HomeBlogChef Cilik

Chef Cilik

“Ibu masak apa hari ini? Boleh kakak tolong?”

Ingatkah anda kenangan semasa kecil, ketika anda datang ke dapur dan mahu menolong ibu anda memasak?

Apakah tindakan ibu anda ketika itu?

Adakah anda pernah berhadapan dengan situasi sebegini?

“Kakak pergi tengok cerita kartun dulu, nanti ibu panggil apabila makanan siap dimasak”

Pasti ramai dalam kalangan anda yang mempunyai ibu bapa seperti ini bukan? Anda pasti pernah ‘dihalau’ keluar dari dapur dengan alasan ibu anda tidak mahu anda melambatkan proses menyiapkan hidangan selain daripada takut jika anda terpegang benda-benda tajam yang terdapat di dapur.

Mempunyai ibu bapa yang bersikap ‘pelindung’ ini adalah wajar kerana sudah menjadi tugas ibu bapa untuk melindungi anak mereka. Namun, tahukah anda dengan memberikan anak anda peluang bersama-sama dengan anda di dapur adalah suatu aktiviti yang sihat selain anda dapat meluangkan waktu berkualiti bersamanya.

Rajinnya anak Mama…

Sebagai ibu bapa, sudah tentu anda tidak mahu membuat kerja tambahan dengan perlu membersihkan kotoran yang dibuat oleh anak anda jika anda membenarkannya membantu anda di dapur. Daripada masa setengah jam yang perlu diambil untuk membuat kek, anda perlu memperuntukkan masa yang lebih panjang kerana anak anda ‘mengacau’ kerja anda.

Walau bagaimanapun, adakah anda sedar ada kelebihannya jika anda membenarkan anak anda bersama-sama anda di dapur?

Jika anda perhatikan, terdapat beberapa iklan yang memaparkan kanak-kanak membantu ibu bapa memasak atau membuat kek di dapur. Biarpun dapur kelihatan kucar-kacir dengan hasil tangan kanak-kanak, namun perhatikan ekspresi muka dan emosi mereka, kedua-duanya kelihatan gembira kerana dapat memasak bersama.

Persoalannya, bolehkah anda membiarkan anak anda membantu anda di dapur? Apakah manfaatnya kepada anda dan anak?

Masa bersama

Jika anda seorang ibu yang bekerjaya, berapa kerapkah masa berkualiti yang anda luangkan bersama anak anda? Selepas pulang daripada kerja, rutin harian anda adalah untuk menyiapkan hidangan buat keluarga. Ketika inilah anda boleh meluangkan masa bersama anak anda. Minta tolong anak anda untuk mencuci sayuran atau buah-buahan. Pasti si cilik dengan senang hati akan membantu anda di dapur. Anda bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak, tetapi juga dapat menikmati pengalaman kulinari bersama.

Belajar sihat

Ketika menyediakan makanan, anak anda dapat mengenali pilihan menu yang anda sediakan. Justeru itu, mereka juga dapat mengetahui nutrisi yang diperolehi daripada setiap hidangan selain dapat mempelajari ramuan yang digunakan dalam hidangan yang disediakan.

Juri rasa

Apabila anak anda berpeluang membantu anda di dapur, dialah yang akan terlebih teruja untuk merasa makanan yang dihidangkan. Kanak-kanak lebih gemar mencuba untuk merasa makanan baru jika dia sendiri melibatkan diri dalam penghasilan makanan tersebut. Contohnya, jika anda biasa menghidangkan anak anda dengan makanan sandwic telur, anda minta anak anda tambahkan salad dan timun pada sandwicnya. Sungguhpun anak anda seorang yang tidak gemarkan sayur, pasti dia akan ralat jika tidak dapat merasa makanan yang disediakan sendiri. Oleh itu, mereka pasti akan merasa juga makanan tersebut.

Selain itu, anda boleh menggalakkan anak anda untuk menjadi lebih kreatif dalam penghasilan makanan. Contohnya, selain sandwic telur, anda boleh menggalakkannya untuk membuat sandwic tuna atau sardin. Melalui cara ini juga, secara tidak sedar kanak-kanak dapat diperkenalkan kepada pelbagai jenis makanan.

Baca & kira

Jika kanak-kanak masih belajar di prasekolah atau sekolah rendah, adalah menjadi satu manfaat buat mereka kerana dapat mempelajari kemahiran membaca dan mengira semasa memasak. Bagaimanakah caranya? Sekiranya anda ingin membuat kek mengikut resipi terbaru yang anda perolehi daripada buku, anak anda juga akan ikut serta membaca resipi dan arahan yang disediakan. Mereka bukan hanya memantapkan kemahiran membaca, bahkan juga mempelajari perkataan baru melalui resipi yang disediakan.

Tambahan pula, anda juga mengajarnya mengira sewaktu memberi arahan untuk meletakkan beberapa cawan tepung yang akan digunakan untuk membuat kek. Selain itu, kemahiran mendengarnya juga akan berkembang dengan mengikuti peringkat demi peringkat yang disediakan dalam sesuatu resipi.

Meningkatkan keyakinan diri

Apabila kanak-kanak berjaya menghidangkan makanan, mereka akan merasakan suatu kejayaan kerana terlibat dalam proses membantu menyiapkannya. Lebih-lebih lagi jika makanan itu mendapat reaksi yang positif daripada ahli keluarga lain, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan diri mereka. Jangan terkejut jika anak anda akan memberikan kejutan untuk Hari Ibu atau Hari Bapa nanti, malah mereka pasti teruja ingin membantu anda menyiapkan hidangan istimewa tersebut.

Ajarnya berdikari

Jika anda tidak sempat menyediakan hidangan sarapan pagi untuk anak anda, jangan risau lagi. Anak anda kini sudah bijak membuat hidangan mudah sendiri. Contohnya, dia akan mengambil dua keping roti dan meletakkan tuna atau sardin yang telah anda siapkan pada hari sebelumnya. Malah, anak anda juga akan meletakkan salad dan timun seperti yang pernah dibuat olehnya sebelum ini. Hah! Anak anda sudah tahu resipi mudah yang perlu disediakan jika dia sedang lapar.

Biarkan imaginasinya berkembang

Galakkan kanak-kanak jika mereka bercadang ingin memberikan pembaharuan pada menu tersebut. Contohnya, jika anak anda ingin meletakkan kentang goreng pada roti mentega, biarkan sahaja mereka. Kanak-kanak sepatutnya diberi peluang untuk mencuba sesuatu yang baru. Jika mereka rasa tidak sedap, sekurang-kurangnya mereka boleh belajar melalui pengalaman.

Sentiasa berwaspada

Biarpun anak anda kerap kali membantu anda di dapur, namun pastikan bahan-bahan tajam atau panas tidak diletakkan berdekatan dengan mereka. Kerap nasihati anak anda supaya tidak menyalakan suis atau menghidupkan api dapur tanpa pengawasan anda atau pasangan.

Leave a comment