“Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Peribahasa ini begitu tepat sekali merujuk kepada amalan membaca. Sama seperti nilai-nilai murni yang lain, setiap keluarga perlulah menjadikan membaca sebagai satu amalan dan perlu dipupuk sejak kecil lagi. Bagi menjadikan membaca sebagai suatu kegemaran kanak-kanak, ikuti langkah yang kami sediakan untuk menyemai budaya membaca di rumah. Masih belum terlambat jika anda ingin mencipta suasana membaca di rumah anda.

Gambar & warna

Apa yang kanak-kanak suka lihat? Kanak-kanak gemarkan sesuatu yang berwarna-warni dan bergambar. Jika anak anda penggemar kartun, cari buku cerita yang menunjukkan gambar seiras dengan kartun kegemaran anak anda seperti program kartun Tom & Jerry, anda boleh carikan buku yang mengandungi gambar kucing atau tikus.

Buku cerita kanak-kanak memang mengandungi gambar yang besar dan warna yang menarik selain teks yang disediakan juga ringkas. Bagi memulakan langkah menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak, anda cuba belikan buku cerita yang mengandungi teks yang sedikit. Sekali-sekala bawa anak anda bersama ke kedai buku bagi membolehkannya memilih sendiri buku yang ingin dibaca.

Kad huruf

Walaupun anak anda sudah memasuki Tahun Satu, namun masih belum terlambat untuk anda membelikannya kad huruf yang banyak dijual di kedai buku. Hanya luangkan masa beberapa minit sehari dan mengajarnya mengingat huruf. Apabila kanak-kanak sudah biasa dengan huruf, kemudian anda boleh mula menggabungkan huruf konsonan dan vokal dan menyebut dengan membunyikan suku kata. Anda boleh lihat perkembangan anak anda dalam membaca!

Ruangan membaca

Jika tiada ruang untuk membuat perpustakaan mini di rumah anda, apa kata anda hias bilik anak anda dengan menambah rak buku dan ruangan membaca di dalam biliknya. Dengan adanya tempat khas yang membolehkannya duduk dan membaca, anak anda pasti akan bermotivasi untuk meluangkan masa setiap hari dengan membaca. Paling utama, hias ruangan membaca anak anda dengan warna yang menarik supaya dia lebih tertarik! Bagaimanapun, jangan biarkannya membaca seorang diri pada hari-hari pertama. Sebaliknya, sebelum dia dapat membiasakan diri dengan ruangan membacanya itu, anda perlu menemaninya dengan membaca bersama-sama.

Baca bukan untuk diri sendiri

Sementara anak anda membiasakan diri membaca seorang diri, apa kata anda bacakan padanya buku cerita. Semasa membaca, anda tekankan perkataan yang perlu anak anda ketahui dan mengejakan perkataan untuknya supaya dia mula belajar mengenal perkataan. Jadikan sesi membaca dan bercerita ini sebagai rutin harian keluarga anda.

Kraf bacaan

Sekali-sekala rajinkan diri anda untuk menggunting huruf-huruf daripada majalah atau surat khabar dan menampalnya pada sekeping kertas besar. Anda boleh mengajak anak anda melakukan aktiviti ini bersama-sama. Contohnya, anda akan menggunting huruf dan menyuruh anak anda menampal. Setelah siap satu cerita pendek, ajaklah anak anda membaca hasil yang sudah ditampal itu. Bagi menjadikan hasil kraf anda lebih menarik, anda boleh mencari gambar yang sesuai dan ditampal pada kertas tersebut. Kreatif bukan? Teknik ini bukan sahaja mengajar anak anda minat membaca, tetapi juga dapat mengajarnya lebih kreatif.

Dengar! Dengar! Dengar!

Jika anak anda sudah boleh membaca, jangan biarkannya bersendirian. Tunjukkan minat untuk mendengar pembacaannya. Anak anda lebih suka jika ada yang mendengar semasa dia sedang membaca. Malah, dia juga boleh terus bertanya kepada anda jika ada perkataan atau ayat yang tidak difahami.

Amalan membaca perlu disemai dalam diri setiap individu. Tidak kiralah apa jenis bahan pembacaan. Seharusnya amalan membaca perlu dipupuk dari rumah. Ungkapan buku ialah teman baik setiap orang pasti akan digunakan sampai bila-bila kerana dengan adanya buku anda tidak akan merasa bosan atau keseorangan.

PERLU & JANGAN

Mengapa kanak-kanak jarang membaca atau tidak minat membaca? Puncanya mungkin kerana kurang tumpuan ketika membaca atau tidak faham makna perkataan yang dibaca. Jadi, bagaimana ingin memastikan kanak-kanak ini menjadikan amalan “Membaca Jambatan Ilmu”? Ketahui perkara yang PERLU dan DILARANG dalam usaha mendidik kanak-kanak membaca.

PERLU:

Motivasi dan galakan ibu bapa

• Kanak-kanak akan timbul minat membaca jika diberikan sokongan daripada mereka yang terdekat dengannya

Tanam minat membaca

• Belikan buku sebagai hadiah atau ganjaran jika dia dapat melaksanakan sesuatu

Guna pendekatan berhikmah

• Ajaknya bermain dengan perkataan seperti semasa bermain bola, anda menyuruhnya mengeja bola kemudian baru melambung kepadanya. Kemudian, mulakan perlahan-lahan membina ayat dengan melihat persekitaran seperti “Adik dan ibu sedang bermain bola.”

Contoh teladan

• Jika anda sendiri tidak mengamalkan budaya membaca, bagaimana minat membaca boleh disemai dalam diri anak anda. Umpama “ketam mengajar anaknya berjalan”. Anda sendiri perlu menunjukkan contoh teladan yang baik dengan membaca setiap hari. Kelak, anak anda akan berminat untuk mengikut jejak langkah anda

JANGAN:

Jangan paksa

• Jika anak masih tidak mahu membaca, jangan memaksanya membaca. Cara kekerasan hanya akan membuatkannya hilang minat untuk membaca

Jangan marah

• Tidak meninggikan suara kepadanya setiap kali dia tidak mahu membaca

Rasuah

• Jangan membiasakan anak anda dengan ganjaran jika dia berjaya melakukan sesuatu. Sebaliknya, upahnya dengan bahan bacaan supaya minat membaca akan timbul

Jangan kritik

• Lazimnya, kanak-kanak gemarkan bahan bacaan yang ringan seperti komik dan majalah. Jangan sesekali kritik minatnya itu, sebaliknya cuba carikan majalah yang mengandungi komik berilmu di dalamnya. Anda juga boleh mengumpul komik kartun yang terdapat dalam surat khabar