Sesetengah ibu bapa sanggup menunda waktu berlibur bersama anak-anak kerana tidak sanggup menghadapi ragam anak sehingga mengganggu mood percutian. Jangan jadikan ini masalah besar! Dapatkan panduan untuk bercuti bersama anak-anak di halaman seterusnya. Semoga dapat membantu anda!

1. Tanya doktor

Jika percutian ini merupakan percutian pertama untuk anak anda, maklumkan kepada doktor anak anda sebelum membawa si kecil bercuti di tempat awam. Doktor akan memeriksa jadual vaksinasi anak anda untuk memastikan si manja telah mendapat perlindungan yang diperlukan.

2. Buat jadual

Lagak agensi pelancongan, anda perlu sediakan jadual atau itinerary tentang percutian anda seperti aktiviti untuk hari pertama, kedua dan seterusnya. Rancang dengan teliti destinasi yang ingin dikunjungi dan pastikan destinasi tersebut mesra kanak-kanak.

3. Pilih penginapan yang mesra kanak-kanak

Cari tempat penginapan yang menyediakan kemudahan untuk kanak-kanak seperti padang permainan, kolam renang, basikal atau aktiviti yang melibatkan kanak-kanak. Kemudahan seperti ini dapat membuatkan anak anda tertarik untuk meneroka tempat penginapannya sepanjang percutian sekali gus mengurangkan rasa janggal berada di tempat baru.

4. Siapkan bekalan

Siapkan makanan kudap-kudapan supaya anak anda tidak meragam sepanjang perjalanan. Antara makanan yang mudah dibawa seperti sandwic, roti, buah, biskut atau kerepek.

5. Pakaian

Sediakan pakaian yang selesa dipakai oleh anak anda. Lazimnya, ibu bapa akan membawa pakaian baru untuk anak mereka semasa bercuti. Namun, anda perlu ingat, pilih pakaian yang menyelesakan anak anda kerana dikhuatiri si kecil akan meragam jika pakaian yang dipakai tidak selesa di badan.

6. Barang kesayangan

Jika anak anda mempunyai barang kesayangan seperti patung beruang, mainan kegemaran atau bantal kesayangan, bawalah salah satu daripadanya untuk pergi bercuti. Bukan apa, bimbang nanti anak anda merengek-rengek mengajak anda pulang kerana rindukan barang-barang kesayangannya.

7. Label beg

Labelkan beg galas anak anda dengan nama dan nombor telefon anda sebagai persediaan jika anak anda terlepas daripada pengawasan.

8. Kanak-kanak tetap kanak-kanak

Sematkan dalam fikiran anda bahawa anda sedang bercuti dengan anak anda. Jadi, bersiap sedialah dengan sebarang perkara yang bakal berlaku seperti anak menjadi aktif semasa bercuti, berlari-lari atau melakukan sebarang perkara di luar jangkaan. Tarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara menegur anak anda. Pastikan juga anda tidak meninggikan suara sepanjang percutian bimbang jika mood bercuti anda sekeluarga hilang begitu sahaja.