Bagaimanakah kandungan kembar dua terhasil?Bagaimanakah kandungan kembar dua terhasil?Secara umumnya kehamilan akan terjadi apabila satu telur matang yang dihasilkan oleh kilang telur seseorang wanita bercantum dengan seekor sperma dari pasangannya.
Terdapat dua cara di mana kandungan kembar dua (twins) terhasil:
• Dua telur dipersenyawakan oleh dua sperma berlainan
– Kehamilan kembar tersebut akan menghasilkan kembar dua yang tidak seiras. Ianya dikenali juga sebagai fraternal twin atau dizygotic twins
• Satu telur yang dipersenyawakan oleh satu sperma membahagi kepada 2
– Kehamilan kembar tersebut di atas pula akan menghasilkan kembar dua yang seiras. Mereka mempunyai raut muka yang seiras dan juga adalah jantina yang sama. Kembar dua ini dikenali sebagai monozygotic twins.
Perlu diingat kandungan kembar bukanlah setakat kembar 2 tetapi boleh juga menjadi kandungan 3 (triplet) atau pun lebih.
Peluang untuk mendapatkan kandungan kembar jika menggunakan rawatan kesuburan
Bagi pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, bergantung kepada punca masalah kesuburan, pakar fertiliti akan memberikan ubat kesuburan yang akan merangsang kilang telur atau ovari untuk menghasilkan lebih dari satu telur. Oleh itu, kebarangkalian untuk kehamilan kembar akan menjadi lebih tinggi.
Peluang untuk hamil kembar sekiranya ubat pil subur Clomid diberikan
Rawatan kesuburan pada peringkat awal selalunya menggunakan pil subur untuk merangsang kilang telur. Peluang untuk hamil kembar dua dengan menggunakan pil subur seperti Clomid adalah lebih kurang 10%. Manakala, kembar tiga adalah hanya 1 hingga 2% sahaja.
Peluang untuk hamil
kembar sekiranya ubat rangsang telur seperti FSH (Follicle-Stimulating Hormone) digunakan Hormon FSH adalah ubat-ubatan suntikan hormon yang kerap kali digunakan untuk merangsang telur semasa rawatan kesuburan seperti IUI ataupun IVF diberikan. FSH dapat merangsang kilang telur dengan lebih kuat berbanding dengan Clomid. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya risiko kandungan kembar adalah lebih tinggi dalam anggaran 30 hingga 40%. Walaupun kebanyakan kandungan kembar tersebut adalah kandungan kembar 2, lebih kurang 5% adalah kandungan kembar 3 ataupun lebih.
Peluang untuk hamil kembar sekiranya rawatan IUI diberikan
Rawatan IUI akan memberikan kadar kejayaan kehamilan 10 hingga 15%. Untuk merangsang telur, ubat kesuburan Clomid sahaja ataupun Clomid + FSH akan diberikan bergantung kepada latar belakang pesakit. Pasangan yang berjaya hamil setelah menjalani rawatan IUI dan mengandung kembar bergantung kepada berapa telur yang berjaya dihasilkan.
Peluang untuk hamil kembar sekiranya rawatan IVF diberikan
Peluang untuk kehamilan kembar selepas rawatan IVF adalah lebih tinggi berbanding dengan kehamilan spontan. Ianya adalah dalam anggaran 20 hingga 30%. Ini disebabkan oleh bilangan embrio 1 hingga 3 diletakkan kembali ke dalam rahim semasa prosedur embrio transfer (ET).
Polisi untuk mengurangkan risiko kandungan kembar selepas rawatan IVF
Statistik tersebut diambil dari rawatan IVF yang telah dijalankan di negara United Kingdom. Boleh dilihat bahawa peratus kehamilan kembar telahpun menurun disebabkan polisi tidak lebih dari 2 embrio dipindahkan ke dalam rahim bagi wanita berumur 40 tahun ke bawah.
Sebenarnya risiko untuk kehamilan kembar dipandang serius terutamanya jika kandungan kembar tersebut adalah hasil daripada rawatan IVF. Oleh itu, tidak hairanlah jika dilihat negara-negara barat seperti Australia dan United Kingdom terdapat polisi di mana tidak lebih daripada 2 embrio sahaja dibenarkan dipindah masuk ke dalam rahim wanita semasa prosedur embrio transfer. Malah, kini dengan peningkatan teknologi makmal IVF, polisi SET (Single Embryo Transfer) di mana hanya satu sahaja embrio dibenarkan diletak kembali terutamanya bagi wanita berumur 35 tahun ke bawah bagi mengelakkan kandungan kembar telah mula diperkenalkan di negara-negara barat.
Di KL Fertility Centre, kami hanya akan meletakkan 2 embrio sahaja semasa prosedur embrio transfer. Ini adalah untuk mengurangkan risiko bagi kandungan kembar. Peluang untuk kehamilan kembar 2 bagi pasangan di mana 2 embrio dipindahkan semasa ET adalah dalam lingkungan 20 hingga 30%. Risiko kehamilan kembar 2 adalah lebih tinggi untuk wanita yang lebih muda (30 tahun dan ke bawah).
Walaupun terdapat ramai pendapat umum yang teruja apabila melihat pasangan yang berjaya mendapat kandungan kembar, akan tetapi Dr Tasha ingin menasihatkan bahawa kandungan dan kehamilan kembar mempunyai risiko yang tinggi untuk ibu yang hamil dan juga bayi- bayi yang dikandungnya. Oleh itu, pasangan TTC hendaklah prihatin mengenai risiko yang bakal dihadapi. Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai risiko kandungan kembar, sila layari
Di samping itu, amat sukar untuk mengawal bilangan folikel yang bakal terhasil selepas stimulasi ovari dengan ubat kesuburan seperti Clomid ataupun suntikan hormon FSH. Oleh itu, rangsangan telur terutamanya jika untuk IUI ataupun bersama sendiri dengan suami (TSI – timed sexual intercourse) perlu dilakukan berhati-hati.
Akan tetapi, sebagai seorang pakar fertiliti, Dr Tasha memahami pasangan TTC terutamanya di Malaysia yang memang menghadapi masalah untuk hamil dan terpaksa menanggung kos rawatan fertiliti yang tinggi, tentulah menginginkan kadar kejayaan kehamilan yang tinggi. Oleh itu, buat masa ini Dr Tasha masih akan letak 2 embrio selepas konsultasi dengan pasangan TTC tersebut. Ramai juga wanita yang berusia muda hanya meletakkan kembali 1 sahaja embrio kerana di usia muda, kadar kejayaan untuk mereka masih amat baik. Oleh itu, hendaklah berbincang dengan teliti pros and kons mengenai bilangan embrio yang hendak diletakkan kembali.