Sebenarnya, jika anda bercadang untuk memberikan bayi susu ibu, anda perlulah membuat persediaan rapi semasa hamil lagi. Jika anda ingin berjaya menyusukan bayi secara eksklusif, maka anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya tentang penyusuan susu ibu.

Persediaan awal penting!
Banyak kajian menunjukkan bahawa persediaan sebelum bersalin, terutamanya pemahaman tentang bayi baru lahir dan penyusuan dapat membantu para ibu untuk menjayakan penyusuan. Belajar tentang penyusuan semasa hamil akan menjadi permulaan yang baik untuk membantu anda menyusukan si manja selepas kelahirannya nanti. Semasa hamil, anda boleh mendapatkan informasi tentang penyusuan melalui bahan-bahan bacaan seperti buku, majalah dan risalah ataupun melalui media elektronik seperti televisyen dan radio. Bukan itu sahaja, di zaman teknologi ini juga memudahkan anda mendapatkan ilmu tentang laktasi melalui hujung jari. Anda boleh membuat carian di laman-laman web penyusuan atau menyertai forum berkaitan penyusuan susu ibu. Selain itu juga, kelas antenatal yang disediakan di klinik-klinik atau hospital dapat memberi anda gambaran yang lebih jelas tentang cara penyusuan bayi yang betul.

Tahukah anda?
Masalah penyusuan yang sering dialami oleh kebanyakan ibu baharu ialah cara meletakkan bayi semasa penyusuan (posisi penyusuan). Justeru, selain daripada belajar melalui buku, ibu hamil amat digalakkan untuk menyertai kelas antenatal untuk belajar praktikal tentang penyusuan.

Tips Bantu Ibu Hamil Bersedia

1. Belajar tentang proses penyusuan seperti cara meletakkan bayi, cara lekapan mulut bayi pada payudara dan posisi ibu semasa penyusuan.

2. Kenali tubuh anda. Dengan mengenali tubuh terutama bahagian payudara dapat membantu anda selesa dan seronok semasa proses penyusuan.

3. Dapatkan sokongan dan nasihat daripada pasangan, orang yang rapat dan berpengalaman serta pakar tentang cabaran dan solusi penyusuan.