Kekal ramping dan menawan selepas bersalin adalah impian bagi setiap wanita. Siapa yang tidak mahu tubuh badannya kekal langsing seperti remaja walaupun sudah mempunyai anak? Sayangnya, ia bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Ianya menjadi kebiasaan buat ibu mengandung tambah berat badan secara drastik dan walaupun selepas bersalin, agak sukar untuk menurunkan berat badan. Tetapi ianya tidak bermakna ianya mustahil untuk dilakukan. Ada yang gemar menggunakan kaedah tradisional dan ada juga yang menggemari kaedah moden. Nur Balqis, ibu kepada empat orang anak berkongsi petua dan cara-cara untuk kekal ramping walaupun selepas melahirkan anak. Bagaimana dia berjaya melakukannya? Mari kita lihat petua dan rahsianya.

1. Jaga pemakanan sewaktu berpantang

Waktu berpantang adalah tempoh yang paling perlu dijaga sekali. Anda perlu tetapkan target berapa jumlah berat badan yang ingin kurangkan. Bina jadual pemakanan harian lengkap dari sarapan pagi, makan tengah hari, makan petang serta makan malam. Pastikan setiap hidangan itu disertakan dengan maklumat protein, karbohidrat agar anda tahu apa yang anda ambil.

Kawal pengambilan kalori sebagai contoh, gantikan roti putih untuk sarapan pagi dengan roti puding ataupun roti gandum yang serat dengan fiber. Sebaiknya, makan nasi beras perang untuk makan tengah hari serta makan malam. Elakkan mengambil sebarang makanan bergula atau manis sepanjang waktu berpantang. Paling utama sekali, amalkan minum air suam. Jangan sesekali minum air sejuk atau berais!

Mengawal pemakanan tidak bermakna anda perlu berlapar. Tips di sini buat ibu-ibu yang sedang berpantang ialah makan dengan kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

2. Pastikan badan sentiasa panas

Untuk mempercepatkan proses mengurangkan berat badan, amalkan makan makanan yang boleh memanaskan badan. Herba dan rempah ratus adalah contoh yang terbaik seperti halia dan lada hitam. Perbanyakkan menu yang berasaskan dua bahan ini.

Anda juga boleh mengamalkan pengambilan jamu. Ia juga boleh memanaskan badan, mengeluarkan angin dalam badan serta peluh. Jamu boleh didapati di kedai-kedai yang menjual jamu atau juga dibuat sendiri. Ini adalah petua dan amalan sejak dari dahulu lagi.

3. Memakai bengkung selama 100 hari

Bengkung ini adalah amalan traditional yang amat berguna dan memberi kesan yang terbaik kepada badan. Sentiasa memakai bengkung kecuali ketika mandi, berurut serta bertungku. Bengkung ini bertujuan untuk mengempiskan bahagian perut anda. Kemaskan bengkung dan bahagian perut akan beransur mengecil. Maka pastikan bengkung diketatkan hari demi hari. Anda boleh sapu minyak panas pada bahagian perut untuk mempercepatkan proses serta lebih selesa.

4. Bertungku

Bertungku ini bertujuan untuk membuang angin yang ada dalam badan. Ianya adalah cara yang paling efektif sekali untuk membakar lemak dengan berkesan. Kebiasaannya mak bidan akan membantu dalam proses bertungku ini. Jika ada ahli keluarga yang boleh membantu, ianya lagi menjimatkan wang.

Bertungku bukan sahaja untuk bayi, ianya juga penting buat para ibu. Jangan sesekali tinggalkan amalan ini sewaktu sedang berpantang.

5. Jangan berhenti menyusukan anak

Tahukah anda, setiap kali menyusu, setiap kali itu lah kalori dalam badan dibakar? Ianya adalah satu mitos dimana anda akan kerap kali berasa lapar apabila menyusukan anak dan cenderung untuk makan selalu. Lagi kerap anda menyusukan anak, lagi cepat berat badan anda turun dan anak juga lebih sehat.

Komposisi utama susu badan ialah air dan protein. Jadi lebihkan pengambilan air dan protein berbanding karbohidrat. Antara makanan yang boleh banyakkan susu ialah sup lobak putih, ikan, ayam, soya dan sayur sawi. Menyusu badan membantu anda menurunkan berat badan serta menyihatkan si bayi.

