HomeBlogMemilih Pengasuh Bayi

Memilih Pengasuh Bayi

Semua ibu bapa akan berasa bimbang jika ingin meninggalkan bayi mereka dengan orang lain, terutamanya jika orang tersebut baru dikenali. Memilih pengasuh bayi bukannya mudah kerana banyak faktor yang perlu anda selidiki sebelum membuat keputusan meninggalkan bayi anda.

Cara terbaik untuk memastikan anda memilih orang yang tepat untuk menjadi pengasuh si manja adalah mengenali dengan baik orang tersebut. Selain itu, anda juga perlu tahu pengalaman bakal pengasuh anak anda ini dalam menjaga bayi dan kanak-kanak. Penting untuk anda membuat keputusan untuk menghantar anak kepada pengasuh di rumah ataupun di nurseri.

Tanyakan soalan-soalan seperti ini sebelum membuat keputusan:

• Berapa lama pengalaman mereka mengasuh bayi dan kanak-kanak?
• Berapa umur bayi dan kanak-kanak yang pernah diasuh?
• Berapa orang bayi/ kanak-kanak yang diasuh sekarang?
• Bagaimana mereka menangani tekanan, terutama cara menangani bayi yang menangis atau meragam?
• Adakah staf di situ terlatih dan bertauliah?

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak
Pusat penjagaan kanak-kanak atau nurseri lazimnya memiliki sijil yang bertauliah dan mempunyai staf atau kakitangan yang terlatih dan berpengalaman. Ruangnya juga adalah lebih besar dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan mesra kanak-kanak. Terdapat beberapa orang staf yang akan membantu menjaga bayi dan menangani situasi yang menegangkan seperti apabila bayi menangis. Bukan itu sahaja, bilangan staf yang ramai juga dapat mengurangkan risiko penderaaan atau anak anda diabaikan.

Walau bagaimanapun, nurseri yang mengasuh ramai kanak-kanak akan menyukarkan anak anda untuk menjalin hubungan yang erat bersama dengan pengasuhnya kerana kebanyakan pengasuh bekerja mengikut giliran.

Pusat penjagaan kanak-kanak yang kecil mungkin boleh menjadi pilihan anda. Lazimnya, pusat penjagaan kanak-kanak kecil ini dibina di dalam rumah individu dan menawarkan saiz kumpulan yang kecil, yang bermaksud anak anda akan dapat interaksi dua hala dan dekat bersama dengan pengasuhnya. Persekitaran seperti rumah sendiri ini juga menyediakan fasiliti yang lebih kecil, sekali gus membantu bayi atau kanak-kanak untuk rasa lebih selamat dan selesa.

Pengasuh di rumah
Pengasuh di rumah boleh jadi di rumah anda sendiri ataupun menghantar bayi ke rumah orang lain. Perkara menarik jika anak dijaga oleh pengasuh di rumah ialah anda lazimnya kenal baik dengan pengasuh tersebut. Ia boleh jadi ibu bapa anda sendiri, ibu bapa mertua, saudara mara seperti akak atau adik/ ipar, jiran ataupun orang yang anda percayai. Jika anak anda diasuh di rumah, tiada masalah untuk anak anda menyesuaikan diri dengan persekitaran rumah. Walau bagaimanpun, jika anak dihantar ke rumah orang, mungkin anak anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.

TIPS
Sebelum mencari pengasuh untuk si manja, tanyakan kepada ibu bapa yang berpengalaman menghantar anak mereka ke nurseri/ jagaan pengasuh tersebut.

Leave a comment