Dijangkakan lebih dua juta rakyat Malaysia bakal pulang ke kampung dua hari sebelum Hari Raya. Hal ini kerana kadar tol lebuh raya dikurangkan sebanyak 50% sempena musim perayaan ini. Tempoh masa perjalanan juga bakal meningkat dua kali ganda kerana kesesakan jalan raya yang luar biasa. Oleh itu, pastikan anda merancang perjalanan agar semuanya berjalan lancar dan elakkan daripada berlakunya microsleep.

Apa itu microsleep?

Pernah tidak anda memandu pada waktu malam dan terlelap seketika walaupun hanya selama 5 saat? Anda terjaga dan keadaan kereta anda benar-benar berada di belakang kereta lain tanpa sedar yang sebelumnya masih mempunyai jarak. Jalan yang lurus dan gelap membuatkan anda mengantuk. Microsleep ini adalah penyebab kemalangan jalanraya yang boleh meragut nyawa sebagai contoh kereta hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan atau kereta lain.

Microsleep merupakan keadaan di mana badan anda ‘tidur’ buat seketika. Ianya boleh berlaku antara 1 hingga 30 saat dan pada ketika itu deria pendengaran dan penglihatan anda tidak dapat diproses oleh otak dan ianya berlaku walaupun dalam keadaan mata anda masih terbuka. Kondisi berlaku seakan sama seperti sebuah komputer yang telah ‘shut down’, begitu juga samanya dengan keadaan otak.

Microsleep 3 saat boleh meragut nyawa

Pada kelajuan 70km/h, microsleep selama 3 saat boleh menyebabkan kenderaan menyusur tanpa kawalan sejauh 200 meter dan dalam jarak 200 meter itu sahaja, nyawa anda boleh melayang dalam sekelip mata sahaja. Sekarang bayangkan kalau anda memandu kereta pada kelajuan 100km/h di lebuhraya yang lurus dan gelap.

Ada sesetengah pemandu yang berpendapat bahawa jika kenderaan dipandu dengan laju, akan kurang kesan mengantuk kerana adrenaline akan meningkat selari dengan kelajuan kenderaan yang dipandu. Tetapi anda terlupa pada situasi ‘fight or flight’ di mana badan anda bersedia untuk menghadapi keadaan yang membahayakan diri, samada lari atau lawan situasi tersebut. Kesan ‘fight or flight’ hanya berlaku seketika sahaja tetapi sistem badan akan ‘burn out’ dan akhirnya boleh menyebabkan microsleep yang lebih lama.

Jadi co-driver yang berguna

Jika badan anda terasa letih sebelum memulakan pemanduan jauh dan berpotensi untuk microsleep, hentikan kereta di R&R dan letakkan kereta di tempat yang selamat. Tidur buat seketika untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Power nap selama 5 minit sudah memadai untuk mengembalikan kesegaran badan anda. Disebabkan itu lah, pemandu dinasihati untuk berhenti dan berehat setiap dua jam pemanduan jarak jauh.

Penting untuk penumpang dan co-driver menjalankan tugas untuk memastikan pemandu sentiasa fokus sepanjang perjalanan. Cuba bersembang santai dengan pemandu untuk mengelakkan rasa mengantuk. Perhatikan jika cara pemanduan menjadi pelik sebagai contoh mereka mula bergerak ke kiri dan kanan tanpa kawalan. Nasihatkan mereka untuk berhenti seketika di mana-mana stesyen minyak berdekatan atau R&R untuk rehatkan badan seketika.