Sekiranya anda dan pasangan bersetuju untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa, kini anda perlu ketahui beberapa perkara tentang sekolah yang ingin anda tuju. Alang-alang anda bersedia untuk memperuntukkan sejumlah wang demi masa depan anak anda, maka carilah sekolah yang benar-benar terbaik dan bersesuaian dengan anak anda. Ketahui perkara-perkara penting yang anda perlu tahu sebelum memilih sekolah antarabangsa terbaik untuk anak anda!

Buat pilihan bijak

Dalam arus pasaran berdaya saing pada masa kini, pendidikan merupakan sektor yang penting untuk masa depan. Setiap orang berlumba-lumba untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik kerana dunia masa depan akan memerlukan mereka yang intelektual dan berdaya saing. Peluang mendapatkan pendidikan bertaraf dunia merupakan satu bonus yang dapat membantu kanak-kanak membentuk karier yang terjamin. Atas dasar itu, sekolah antarabangsa menyediakan pelbagai elemen yang diperlukan untuk membentuk generasi cemerlang pada masa depan bukan hanya merangkumi bidang akademik sahaja bahkan juga pada aktiviti kokurikulum tambahan sebagai persediaan ke alam pekerjaan.

Sehingga kini, Malaysia merupakan rumah kepada 90 sekolah antarabangsa dengan kemasukan lebih 38,000 pelajar. Lambakan sekolah antarabangsa di sini memberikan pelbagai pilihan untuk ibu bapa memilih sekolah yang terbaik buat anak mereka. Sungguhpun begitu, variasi sekolah antarabangsa di sini juga menyebabkan ibu bapa sukar untuk membuat keputusan mengenai sekolah antarabangsa yang wajar dijadikan pilihan. Tidak terkecuali ada segelintir ibu bapa yang sudah tersalah pilih. Ketahui 6 perkara yang perlu anda selidiki sebelum mendaftar nama anak anda di sekolah.

Latar belakang sekolah

Perkara pertama yang perlu anda pertimbangkan ialah sejarah dan latar belakang sekolah. Sekolah yang berkualiti dapat diketahui melalui aras indikator yang disediakan seperti pencapaian sekolah di arena antarabangsa dan pengiktirafan terhadap sekolah di mata antarabangsa.

Kunjungi sekolah dan minta kakitangan di situ menunjukkan lesen sekolah dan akreditasi yang diperolehi. Bagi membuka sekolah di negara ini, perlesenan dan pendaftaran dengan badan sekolah antarabangsa diperlukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membolehkan anak anda memohon universiti atau kolej luar pada masa akan datang.

Antara badan akreditasi yang akan mengiktiraf sekolah-sekolah antarabangsa ialah Council of International Schools (CIS), Western Association of Schools & Colleges (WASC) dan New England Association of Schools and Colleges (NEASC). Akreditasi ini juga diperlukan untuk sekolah mengadakan program kerjasama luar negara dan pelajar akan turut dijemput untuk terlibat dalam acara tahunan di luar negara.

Kurikulum

Sekolah antarabangsa menawarkan pelbagai kurikulum yang berbeza dengan sistem pembelajaran kebangsaan. Ketahuilah bukan semua sekolah antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan, sebaliknya sekolah antarabangsa Jepun atau Jerman menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi. Justeru itu, ibu bapa perlulah tahu perancangan menghantar anak ke sekolah.

Antara kurikulum yang ditawarkan di sekolah antarabangsa ialah kurikulum Amerika, Australia, Kanada, Baccalaureate Antarabangsa, British, Ontario, dan banyak lagi.

Setiap program menawarkan pendekatan yang berbeza kepada pendidikan di mana Kurikulum Amerika, Kanada, Australia dan Baccalaureate Antarabangsa menyediakan pendekatan berfokuskan kerja kursus manakala Sijil Pendidikan Menengah Umum Antarabangsa (IGCSE,UK) pula berorientasikan peperiksaan. Ibu bapa perlu memastikan program mana yang sesuai dengan kemahiran, kemampuan dan cara pembelajaran anak mereka.

