Sementelah banyak sekolah antarabangsa dibuka di Malaysia, memilih sekolah yang tepat untuk anak adalah berkait dengan pilihan kurikulum yang sesuai buat mereka. Terdapat pelbagai pilihan kurikulum yang ada di sini termasuklah Baccalaureate Antarabangsa (IB), British, Amerika dan banyak lagi.
Table of Contents
Program Baccalaureate Antarabangsa (IB)
Program ini menyediakan pelajar untuk menjadi seorang pemimpin. Dicipta di Switzerland pada tahun 1968, kini program ini ditawarkan kepada lebih 3,000 sekolah di seluruh dunia, dan bilangan pelajarnya semakin meningkat.
Program yang menekankan tentang pemikiran kreatif dan kritis ini menyediakan pelajar untuk memilih topik dan projek, sementara guru-guru bertindak sebagai penyelia. IB juga menggalakkan pelajar untuk belajar daripada rakan-rakan lain, di samping mereka boleh memberi kritikan terhadap hasil kerja satu sama lain.
Agensi Statistik Pendidikan Tinggi (HESA) baru-baru ini mendedahkan bahawa pelajar dari Program Diploma IB (DP) mempunyai peluang 57% lebih besar untuk meneruskan pengajian di salah satu daripada 20 universiti terbaik di UK, berbanding dengan pelajar yang mengambil A Levels di sana. Selain itu, pelajar IB juga mempunyai prospek pasca pengajian yang lebih besar berbanding dengan pelajar yang mendapat pencapaian sepadan lain.
Melalui program ini, pelajar akan memperoleh manfaat seperti:
- Berfikiran bebas dan mempunyai pemikiran kendiri
- Mengambil bahagian dalam perogram pendidikan yang boleh membawa mereka memasuki universiti yang terkemuka di dunia
- Memahami budaya lain, melalui perkembangan bahasa kedua yang di pelajari disekolah
- Mudah bergaul dengan ramai orang, tidak kira bangsa dan budaya
Selain daripada program DP, terdapat tiga lagi program yang ditawarkan di kurikulum IB iaitu Program Tahun Rendah (PYP), Tahun Menengah (MYP) dan Program Berkaitan Karier (CRP). Jadi, secara total, empat program ini dapat membantu mengembangkan kemahiran intelektual, peribadi, emosi dan sosial yang diperlukan dalam kehidupan, selain belajar dan bekerja di dalam dunia globalisasi yang semakin pesat ini. Namun begitu, buat masa ini, program CRP tidak ditawarkan di Malaysia.
Di Malaysia, kurikulum IB ditawarkan di:
- Fairview International School
- Mont’ Kiara International School
- International School of Kuala Lumpur
- Nexus International School, Putrajaya
- The Malay College Kuala Kangsar
- UCSI International School
- Cempaka International Ladies’ College
Mengapa anda patut pilih IB?
- Pelajar IB menerima pendedahan yang mendalam pada Tahap Tinggi (HL) dan Tahap Piawaian (SL)
- Mereka cekap dalam menggunakan bahasa dan meneruskan pembelajaran bagi subjek Matematik dan bahasa Inggeris sehingga usia 18 tahun
- Melalui Esei Tambahan, mereka mampu melakukan penyelidikan bebas dan mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis melalui Teori Pengetahuan (ToK)
- Melalui Projek Kumpulan 4, Kreativiti, Tindakan, Perkhidmatan (CAS), ToK dan Inggeris, pelajar IB belajar untuk bekerjasama, berdebat dan mempertahankan idea mereka serta membuat pembentangan di khalayak ramai
- Mereka mempunyai tinjauan global dan menghargai budaya, idea dan kepercayaan orang lain
- Pelajar IB belajar untuk menjadi berdikari dan melakukan persediaan untuk ke universiti
Kurikulum British
Kurikulum yang diambil daripada sekolah rendah dan menengah di UK ini memastikan semua pelajarnya menerima tahap pendidikan yang tinggi. Kurikulum ini dibahagikan kepada peringkat ‘Early Years’ dan lima peringkat ‘Key Stages’. Di penghujung Key Stage, pelajar akan diuji perkembangan mereka.
