Keguguran rambut yang banyak selepas bersalin sering kali dialami oleh para ibu. Masalah keguguran rambut ini bukan sesuatu yang baru, kerana ianya memang satu masalah yang sering kali berlaku dan anda boleh perhatikan rambut anda yang tebal makin menipis selepas sahaja melahirkan anak. Apakah puncanya?

Untuk pengetahuan anda, wanita bersalin mengalami masalah keguguran rambut disebabkan oleh perubahan hormon. Secara purata, wanita mengalami keguguran rambut sebanyak 100-150 helai sehari tetapi akan bertambah kepada kira-kira 500 helai rambut sejurus sahaja melahirkan anak. Itu jumlah yang besar bukan!

Jangan khuatir, ianya adalah satu perkara yang normal buat para ibu selepas bersalin. Dalam masa sebulan atau dua bulan, anda akan perasan rambut akan tumbuh semula dan kembali lebat. Tidak pula rambut anda akan menjadi botak kerana proses pertumbuhan rambut akan terus berlaku. Jika keadaan rambut anda menipis untuk jangka waktu yang lama sebagai contoh 6 bulan, mungkin ianya adalah masa sesuai untuk anda berjumpa dengan pakar untuk rawatan terbaik.

Tips untuk mengurangkan masalah keguguran rambut selepas bersalin

Sememangnya keguguran rambut selepas bersalin tidak dapat dielakkan kerana perubahan hormon. Tetapi, anda boleh mengurangkan rambut yang gugur dengan mengaplikasikan tips penting ini:

1. Kurangkan penggunaan syampu

Cuba untuk anda kurangkan membasuh rambut dengan menggunakan syampu. Ini kerana syampu mempunyai bahan kimia dan rambut anda terdedah kepada bahan kimia secara berterusan apabila kerap membasuh rambut menggunakan syampu. Alternatif terbaik adalah gunakan pelembut rambut “hair conditioner” yang lembut dan juga pilih brangan penjagaan rambut yang berasaskan organik dan tidak kasar pada kulit kepala.

2. Pilih sikat yang sesuai

Pemilihan sikat juga memainkan peranan yang penting bagi mengelak rambut gugur dengan berlebihan. Disarankan untuk anda menggunakan sikat jenis “wide tooth comb” atau juga sikat yang mempunyai gigi yang jarang dan besar. Sikat sebegini dapat membantu mengurangkan keadaan dimana rambut disikat terlalu rapat dan boleh menjejaskan kulit kepala anda. Jangan sesekali menggunakan sikat yang memunyai gigi yang rapat.

3. Biarkan rambut anda bebas seketika

Penggayaan rambut yang diikat terlalu ketat boleh mendorong kepada masalah keguguran rmabut yang serius. Elakkan menggayakan rambut yang mengenakan tekanan kepada kulit kepala seperti rambut yang diikat tinggi dan ketat dan rapi. Rambut yang dibiarkan diikat dengan terlalu lama juga akan menyebabkan masalah keguguran yang teruk. Biarkan rambut anda bebas buat seketika.

4. Minum air dengan banyak dan rehat secukupnya

Badan anda memerlukan air yang secukupnya untuk kekal sihat. Badan yang kekurangan air akan mendorong kepada masalah keguguran rambut. Apabila badan mengalami dehidrasi, maka kesuburan rambut juga akan turut terjejas. Oleh itu, ianya penting untuk selalu minum air putih yang secukupnya. Bukan itu sahaja, anda juga memerlukan tidur atau rehat yang secukupnya untuk mengelak daripada stress.

5. Diet yang seimbang dan sihat

Tip ini tidak perlu dihuraikan dengan lebih mendalam kerana pemakanan yang seimbang dan sihat pasti akan membuatkan tubuh badan anda sihat. Jika anda mahu mengurangkan maslaah keguguran rambut, kurangkan pengambilan makanan yang berminyak serta minuman kafein seperti kopi. Sebaiknya kurangkan atau hentikan mengambil kafein sebaik anda selepas bersalin kerana ia juga boleh membuatkan bayi kembung perut jika anda memberi susu badan.

Diharapkan agar kebimbangan anda selama ini terjawab dan ikuti kelima-lima tips penjagaan rambut untuk mengurnagkan masalah keguguran rambut. Selamat mencuba!