Memilih destinasi terbaik bagi percutian seisi keluarga bukanlah suatu perkara yang sukar kerana di Malaysia sendiri menyediakan pelbagai lokasi yang menarik dan bersesuaian untuk dinikmati bersama ibu bapa dan anak-anak. Kenali 6 destinasi pantai yang sesuai untuk membawa anak anda bercuti.

Port Dickson

Port Dickson atau PD adalah pantai terkenal yang terletak di Negeri Sembilan. Sering menjadi tumpuan keluarga sebagai destinasi percutian hujung minggu, lokasi ini amat sesuai sebagai tempat berkelah dan bermandi-manda.

Pelbagai deretan kedai yang menjual pakaian mandi, pelampung dan aktiviti-aktiviti pantai untuk kanak-kanak terdapat di situ. Di sini, anak anda berpeluang bermain pasir sambil membina istana pasir. Selain itu, aktiviti mengutip dan mengumpul cangkerang siput turut menjadi kegemaran seisi keluarga.

Antara pantai yang terkenal di Port Dickson ialah Teluk Kemang dan Cape Rachado.

Desaru

Terletak 100 kilometer dari bandar Johor Bahru, Desaru menjadi pilihan warga tempatan dan pelancong kerana pasir pantainya yang putih dan bersih serta pemandangan pepohon ru di sepanjang pantai.

Turut dikenali dengan nama Tanah Casuarina sempena lokasi yang terkenal dengan pokok ru ini, ibu bapa bukan sahaja boleh merehatkan diri di sini, bahkan juga dapat mengajar anak mencintai alam. Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh seisi keluarga ialah memancing, bermandi-manda di pantai dan menyertai kembara renai.

Pantai Cherating

Bagi mereka yang tinggal di Pantai Timur, pastinya pantai Cherating tidak asing lagi di kalangan anda. Pantai peranginan yang sangat popular di Kuantan, Pahang ini bukan sahaja menjadi tarikan kepada mereka yang berada sana, bahkan juga ramai pelancong tempatan dan asing memilih pantai ini sebagai destinasi percutian seisi keluarga.

Dikenali dengan keindahan pantai yang bersih dan pokok kelapa yang membuai pandangan, Cherating turut menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti meluncur air oleh para pelancong luar terutama dari Eropah. Malah, di sini juga terletaknya pusat peranginan eksklusif terkemuka, Club Med yang amat sesuai sebagai lokasi pilihan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pantai Morib

Pantai Morib merupakan destinasi yang menjadi tumpuan perkelahan seisi keluarga di setiap petang dan hujung minggu. Pantai yang terletak di daerah Banting, Selangor ini sering dipenuhi dengan pengunjung yang gemar membawa anak mereka berjalan-jalan di persisiran pantai sambil bermain bola.

Pantai Morib juga sering menjadi tumpuan untuk melihat keindahan matahari terbenam. Selain itu, pusat peranginan Gold Coast Morib International Resort yang tidak jauh daripada pantai ini turut menjadi tarikan seisi keluarga kerana menyediakan taman tema air untuk kanak-kanak.

Pantai Cahaya Bulan

Pantai yang dahulunya dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi ini sering menjadi pilihan penduduk di sekitar Kota Bharu, Kelantan sebagai tempat perkelahan seisi keluarga. Selain dapat menikmati pemandangan laut yang membiru, para pengunjung di sini akan menunggu sehingga lewat petang bagi menyaksikan keindahan matahari terbenam di waktu senja.

Di Pantai Cahaya Bulan ini juga, anda boleh mengajar dan menyaksikan anak anda bermain layang-layang yang banyak dijual di kedai-kedai sekitar pantai. Makanan laut dan ikan bakar juga turut dijual di sini.

Pantai Batu Burok

Inginkan kelainan sewaktu bercuti di pantai? Anda boleh dapati aktiviti lain di Pantai Batu Burok yang terletak di Terengganu. Keistimewaan pantai ini selain daripada pantainya yang bersih ialah kemeriahan kereta kuda berhias yang turut menjadi tarikan utama pengunjung ke sini.

Pengalaman menaiki kereta kuda berhias di kawasan pantai sudah tentu bakal menjadi momen indah yang tidak akan dilupakan untuk anda seisi keluarga.


Sumber: www.tourism.gov.my