Subjek teras yang dimasukkan dalam kurikulum ini ialah bahasa Inggeris, matematik dan sains. Ujian selepas setiap peringkat membolehkan guru-guru untuk mengukur tahap perkembangan pelajar dan mengetahui pemahaman mereka tentang sesuatu subjek.
Sebaik sahaja berada di tahap terakhir, di mana pelajar akan belajar untuk AS atau A Levels, kursus yang dibuat akan membolehkan mereka untuk memilih subjek yang penting untuk pilihan kerjaya mereka.
Di Malaysia, kurikulum British ditawarkan di:
- The Alice Smith School Association
- Garden International School
- elc International School
- The British School of Kuala Lumpur (BSKL)
- Sayfol International School
- MAZ International School
- Malacca Expatriate School
- St. Christopher’s International Primary School of Penang
Kurikulum Amerika
Kurikulum Amerika atau the American Curiculum (AC) diasaskan bertujuan membentuk individu yang berjaya dan bertanggungjawab yang akan menyumbang kepada masyarakat dunia. Bagi mencapai matlamat ini, AC menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang akan membentuk pengetahuan, kemahiran dan sikap mereka. Sekolah meletakkan harapan tinggi kepada setiap graduan AC, kerana itu mereka dilengkapkan dengan kemahiran- kemahiran penting dalam bidang pembelajaran. Kurikulum ini juga memberi ruang kebebasan dan fleksibiliti kepada pelajar.
Sekolah yang menggunakan kurikulum AC menggalakkan pelajarnya untuk membentuk kemahiran, membina hubungan positif dengan guru dan rakan-rakan di samping mendidik mereka untuk bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri. Pembelajaran AC berdasarkan sifat ingin tahu, kerjasama dan berdikari.
Matlamat utama dalam peringkat awal perkembangan pelajar adalah untuk membina asas yang kukuh sebagai persediaan pelajar pada tahap seterusnya.
Guru dan tenaga pengajar dilatih untuk menggalakkan kreativiti, tindak balas, dan pertanyaan minda supaya pelajar terus meneroka dan mengekalkan pengalaman pembelajaran mereka sungguhpun setelah tamat pengajian. Selain menerapkan minat untuk pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar, AC juga memfokuskan kepada pembangunan sikap:
• Berfikir secara kreatif
• Pertimbangan kritikal
• Komunikasi secara berkesan
• Kerjasama
• Belajar bersungguh-sungguh
• Hidup beretika
Pelajar yang berjaya bergelar graduan AC dari Gred 12 akan dianugerahkan dengan Diploma Sekolah Tinggi Amerika, yang diiktiraf oleh universiti-universiti seluruh dunia sebagai kelayakan masuk yang sah.
Siswazah yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Amerika perlu menduduki peperiksaan Lembaga Kolej SA, Ujian Kolej Amerika (ACT) dan TOEFL sebagai syarat kemasukan.
Selain menarik perhatian kaunselor kemasukan kolej, seorang pelajar yang menamatkan kursus AP juga mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menambah pengkhususan utama dalam pengajian tinggi mereka atau menamatkan pengajian di universiti setahun lebih awal.
Di Malaysia, kurikulum Amerika ditawarkan di:
- Raffles American School, Johor Bahru
- Mont’ Kiara International School
- Dalat International School, Penang
- International School of Kuala Lumpur
- International School of Kuantan, Pahang
Kurikulum Australia
Kurikulum ini memfokuskan kepada menanam kemahiran pembelajaran, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kemahiran hidup yang diperlukan oleh setiap individu dalam dunia hari ini.
Sistem pendidikan di sini memfokuskan tentang membentuk kemahiran belajar kanak-kanak, pemikiran pada tahap tinggi, penyelesaian masalah, tingkah laku, kecenderungan dan kemahiran umum yang dipercayai menjadi kunci penting untuk berjaya dalam dunia global masa kini.
