Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan peristiwa menyayat hati dimana bayi berumur 5 bulan yang dikatakan diculik telah dijumpai mati dan disorok oleh pengasuh di dalam peti ais. Adik Adam Rayqal ditemui oleh polis apabila dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dengan tindakan pengasuh yang membiarkan individu yang dikatakan sebagai “ayah” bayi tersebut menjemputnya di rumahnya.
Kes ini mendapat perhatian rakyat Malaysia dan ini bukan satu-satunya kes yang pernah terjadi yang membabitkan pengasuh. Ianya membuatkan ramai ibubapa berasa risau untuk menghantar anak mereka ke pusat pengasuh. Sebelum nasi menjadi bubur, sebagai ibubapa anda perlu ketahui dengan tanda-tanda penderaan anak sebelum ianya terlambat.
Table of Contents
Berikut adalah 9 tanda-tanda anak anda didera oleh pengasuh secara diam-diam
1. Menangis dan meronta kerana enggan ke pusat jagaan
Jika anda baru sahaja menghantar anak ke pusat asuhan atau rumah pengasuh, lihat perubahan mereka dalam masa seminggu-dua. Jika pada awalnya anak anda tidak mempunyai masalah untuk ke rumah pengasuh dan secara perlahan-lahan memberontak dan tidak mahu pergi, pasti ada sesuatu berlaku. Jika mereka menangis, menjadi takut dan meronta-ronta tidak mahu dihantar, anda sebagai ibu atau bapa perlu menyiasat perkara ini.
2. Luka atau lebam pada bahagian yang tidak dapat dijangka
Tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak aktif bermain dan gemar meneroka perkara baru. Tetapi tidak ada kanak-kanak apatah lagi bayi yang secara sengaja akan mencederakan diri sendiri. Bahkan luka kecil pun mereka akan menangis kesakitan, inikan pula luka besar seperti lebam. Jika terdapat lebam-lebam di badan dan penjaga tidak dapat memberi penjelasan, berkemungkinan besar dia telah didera. Jika bayi anda tidak boleh merangkak lagi dan terdapat lebam di kawasan yang sukar dicapai, itu juga satu petanda bahawa anak anda sudah didera.
3. Patah tulang yang tidak dapat dijelaskan
Patah tulang adalahastu perkara kronik dan tidak sepatutnya berlaku pada bayi atau kanak-kanak di pusat pengasuh. Sedangkan jika ibubapa menjaga anak sendiri pun tidak akan berlaku sebarang masalah patah tulang, mengapa ianya boleh terjadi di rumah pengasuh? Jika bayi anda berumur 3-5 bulan dan hanya berbaring dan tidak mampu lagi untuk merangkak, patah tulang adalah satu perkara dan mustahil dan berkemungkinan dia telah didera dengan dipulas lengan atau pahanya dengan kuat.
4. Lemah dan muntah-muntah
Anak anda secara tiba-tiba muntah-muntah, lemah atau tidak responsif seperti biasa, ianya membawa kemungkinan bahawa berlaku penderaan di pusat jagaan. Tanda-tanda pendarahan otak termasuklah gelisah, lemah, sawan atau tidak responsif secara tiba-tiba. Jika sewaktu anda hantar, anak anda dalam keadaan baik dan sewaktu diambil mereka berubah secara tiba-tiba , cepat-cepat bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
5. Sering mengalami mimpi seram
Mimpi seram atau mengingau pada malam hari boleh membawa bermacam maksud. Kanak-kanak yang didera secara mental dan fizikal akan berasa tidak tenteram untuk tidur dan berasa takut-takut. Mengigau menunjukkan bahawa emosi mereka terganggu dengan teruk. Cuba tanyakan pada mereka apakah yang terjadi.
6. Berubah sikap secara tiba-tiba
“Saya pelik anak saya yang dahulunya hyperactive dan gemar bergurau-senda menjadi diam dan pasif semenjak-dua menjak ini.” Ibubapa perlu peka dengan perubahan anak untuk mengetahui masalah yang berlaku. Perubahan sikap yang drastik menunjukkan emosi yang terganggu yang mungkin berpunca daripada penderaan. Ambil tahu apa yang berlaku sepanjang di rumah pengasuh dan ajak mereka bersembang. Jika ianya berlarutan, segeralah bertukar pusat asuhan lain.
7. Suka kencing malam
Adakah anak anda yang sebelum ini tidak pernah kencing malam dan secara tiba-tiba mereka mempunyai tabiat untuk kencing malam? Tahukan anda bahawa tabiat kencing malam ini berkait-rapat juga dengan emosi kanak-kanak? Kanak-kanak menjadi pasif atau regresif jika mereka dikenakan penderaan fizikal dan mental. Lihat juga jika mereka secara tiba-tiba menjadi seperti kebudak-budakan kembali dengan menghisap jari. Ia juga adalah pentanda lain penderaan.
8. Sakit pada bahagian kemaluan
Penderaan ke atas kanak-kanak bukan sahaja penderaan secara fizikal seperti dipukul dan sebagainya. Anda perlu ambil kira juga penderaan secara seksual. Banyak kes paedophile yang melibatkan orang dewasa dan anak kecil berlaku sekarang ini. Penderaan seksual mungkin terjadi tanpa sebarang kesan ke atas fizikal mereka tetapi ketahuilah bahawa emosi mereka akan terganggu. Jangan kata kanak-kanak perempuan, malah kanak-kanak lelaki juga boleh terjadi. Oleh itu berhati-hati.
9. Percaya kata hati anda
Satu tip yang paling penting sekali buat ibubapa, ikut kata hati anda. Kata hati seorang ibu tidak akan pernah salah sama sekali. Jika anda dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena, jangan duduk diam. Cuba siasat dan cari kebenaran untuk memastikan kebajikan dan keselamatan anak anda terjamin.