6. Jangan duduk di dalam tempat yang sejuk

Dinasihatkan untuk tidak duduk di dalam tempat yang berhawa dingin sekurangnya selama 100 hari. Jika anda menaiki kereta, pastikan penghawa dingin dipasang pada tahap rendah dan digalakkan untuk memakai sarung kaki agar kekal panas. Ada sebabnya mengapa ibu-ibu bersalin memakai sarung kaki sewaktu berpantang.

7. Rajinkan diri berurut dan bertangkas

Berurut dapat membantu membuatkan diri rasa segar dan ringan kerana ianya melancarkan pengaliran darah dalam badan. Segala toksik dalam badan dikeluarkan dalam bentuk peluh. Petua menarik yang dikongsikan juga ialah bertangkas. Rebuskan halia, manjakani, serai wangi, daun pandan, daun limau purut, daun mengkudu, daun kunyit serta daun limau purut. Letakkan di dalam bekas kemudian duduk di atas kerusi dan bertangkas selama beberapa minit. Badan akan terasa ringan dan wangi selepas proses bertangkas.

8. Amalkan minum air detox

Air detox membantu dalam menyingkirkan toksik dalam badan. Air detox adalah campuran pelbagai jenis sayuran serta buah-buahan dan ianya amat mudah untuk dibuat. Sesuai buat ibu-ibu yang sedang berpantang yang mahu kekal ramping, anda boleh cuba campurkan teh hijau, limau nipis, dan daun pudina dalam botol air dan minum. Penting di sini adalah untuk tidak mencampurkan ais di dalam air detox. Ingat, anda perlu berpantang daripada minum minuman sejuk.

9. Rajinkan diri untuk melakukan senaman ringan

Sememangnya waktu berpantang membataskan pergerakan ibu-ibu untuk mengelakkan luka daripada menjadi lebih parah. Tetapi ianya tida menghalang anda untuk melakukan senaman ringan. Ada boleh cuba luangkan sedikit masa dengan melakukan ‘sit up’ sekurang-kurangnya 100 kali sehari. Senaman ini dapat membantu dalam mendapatkan semula perut yang kempis dan ramping.

Jangan jadikan ianya sebagai alasan untuk tidak boleh mendapatkan tubuh badan yang ramping semula. Anda boleh cuba berjalan di taman bersama anak kecil untuk membakar kalori. Jadikan ianya sebagai rutin setiap hujung minggu untuk kekal ramping.

10. Berenang mempercepatkan pembakaran kalori

Para ibu boleh mencuba berenang untuk mempercepatkan pembakaran kalori dalam badan. Berenang adalah cara paling mudah untuk membakar keseluruhan kalori dalam badan kerana ianya melibatkan pergerakkan seluruh anggota badan. Ia juga membantu dalam membentuk otot-otot badan dan kekal ramping. Cuba untuk berenang beberapa pusingan, tubuh badan anda tidak akan rasa penat tetapi banyak kalori yang sudah terbakar.

11. Hindari dari sebarang tekanan

Tahukah anda bahawa tekanan merupakan salah satu penyebab berat badan naik? Buat ibu-ibu yang sedang berpantang, cuba untuk elakkan diri daripada berasa tertekan. Jangan terlalu mengejar berat badan ideal dan membandingkan diri sekarang dengan tubuh badan sewaktu muda dahulu.

Ianya mustahil untuk mengurangkan 10 atau 20 kilogram sekaligus, jadi jangan terlalu memaksa diri. Lakukan perancangan yang teliti dengan mengawal pemakanan, aktiviti dan sebagainya. Berhenti membandingkan berat badan kini dengan berat badan sewaktu muda dahulu. Dengan cara yang betul, anda mampu untuk mengembalikan bentuk badan yang ramping, dan sudah pasti ianya mengambil sedikit masa.

Yoga adalah salah satu senaman yang sesuai untuk dilakukan oleh para ibu. Ianya bukan sahaja membakar kalori malah membuatkan anda rasa lebih santai dan aman. Tempoh berpantang boleh membuatkan para ibu berasa tertekan, jadi cuba cari alternatif untuk mengurangkan tekanan.