Setiap kanak-kanak dianggap istimewa dan memiliki kemampuan dan keperluan yang berbeza dalam kelas. Justeru itu, latihan akan diberikan dalam kerja yang berasingan supaya pelajar cemerlang dalam bidang mereka, di samping memupuk hubungan persahabatan dan kerjasama di dalam kelas. Cara pengajaran ini membantu pelajar yang pintar untuk lebih maju dan membimbing pelajar yang lemah untuk lebih berjaya.
Kurikulum ini juga meletakkan harapan bahawa setiap yang diajar kepada pelajar di Australia turut diajar di Malaysia, tidak kira apa latar belakang sekalipun. Ini bermakna setiap pelajar yang mengikuti kurikulum Australia memiliki akses yang sama, kandungan pembelajaran yang sama, malah pencapaian mereka juga diadili mengikut piawaian nasional.
Kurikulum Kanada
Kurikulum Kanada atau Ontario (OC) dicipta berdasarkan pendekatan peribadi praktikal dan aktiviti bilik darjah yang relevan untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar. Pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti interaktif dan pembelajaran secara terus bagi menggalakkan kemahiran penyelidikan, komunikasi, pembentangan dan prestasi. Terdapat dua peringkat di OC iaitu Sekolah Menengah dan Sekolah Tinggi.
Buat masa ini, tiada sekolah di Malaysia yang menawarkan OC di peringkat rendah, tetapi pelajar di Malaysia boleh memasuki Kurikulum Sekolah Menengah Ontario (Gred 7 hingga 11), Program Pra-Universiti Kanada (CPU) atau Program Antarabangsa Kanada (CIMP) untuk Gred 12. Penamatan program CPU atau CIMP membolehkan pelajar menerima sijil OSSD dan Transkrip Pelajar Ontario yang menggariskan kursus-kursus yang diambil serta pencapaian pelajar.
Sekolah Menengah
Dimasuki oleh pelajar Gred 7 dan Gred 8. Pada peringkat ini, sekolah memberi tumpuan kepada membuat perubahan daripada sekolah rendah ke sekolah menengah, dan menyeimbangkan akademik dengan kepentingan kreatif. Pembelajaran berpusatnya menggalakkan penglibatan pelajar yang aktif di dalam kelas dan menyediakan pelajar meneruskan pelajaran dengan yakin ke sekolah tinggi.
Sekolah Tinggi
Kemasukan bagi pelajar dari Gred 9, 10 dan 11 dengan memfokuskan penubuhan asas akademik yang kukuh dan meningkatkan tumpuan kepada bidang subjek khusus. Program dijalankan mengikut semester yang menumpukan kepada pembelajaran berasaskan projek, tugasan, lawatan, kerja kumpulan dan bebas. Pelajar juga diajar kemahiran analitik, komunikasi, kajian dan organisasi.
CBSE Kebangsaan (CBSE-i)
CBSE Kebangsaan (CBSE-i) merupakan kurikulum berasaskan siasatan dan kemahiran yang ditanda aras di peringkat antarabangsa dan menggalakkan gaya pembelajaran individu. Program ini didedikasi ke arah memupuk individu yang mempunyai kebolehan untuk bertanya soalan, berfikir, membayangkan, menganalisa, bekerjasama, bereksperimen, menyelidik dan membentuk pengetahuan.
CBSE-i adalah kurikulum global yang direka untuk menangani isu antarabangsa, isu tempatan dan budaya. Ia menggalakkan pemikiran kritis, kreatif, kemahiran komunikasi yang berkesan, kemahiran hubungan sesama manusia, kerjasama serta kemahiran media. Kesemua ini dibuat di dalam persekitaran berpusat yang kurang tekanan.
Kurikulum Islamik
Kurikulum Islamik atau kurikulum bahasa Arab menyediakan pelajar dengan kemahiran akademik dan melengkapkan diri sebagai Muslim sejati. Berasaskan nilai islam, pelajar dibentuk untuk menjadi Muslim dan Muslimah yang berpendidikan bagi menghadapi cabaran dunia moden kini. Program ini membentuk pelajar untuk membaca dan memahami al-Quran serta pelajaran agama seperti Tauhid, Feqah, Sirah Nabi, Akhlak dan memahami serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.
Bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing, kebanyakan sekolah yang menggunakan kurikulum Islamik turut menggunakan kurikulum lain yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan.