Selimut bayi perlu disediakan sebelum bayi lahir lagi kerana mereka bakal menggunakannya sejak hari pertama lagi. Selimut adalah salah satu kelengkapan yang perlu tahan lama kerana ianya digunakan sehinggalah bayi meningkat dewasa. Oleh itu, penting untuk memilih selimut yang berkualiti dan tahan lama serta selesa untuk digunakan.

Ada segelintir ibu bapa yang mahukan kelainan pada selimut bayi mereka dan memilih untuk menjahit selimut bayi sendiri. Bagi mereka, ianya menjadikan selimut tersebut lebih istimewa untuk menemani si manja. Bukan itu sahaja, menjahit selimut bayi sendiri juga boleh menjimatkan wang ringgit daripada membeli selimut di kedai-kedai dan anda sendiri boleh menentukan corak yang disukai.

Menjahit selimut bayi ini tidak memerlukan kepakaran menjahit yang hebat. Cukup sekadar anda tahu bagaimana untuk ‘jahit lurus’ sudah pun memadai. Jom kita tengok Langkah-langkah dari pemilihan fabrik sehinggalah proses menjahit selimut bayi ini. Selamat berjaya!

Bahan-bahan

  • Kain corak mengikut kreativiti sendiri
  • Fiber batting
  • Mesin jahit
  • Jarum peniti
  • Gunting

Untuk pemilihan kain atau fabrik, ianya bergantung pada kreativiti sendiri. Jika anda menggemari kain kapas, maka anda boleh memilih kain kapas bercorak agar lebih menarik dan sesuai dengan si manja. Kain flannal juga menarik untuk dijadikan sebagai selimut kerana fabriknya yang sejuk dan nyaman. Bergantung pada pemilihan dan juga bajet anda untuk menjahit selimut bayi. Kain jenis fleece lembut dan sedikit tebal berbanding kain lain. Ianya sesuai untuk dijadikan sebagai selimut bayi. Kain flannal kosong boleh didapati dengan harga RM5 semeter dan flannal bercorak pula anggaran RM6 semeter.

Anda hanya memerlukan semeter kain flannal sahaja untuk menjahit selimut bayi, tetapi ianya bergantung kembali pada saiz bayi anda. Bagi bayi baru lahir, semeter kain sudah mencukupi. Sekali lagi, ianya bergantung pada cara anda menjahit dan juga saiz bayi.

Langkah-langkah menjahit selimut bayi dalam masa 10 minit

Langkah 1

Potong kain yang anda pilih kepada 2 bahagian dan pastikan kain tersebut dalam saiz yang sama. Buangkan bahagian kain yang berlebihan.

Langkah 2

Lapiskan kedua-dua bahagian kain yang sama besar itu dan jahitkan kedua-duanya sekali. Jika anda memilih untuk membuat selimut berukuran 35 x 35 inci, pastikan anda memotong lebih 1 inci untuk mengelak daripada selimut tersebut menjadi pendek daripada ukuran yang sepatutnya.

Langkah 3

Selepas selesai menjahit kain tersebut, terbalikkan kain. Disarankan agar anda menseterika kain agar ianya kemas dan tidak berkedut apabila proses menjahit diteruskan. Masukkan fiber batting kedalam selimut sebelum jahit kesemua bahagian tepi selimut tersebut. Ketebalan selimut bergantung pada anda.

Langkah 4

Jahitkan bahagian luar kain tersebut agar kelihatan kemas. Anda boleh menggunakan kaedah jahitan kun untuk menutup ketidak kemasan jahitan. Atau, anda boleh gantikan jahitan kun dengan reben yang mempunyai tona warna yang sama dengan kain tersebut. Jika anda tidak menggemari jahitan reben, boleh juga dihantarkan selimut tersebut ke kedai jahit dan minta untuk dijahitkan tepi. Kosnya tidak sampai RM5 untuk jahit tepi.

Langkah 5

Selepas selesai menjahit di bahagain tepi untuk kemasan, lipatkan bahagian bucu selimut supaya lebih kemas. Lipatkan ke dalam dan kemaskan.

Langkah 6

Siap selimut bayi anda yang hanya memakan masa kurang dari 15 minit! Anda boleh lihat video cara-cara menjahit selimut bayi agar lebih mudah untuk difahami.

Berikut adalah cara untuk menjahit selimut bayi dengan mudah dan cepat. Kos pembuatan selimut bayi ini tidak lebih daripada RM12. Anda hanya perlu berbelanja pada fabrik serta fiber batting sahaja untuk menghasilakn selimut yang nyaman dan selesa. Jika anda tidak tahu menahu untuk menggunakan mesin jahit, ini ada satu cara lebih mudah buat anda. Anda boleh membuat selimut bayi tanpa perlu menjahit seurat benang!

Cara membuat selimut bayi tanpa perlu menjahit

Pembuatan selimut bayi tanpa perlu menjahit ini amat mudah sekali untuk dilakukan. Sesuai buat ibu-ibu yang tidak tahu menahu cara untuk menjahit ataupun menggunakan mesin jahit. Untuk menghasilkan selimut bayi ini, apa yang diperlukan adalah sehelai kain fabrik flannel dalam ukuran yang anda inginkan.

Ukur petak pada setiap bucu selimut dan saiz petak ini mestilah mengikut saiz fringe yang anda mahukan. Potong setiap bucu kain tersebut dengan saiz petak yang diingini.

Selepas anda selesai memotong keempat-empat bucu kain tersebut, anda boleh mula memotong bahagian fringe tersebut dalam ukuran 6 inci panjang dan 2 inci lebar. Ikatan fringe ini akan mencantumkan kedua-dua helai kain tanpa perlu menjahit.

Selesai memotong fringe kesemua bahagian, anda boleh mulakan mengikat setiap fringe dengan ikatan mudah. Ikatan tersebut dinamakan sebagai ‘tie a square knot’. Ikatkan setiap fringe dengan sangat ketat tetapi pastikan fabrik tersebut tidak tertarik. Anda boleh menambah sulaman atau butiran ‘finishing’ mengikut kreativiti masing-masing. Siap selimut bayi tanpa perlu menjahit! Boleh lihat video DIY selimut bayi agar lebih mudah difahami. Selamat mencuba!

Jom baca artikel-artikel berkaitan tips-tips dan panduan sebagai ibu bapa baru di laman web 100Comments. Klik pada link yang disediakan jika anda mencari selimut bayi yang bersesuaian untuk si comel. Tidak tahu cara untuk membasuh selimut bayi agar tahan lama dan kekal lembut? Klik pada artikel ini: Cara Membasuh Selimut Bayi Agar Kekal Lembut Dan Tahan Lama.