Penyusuan tidak seharusnya menyakitkan bagi ibu yang menyusukan bayi. Namun, tidak mustahil jika ibu baru mengalami rasa sakit pada puting semasa awal penyusuan terutama bagi ibu yang pertama kali menyusukan anak. Walau bagaimanapun, kadar kesakitan bagi setiap ibu berbeza, ada yang mengalami rasa sengal, ada pula yang mengalami puting berdarah dan puting merekah.
Normal jika anda rasa tidak selesa semasa pertama kali bayi ingin menyusu, terutama pada beberapa hari terawal selepas kelahiran, iaitu ketika susu mula ingin terhasil. Gejala seperti ini selalunya akan berkurangan selepas beberapa kali bayi menghisap susu, iaitu ketika pengeluaran susu sudah lancar. Sebagai bahagian tubuh yang sensitif pada badan, anda perlu menjaganya dengan baik tanpa memberikan sebarang tekanan pada payudara mahupun puting anda.
INFO
Meskipun tubuh bayi baru lahir kecil, namun dia mempunyai refleks hisapan yang cukup kuat. Jadi, tidak hairanlah mengapa tisu puting anda akan mengambil masa untuk biasa dengan pengalaman baru ini.
Memanglah selama ini kita dengar bayi akan pandai menyusu sendiri. Namun, itupun jika anda memberikan bantuan dan tunjuk ajar kepada si manja dengan teknik-teknik yang betul. Anda sendiri perlu belajar mekanisme penyusuan, cara meletakkan bayi, sokongan payudara dan sebagainya. Sakit puting biasanya akan berlaku pada hari-hari terawal kelahiran sehingga usia bayi dua minggu (jika anda mengambil inisiatif untuk mengurangkan masalah ini). Dan sepatutnya, selepas tempoh tersebut, proses penyusuan tidak
lagi menyakitkan.
PUNCA-PUNCA
Kebanyakan punca sakit puting adalah disebabkan oleh cara lekapan dan posisi bayi yang tidak sesuai semasa penyusuan. Ingatlah bahawa bayi anda sedang cuba untuk membiasakan diri menyusu dengan betul. Dengan sistem tubuh yang masih belum cukup matang memerlukan bayi baru lahir untuk mahir dalam mekanisme penyusuan. Pergerakan bibir, lidah atau gusi yang tidak sesuai menyebabkan sakit pada puting serta payudara. Sesi penyusuan yang kerap akan dapat membantu bayi memahirkan diri mereka dalam penyusuan.
APA TINDAKAN ANDA?
Berjumpa dengan doktor atau pakar laktasi jika anda mengalami masalah-masalah di bawah:
• Puting luka atau berdarah
• Sakit semasa menyusukan anak
• Sakit berterusan selama seminggu atau dua minggu
SAPU KRIM
Puting yang rosak jika dibiarkan tidak dirawat boleh meningkatkan risiko mastitis, iaitu jangkitan pada payudara. Justeru itu, ibu memerlukan krim payudara atau krim penyusuan yang baik untuk melegakan kesakitan sekaligus melancarkan proses penyusuan kepada bayi.