Perkataan pertama yang ibu bapa tunggu-tunggukan adalah panggilan mesra “ibu” dan “ayah” dari bibir si kecil. Alangkah gembiranya apabila si manja boleh menuturkan ayat keramat tersebut dan sekarang tibalah fasa di mana mereka belajar untuk bertutur.
Apabila anak anda sudah berjinak-jinak untuk bertutur, ini lah masanya untuk anda tingkatkan penguasaan kosa kata mereka dengan perkataan yang baru! Di sini kami kongsikan tujuh tips dan kaedah terbaik yang anda boleh praktiskan pada si kecil.
Table of Contents
1. Bacakan buku
Si kecil sedang berada dalam fasa di mana mereka berminat untuk bertutur dengan perkataan baru yang dipelajari. Minda mereka seperti span yang menyerap apa sahaja yang didengari di sekeliling mereka. Jadi ambil inisiatif dengan duduk bersama-sama mereka dan bacakan buku cerita kanak-kanak dengan kuat. Libatkan mereka dalam proses membaca seperti membenarkan mereka untuk menyelak ke helaian mukasurat yang baru.
Ajukan soalan kepada mereka seperti apa yang akan berlaku seterusnya dan sebagainya unutk menarik minat. Kaedah ini dapat membantu mereka mengenal perkataan baru beserta maksudnya. Ini adalah cara terbaik untuk mengajar anak anda menguasai kosa kata yang baru.
2. Berbual setiap hari tentang apa sahaja
Bualkan apa sahaja yang boleh menarik minat mereka untuk bertutur. Biarkan mereka belajar untuk membina ayat yang mudah dan senang untuk difahami. Bertanyalah bagaimana di tadika, apa yang cikgu ajarkan, apa yang dimakan sewaktu rehat, nama kawan-kawan dah sebagainya. Berikan mereka ruang untuk berbual walaupun ianya agak sukar untuk difahami. Tetapi dengan latihan yang berterusan, mereka akan cekap bertutur.
Si kecil mengambil masa yang lama untuk membina ayat? Tidak mengapa, mereka masih lagi belakar. Jangan biasakan diri untuk kerap membetulkan apa yang mereka tuturkan. Ini akan melemahkan keyakinan mereka.
3. Nyanyikan lagu kegemaran mereka
Menyanyi adalah satu aktiviti yang menyeronokkan malah boleh mengajar si kecil kosa kata baru! Pasangkan lagu yang mereka minati dan biarkan mereka membaca lirik lagu tersebut. Anda boleh menari mengikut rentak dan irama dan juga gayakan makna perkataan tersebut dengan tubuh badan anda. Ini adalah cara yang paling menyeronokkan untuk membantu mereka mengingati kosa kata serta maksudnya. Percayalah si kecil akan senang terhibur dan gemar untuk melakukan aktiviti ini.
4. Minta mereka ceritakan pada anda
Anda sering kali membawa si kecil berjalan ke luar di taman permainan dan sebagainya? Apa kata anda jadikan ianya sebagai satu kebiasaan untuk mendidik mereka menceritakan perkara yang dilihat atau dilakukan kepada anda. Tanyakan apa yang mereka lakukan di taman permainan atau apa sahaja yang mereka jumpai. Percayalah, anda akan lihat mata mereka bersinar dan teruja untuk menceritakan apa yang berlaku.
Salah satu kaedah yang pernah digunakan oleh ibu bapa dahulu ianya menyuruh si kecil membacakan nombor pendaftaran kereta sewaktu berada di dalam kereta. Ini satu tip yang mudah buat si kecil yang masih berjinak mengenali abjad dan nombor.
5. Jangan biasakan diri untuk bertutur dengan pelat bayi
Si manja pasti mempunyai pelat yang comel kerana lidah mereka masih lagi membiasakan untuk bercakap. Kadang-kadang bahasa mereka juga sukar untuk difahami dan ibu bapa menganggap ianya sebagai sesuatu yang comel untuk diajuk. Itu merupakan satu tindakan yang tidak patut dilakukan kerana ia akan menggalakkan mereka untuk terus bercakap sebegitu.
Jika anak anda berkata sesuatu dalam “bahasa bayi” sebutkan semula ayat yang betul tanpa sebarang pelat. Lama-kelamaan mereka akan beajar untuk meniru pelat anda pula dan ianya akan bertukar menjadi normal.
6. Gunakan flashcard
Teknik membaca atau mengajar si kecil menggunakan gamabr adalah satu kaedah yang berkesan. Sebagai ibu bapa, anda boleh gunakan flashcard untuk mengajar anak anda. Tunjukkan gambar objek dan terangkan pada mereka. Minta mereka namakan objek tersebut dan terangkan ciri-ciri serta maknanya.
Flashcard boleh dibeli di kedai buku dengan harga yang berpatutan. Terdapat pelbagai jenis flashcard yang boleh dipilih mengikut citarasa sendiri. Jadikan kebiasaan untuk menunjuk pada objek di sekitar dan minta mereka namakannya.
7. Dedahkan mereka dengan perkataan baru setiap hari
Anda boleh gunapakai kaedah satu perkataan baru setiap hari atau juga dikenali sebagai “word of the day”. Setiap hati, ajarkan pada anak anda perkataan baru dan terangkan maksudnya. Minta agar mereka membina ayat menggunakan perkataan tersebut sebanyak yang mungkin sehingga mereka benar-benar memahami maknanya.
Anda juga boleh jadikan ianya sebagai satu permainan dan berikan ganjaran pada mereka jika mereka berjaya menggunakan perkataan tersebut dengan betul dan tepat.
Seperti guru, anda boleh sediakan satu buku kecil khas untuk memberi mereka pelekat untuk ditampal setiap kali mereka berjaya menggunakan ayat tersebut dengan betul.
Berikut adalah 7 tips yang boleh anda praktiskan pada anak anda untuk mengajar mereka menguasai kosa kata baharu. Adakah anda mempunyai kaedah atau cara yang lain? Kongsikan pada kami serta ibu bapa lain yang turut membaca artikel ini.