Hari pertama anak di nurseri, pusat pengayaan, prasekolah mahupun di sekolah merupakan hari yang mendebarkan untuk para ibu bapa. Mana tidaknya, pelbagai persoalan terlintas di fikiran ibu bapa seperti bagaimana keadaan anak pada hari pertama persekolahan, bolehkah dia menyesuaikan diri dengan rakan-rakannya atau pandaikah si kecil menggunakan tandas di sekolah?

Sebelum hari persekolahan

Pada hari pertama persekolahan si manja, ibu bapa akan berasa gembira memikirkan si anak akan menempuhi suatu pengalaman baharu. Akan tetapi, pernahkah anda terfikir adakah si kecil anda bersedia untuk melalui pengalaman tersebut? Jangan terkejut jika anda dapati si manja anda tidak gembira dengan berita tentang keperluannya untuk hadir ke sekolah. Hal ini adalah sesuatu yang normal kerana ramai kanak-kanak akan berasa takut atau tidak selesa dengan keadaan baru dan asing bagi mereka.

Sebagai ibu bapa, menjadi tugas kita untuk membantu anak-anak melalui fasa transisi, terutama apabila melibatkan perkara baru di prasekolah, tadika, sekolah rendah, menengah mahupun kolej. Apa yang kita mahukan untuk anak kita adalah supaya mereka bergembira di sekolah dan dapat menyesuaikan diri dengan alam persekolahan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah dan perkara yang perlu diberi perhatian bagi menyediakan anak anda untuk ke sekolah, seperti bercerita tentang keadaan di sekolah dengan si kecil dan membantunya mengembangkan kemahiran-kemahiran asas yang perlu untuk persediaan ke sekolah.

TIPS BONUS: Bantu anak anda untuk menguasai kemahiran asas yang diperlukan sebelum masuk ke prasekolah seperti mengajarnya menggunakan tandas, memakai pakaian dan membutangkan baju, mengikat tali kasut serta bersosial.

Langkah-langkah membantu anak atasi sindrom hari pertama sekolah

1. Ceritakan tentang sekolah. Bawa anak anda ke sekolah barunya dan melihat persekitaran di sekolah bagi membantunya bersedia dengan keadaan di sekolah. Selain itu, perkenalkan juga si manja kepada bakal gurunya. Usah khuatir kerana kebanyakan sifat guru prasekolah adalah mesra kanak-kanak. Jadi, jika anda perkenalkan si manja secara face-to-face dengan gurunya, si manja akan lebih yakin, selesa dan tidak takut untuk ke sekolah.

2. Bantu si manja atasi rasa takut. Kenal pasti perkara apa yang ditakuti oleh anak anda seperti takut untuk mengenali kawan baru atau takut untuk pergi ke tandas. Jika anda dapat ketahui apa punca utama anak anda berasa takut, lebih mudah untuk anda membantunya mengatasi ketakutan.

3. Mulakan rutin harian persekolahan. Latih anak anda untuk mengikuti rutin yang biasa mereka lalui semasa hari sekolah seperti bangun awal pagi dan mengetahui pakaian yang perlu dipakai ke sekolah. Selain itu, ajar anak anda untuk tidur pada satu-satu waktu supaya dia mudah bangun pagi untuk ke sekolah.

4. Beritahunya tentang jadual yang akan dilalui di sekolah seperti mengikuti kelas menyanyi, bersukan dan melukis.

5. Perkenalkan anak anda dengan kawan barunya semasa hari pertama. Atau mungkin, jika anda ketahui ada jiran anda yang akan menghantar anak mereka ke sekolah yang sama dengan si manja, berilah masa kepada anak anda bergaul dengan anak jiran sebelum hari persekolahan.