Sediakan peluang bermain

Secara semula jadinya, kanak-kanak memang gemar bermain. Malah, melalui bermainlah cara untuk mereka belajar. Jadi, kini anda sudah tahu bagaimana si kecil anda belajar tentang sesuatu bukan? Bersabar, Mama! Biarkan si manja bermain sambil belajar dengan cara yang menyeronokkan. Janganlah disebabkan anda mahu si kecil belajar tentang sesuatu, namun elemen keseronokan itu diketepikan! Biarkan anak anda meneroka, bertanyakan soalan dan menggunakan imaginasi mereka di samping melatih kemahiran motor
halus kanak-kanak.

Pilih mainan yang tepat

Banyak mainan dijual di pasaran, namun adakah anda tahu mainan mana yang benar-benar tepat untuk si kecil? Sekiranya mainan yang dipilih bertepatan dengan usia si manja, ini akan dapat membantu merangsang perkembangan si manja. Berikut kami sediakan beberapa tips untuk memilih mainan bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas:

Mainan ‘membesar’ bersama anak.

Kebanyakan ibu bapa pasti perasan bahawa kanak-kanak lazimnya hanya tertarik kepada sesuatu jenis mainan dalam tempoh yang pendek. Anda boleh mengelakkan situasi ini daripada berlaku dengan menyuntik elemen keseronokan dalam setiap peringkat perkembangannya.

 

Tahukah anda?

Ada kanak-kanak yang tidak gemar diberikan mainan berunsurkan teka-teki atau memerlukan mereka berfikir. Jadi, ketika inilah ibu bapa harus memainkan peranan dengan membantu kanak-kanak bermain.

Mainan yang menggalakkan penerokaan dan penyelesaian masalah

Melalui bermain, si manja anda akan dapat menguasai dan mempelajari kemahiran baharu. Anda boleh membantunya dengan memilih mainan yang dapat meningkatkan kemahirannya- dengan cara membimbingnya semasa bermain atau merangsang kemahiran berfikir secara logik dan melatih anak menjadi penyelesai masalah. Selain itu, mainan jenis ini juga dapat membantu kanak-kanak untuk mengembangkan kemahiran menghubung-kait (memahami bagaimana sesuatu benda boleh bercantum), koordinasi tangan-mata dan kemahiran motor halus (menggunakan otot kecil pada tangan dan jari).

Contoh mainan: mainan menyusun gambar, pengisih bentuk, blok ataupun cawan. Bagi kanak-kanak yang berusia 3 tahun ke atas, mainan yang bercirikan seni seperti tanah liat, menconteng/ melukis, krayon atau mainan doh adalah baik untuk merangsang
imaginasi mereka.

Mainan merangsang kreativiti

Ramai ibu bapa menganggap seseorang kanak-kanak itu hanya akan menjadi kreatif jika ibu bapanya juga kreatif. Namun, yang sebenarnya, setiap kanak-kanak boleh dibentuk menjadi pemikir yang kreatif melalui bantuan mainan dan alat sokongan.

Carilah mainan yang boleh membantu anak anda untuk berdaya kreatif seperti mainan patung yang terdapat dalam cerita kartun kegemarannya. Melalui mainan patung ini, anak anda dapat mengasah kemahiran literasi dan bahasa, kemahiran menyelesaikan masalah dan merangsang kemampuannya untuk mengikut urutan serta berhubung kait melalui main ‘olok-olok’.

Anda juga boleh menggunakan mainan blok, peralatan mainan masak-masak, robot, anak patung haiwan, kereta api dan trak serta mainan patung mesra kanak-kanak.