Salah satu perkara yang menjadi kebimbangan ibu bapa semasa bercuti adalah tentang pemakanan si kecil. Pemakanan yang tidak ‘kena‘dengan tekak anak akan mempengaruhi mood percutian anda nanti. Berbicara tentang topik pemakanan semasa bercuti, ramai ibu bapa yang menganggap makanan bayi komersial adalah lebih mudah dibawa dan disediakan. Namun, tahukah anda bahawa bukan semua bayi mudah menerima makanan yang tidak biasa dimakan, terutama jika anda memang jarang atau tidak pernah menawarkan si manja makanan komersial. Oleh itu, anda perlu menyediakan makanan yang dimasak dari rumah untuk dibawa semasa percutian anda!

TAHUKAH ANDA?
Kiub makanan home-made boleh disimpan sekurang-kurangnya lima hari di dalam peti sejuk. Sebelum memberikan si manja makanan, anda perlu mencari/ memanaskan kiub tersebut sama seperti cara yang anda lakukan di rumah, terutama jika peralatan memanas ada dibawa bersama. Walau bagaimanapun, anda masih boleh mencairkan kiub makanan menggunakan dapur gas.

Makanan sejuk beku
Mungkin anda rasa cara ini tidak praktikal, tapi percayalah dengan membawa makanan bayi sejuk beku dapat membantu anda mempercepatkan penyediaan makanan si kecil. Walau bagaimanapun, anda perlu menyediakan lebih awal sebelum pergi bercuti dan menyiapkan serta membawa peralatan yang betul. Jika berjaya, anda dapat menyediakan makanan bernutrisi yang dimasak dari rumah untuk di manja anda semasa percutian nanti. Antara kelengkapan yang perlu anda bawa jika menyediakan kiub makanan beku untuk si manja ialah beg/ kotak pendingin. Anda boleh terus meletakkan makanan sejuk beku tersebut di dalam peti ais ataupun peti sejuk beku sebaik sahaja sampai ke destinasi.

CUKUPKAH?
Kira berapa kiub makanan yang perlu anda sediakan untuk keperluan makanan yang mencukupi buat si manja sepanjang percutian nanti.

Beg pembekuan
Simpan kiub makanan sejuk beku di dalam beg pembekuan mengikut jenis makanan. Contohnya, ubi keledek, puri pear, puri epal dan sebagainya disimpan di dalam setiap satu beg pembekuan. Dengan cara ini, anda boleh mengambil keluar makanan kiub yang ada dalam setiap beg pembekuan dan menyusunnya di dalam kotak pendingin bersama dengan pek ais batu. Kiub makanan sejuk beku yang sempurna boleh bertahan dalam perjalanan yang mengambil masa 6 jam. Walau bagaimanapun, sebaik sampai ke lokasi, anda perlu meletakkan kiub tersebut ke dalam peti ais atau peti sejuk beku.

Persiapkan makanan lain
Jika anda merancang percutian panjang bersama si kecil, adalah lebih baik jika anda menyediakan pelbagai jenis makanan untuk ditawarkan kepada anak anda. Anak kecil tentunya akan cepat bosan jika diberikan makanan yang sama sahaja, dan akhirnya akan menyebabkan mereka hilang selera makan. Sebagai persediaan, selain daripada makanan beku yang dimasak di rumah, anda juga perlu membawa bersama jenis makanan lain untuk memastikan anak anda gembira dan tidak meragam sepanjang percutian tersebut!

Bijirin bayi
Jika disebut bijirin bayi, ramai ibu bapa yang membayangkan bijirin bayi segera yang banyak dijual di pasaran. Bukan, Mama! Kita masih sedang membicarakan tentang pemakanan berkhasiat untuk si manja anda. Anda boleh membawa bijirin kering dan memasaknya semasa bercuti ataupun menyediakan kiub bijirin sama seperti makanan sejuk beku.

Buah-buahan dan sayur-sayuran
Selain membuat puri buah-buahan dan sayur-sayuran, anda juga boleh membawa buah-buahan dan sayur-sayuran bersama ke destinasi percutian anda. Namun, pastikan buah-buahan yang anda bawa belum masak ranum supaya buah tersebut masih boleh dimakan pada hari kedua, ketiga atau seterusnya semasa percutian anda. Buah yang masak ranum akan mudah rosak apabila anda sampai ke destinasi. Sayur-sayuran pula tidak akan mudah rosak atau layu jika dikupas atau dipotong dengan baik sebelum anda meninggalkan rumah. Simpan sayur di dalam beg pembekuan kedap udara, dan jika boleh letakkan sedikit air untuk memastikannya kekal segar. Walau bagaimanapun, cara ini hanya boleh digunakan jika anda bercuti dengan menaiki kereta atau menggunakan pengangkutan darat.

INFO
Jika ingin membawa susu bersama anda, pastikan ianya jenis susu tepung atau bahan tenusu kering.

Barang kelengkapan penting yang perlu dibawa bersama
Ibu bapa yang bercuti bersama anak kecil perlu membawa beberapa peralatan penting untuk memudahkan penyediaan makanan semasa percutian. Berikut merupakan dua kelengkapan utama yang perlu dibawa:

Mesin Pengisar Makanan Manual
Gajet dapur ini penting untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kecil. Bukan sahaja dapat memudahkan kerja anda,
malah mesin pengisar makanan juga mengekalkan khasiat makanan untuk anak anda sepanjang bercuti.

Bekas Simpanan Ekstra/ Beg Pembekuan
Semasa bercuti dengan anak, pastikan anda menyediakan bekas simpanan ekstra ataupun beg lebih untuk membahagikan makanan dan persediaan untuk menyimpan makanan lain.