Kualiti guru

Ambil tahu akan kelayakan setiap guru yang mengajar di sana supaya dapat mengetahui kemampuan mereka sebagai tenaga pengajar. Sesetengah sekolah antarabangsa menawarkan tutorial kelas pembelajaran semasa hari terbuka supaya ibu bapa dapat melihat sendiri persembahan guru di situ ketika mengajar, sekaligus membantu mereka membuat keputusan.

Ketahui juga bilangan guru dan pelajar di dalam satu-satu kelas. Ingatlah! Bilangan pelajar yang sedikit di dalam sesebuah kelas membolehkan guru memberi perhatian individu kepada anak anda.

Selain itu, telitilah kejayaan pelajar-pelajar yang pernah belajar di sini bagi mengetahui tanda aras keberkesanan silibus/ sukatan pelajaran dan kualiti pembelajaran di sekolah.

Kemudahan

Sebelum mendaftarkan anak anda di sekolah antarabangsa, lawatilah sekolah dan lihatlah persekitaran di sekeliling. Adakah persekitaran di sekolah baik untuk pembelajaran dan mampu merangsang minda anak anda?

Selain itu, lihatlah kemudahan dan peralatan yang disediakan di sana. Lazimnya, sekolah antarabangsa menawarkan kemudahan seperti perpustakaan, makmal sains dan komputer, auditorium, gimnasium, gelanggang, padang, kolam renang dan bilik darjah yang dilengkapi dengan jaringan internet. Kemudahan-kemudahan ini dapat membantu pelajar mengembangkan lagi bakat dan kemahiran mereka.

Penggunaan papan pintar dalam kelas juga membolehkan pembelajaran interaktif dan membantu pelajar memahami konsep dan falsafah dengan lebih berkesan.

Bagi ibu bapa yang duduk jauh dari sekolah, mungkin anda boleh pertimbangkan sekolah yang menyediakan kemudahan asrama. Sesetengah sekolah antarabangsa menawarkan asrama terutamanya untuk pelajar asing atau pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Kemudahan ini membantu pelajar yang jauh tanpa perlu risau tentang kemudahan pengangkutan.

Dekat atau jauh?

Ibu bapa perlu menimbangkan lokasi sekolah apabila membuat keputusan untuk menempatkan anak mereka di sekolah antarabangsa. Jika sekolah itu terletak lebih satu jam dari rumah anda, adalah tidak berbaloi untuk anda menghantar anak anda ke sana, dengan mengambil kira kos masa, tenaga dan kewangan. Kedekatan sekolah dengan rumah adalah amat membantu bagi menjimatkan masa selain mengurangkan tekanan yang perlu dihadapi jika berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas.

Biarpun kebanyakan sekolah antarabangsa ditempatkan di kawasan yang senang diakses, namun ibu bapa perlu memastikan faktor-faktor lain seperti jaraknya dari kawasan residensi, kemudahan pengangkutan seperti teksi, bas, keretapi dan kemudahan lain seperti klinik, hospital serta pusat membeli-belah. Perhatikan juga persekitaran sekitar sekolah kerana anak anda akan menghabiskan masa lima sehingga lapan jam setiap hari di situ.

Kos

Jika anda bercadang untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa, sepatutnya faktor kos pendidikan tidak menjadi soal buat anda. Bagaimanapun, senaraikanlah beberapa pilihan sekolah antarabangsa yang anda inginkan dengan mengambil kira kos pendidikan supaya anda akan puas hati dan rasa berbaloi melabur untuk pendidikan anak anda.

Proses membuat keputusan untuk memastikan pilihan terbaik dalam pendidikan anak-anak bukanlah kerja mudah. Bagaimanapun, jika ibu bapa meluangkan masa dan usaha untuk meneliti pelbagai institusi yang diperlukan bagi pembelajaran anak mereka pasti akan berjumpa dengan pilihan yang tepat untuk masa depan anak mereka.

Tanya soalan ini kepada pihak sekolah:

  • Adakah sekolah ini merupakan cawangan daripada sekolah asing?
  • Adakah sekolah dibina oleh lembaga akademik?
  • Adakah sekolah berkonsepkan francais dan dibuka oleh orang tempatan?

Apa keputusan anda?