Bersempena dengan sambutan Hari Raya yang bakal menjelang, banyak pusat membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengambil peluang ini untuk menghiasi ruangan pusat membeli belah dengan tema raya yang paling menakjubkan. Masing-masing mengetengahkan elemen unik dan kelainan di samping masih lagi mengekalkan sisi tradisional pada temanya. Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke semua senarai pusat membeli-belah ini sebelum terlambat.
Table of Contents
1. Suria KLCC
Pusat membeli-belah terkemuka di tengah kota Kuala Lumpur dan setiap masa penuh dengan pengunjung. Jangan ketinggalan untuk merasakan suasana desa dengan hiasan Raya bertemakan rumah tradisional kampung di Suria KLCC. Ianya penuh dengan keindahan binaan rumah papan tradisional kampung beratapkan daun nipah serta lampu berwarna-warni menghiasi rumah yang pasti menggamit nostalgia suasana berhari raya di kampung. Jom membeli-belah sambil merasai suasana raya.
2. Pavilion KL
Pavilion semestinya terkenal dengan laluan masuk yang gah dengan pelbagai rekaan dan warna-warni. Sambutan Hari Raya kali ini, Pavilion Kuala Lumpur dihiasi dengan tema ‘Raya Seribu Impian.’ Pintu gerbang utama meriah dengan hiasan menarik untuk pengunjung mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Ianya bermotifkan bintang-bintang dengan centerpiece yang menarik dan kelihatan mewah.
3. Sunway Pyramid
Sunway Pyramid tidak pernah mengecewakan para pengunjung dengan hiasan festival dalam skala yang besar. Tahun ini, Sunway Pyramid membawakan hiasan bercampur moden dan juga sedikit elemen tradisional untuk membangkitkan suasana raya. Penggunaan buluh dan lampu berwarna-warni tampak seperti berada di desa dan terdapat juga photobooth untuk para pengunjung mencipta memori ketika melakukan persiapan raya.
4. Mid Valley Megamall
Alangkah ruginya jika anda tidak berkunjung ke Mid Valley dan rasai sendiri pengalaman hiasan raya di sana. Ruang tengah pusat membeli-belah tersebut penuh dengan hiasan pokok bunga kertas yang seakan mimik suasanya rumah kampung yang penuh dengan pokok bunga kertas. Hasil kraftangan anyaman juga digunakan untuk menghiasi ruangan tersebut dan diserikan lagi dengan pondok anyaman yang memberi peluang kepada para pengunjung untuk mencuba sendiri dan melihat bagaimana meeka menganyam.
5. One Utama
Tersergam indah binaan yang bertemakan kota Maghribi di tengah-tengah pusat membeli belah One Utama. Saat anda menapakkan kaki ke One Utama, perasaannya seperti anda berada di kota Maghribi yang penuh dengan ukiran seni dan fabrik yang bercorak halus dan menarik. Tema raya kali ini diinspirasi daripada binaan dan permandangan dari kota Maghribi. Pengunjung juga dibenarkan untuk bersantai di atas permaidani di tengah-tengah ruang bazar.
6. Starling Mall
Siapa yang pernah berkunjung ke Starling Mall pasti tahu bahawa pusat membeli-belah ini bertemakan burung yang unik pada hiasan dalamannya. Kali ini, untuk sambutan Hari Raya, dengan bertemakan ‘Cahaya Aidilfitri’ pusat membeli belah ini meriah dihiasi dengan hiasan moden yang digabung dengan sisi seni Maghribi. Ianya lengkap dengan elemen burung-burung yang menghias ruang pusat membeli-belah ini. Jika anda mahu merasai kelainan, berkunjung lah ke Starling Mall.
7. Quill City Mall
Antara pusat membeli-belah yang mempunyai hiasan Hari Raya yang tidak mengecewakan. Quill City Mall tahun ini mempersembahkan dekorasi raya dengan tema ‘Yass Raya 2018’ yang cukup moden dan tampak unik. Pusat membeli belah dihiasi dengan lampu neon dan warna-warna pastel serta tidak ketinggalan photobooth comel untuk beri peluang para pengunjung mengambil gambar bersama keluarga dan rakan-rakan.
8. eCurve
Antara tarikan orang ramai untuk berkungjung ke eCurve sudah pastinya disebabkan oleh tema Hari Rayanya yang lain daripada lain. Ianya cukup unik sekali dan menarik orang ramai untuk berkunjung dan membeli-belah di bazar raya yang terdapat di eCurve. eCurve berjaya dalam menerapkan element ‘Pulang ke Kampung’ dengan hiasannya yang bertemakan lebuhraya. Turut disertakan pondok tol serta lampu jalan untuk menambahkan lagi elemen ‘real’ pada hiasannya.