibu bapa dalam menjaga kanak-kanak. Kualiti penting yang perlu ada pada guru dan kakitangan di situ ialah sabar dan penyayang.
Apabila ibu bapa meninggalkan anak mereka di tadika, guru dan penjaga di situ perlu memberikan kasih sayang dan perhatian kepada anak kecil ini.
Bagi mengetahui sama ada anak anda mendapatkan perhatian yang diperlukan, cuba lihat keadaannya semasa pulang dari tadika. Tanyakan padanya tentang guru yang mengajar dan lihat reaksinya.
Jika anak anda rasa diabaikan, kurang perhatian ataupun dibuli, mungkin dia tidak berminat untuk bercerita mengenai keadaan sekolahnya. Lebih malang lagi, jika dia tiada semangat atau tidak mahu ke sana. Mungkin ini juga menjadi petunjuk pilihan yang anda buat dulu salah.
3. Ramai belum tentu bagus
Jika anda lihat semakin ramai kanak-kanak mendaftar masuk di tadika berkenaan, mungkin anda perlu pertimbangkan untuk mencari tadika lain.
Ya, anak anda perlu berkawan dengan ramai kanak-kanak bagi membina personalitinya, tetapi jika terlampau ramai kanak-kanak dalam satu-satu kelas, bagaimana anak anda dapat diberikan perhatian secukupnya?
4. Utamakan keselamatan
Menakutkan bukan apabila mendengar cerita tentang kurangnya keselamatan di tadika yang sering dipaparkan dalam media? Lagi perkara yang perlu anda titik beratkan ialah soal keselamatan dan kesihatan.
Semasa anda menghantar dan mengambil anak anda, perhatikan bagaimana kanak-kanak ini dijaga, bagaimana mereka menguruskan soal kebersihan? Adakah kakitangan di situ berbau rokok? Perkara kecil sebegini dapat membantu anda mengetahui prosedur keselamatan yang diamalkan di tadika ini.
5. Ambil tahu
Menghantar anak anda ke tadika bukan bermaksud anda boleh lepas tangan. Setiap kali selepas mengambil anak anda dari tadika, tanyakan kepadanya perkara yang berlaku di tadika sepanjang hari. Apakah aktiviti yang dibuat di sana? Pada usia seperti itu, anak anda memerlukan aktiviti yang dapat merangsang pertumbuhan mental, fizikal, emosi dan sosialnya.
Jika guru yang diambil berkelayakan dan terlatih, mereka akan menyediakan aktiviti yang melibatkan pelajar seperti permainan, membaca, bercerita, berkomunikasi dan banyak lagi.
Namun, jika anak anda memberitahu aktiviti yang dijalankan hanyalah menonton televisyen, bermain, makan dan tidur, anda boleh mula mencari-cari tadika lain yang sesuai.
6. Erat hubungan
Semasa menghantar anak anda ke prasekolah, adakah anda akan meluangkan masa berborak dengan kakitangan atau guru terlibat bagi mengetahui perkembangan anak anda? Polisi pintu terbuka diperlukan dalam memilih tadika yang baik.
Jika anda perhatikan guru atau kakitangannya sukar meluangkan masa untuk mereka bercerita tentang perkembangan anak anda, inilah masanya untuk anda cari tadika lain yang mengamalkan polisi terbuka.