Sudah berapa lamakah anda tidak pergi bercuti? Mengapa? Alasan sukar bercuti selepas mempunyai anak tidak boleh dipakai. Jika anda bijak merancang percutian keluarga, sudah tentu tidak menjadi masalah untuk membawa anak anda bercuti biarpun terpaksa melayan kerenah mereka. Jika anda terapkan budaya percutian keluarga, pastinya tiada masalah untuk mengawal kanak-kanak.
Bagi mendapatkan percutian yang menyeronokkan, persediaan rapi harus dilakukan supaya aktiviti ini dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Hilangkan segala tekanan yang ada dan nikmatilah percutian keluarga anda. Kami kongsikan beberapa panduan sebelum anda bercuti:
Table of Contents
Bertolak semasa hampir waktu tidur anak
Anda perlu tahu, tidak semua anak kecil gemar menghabiskan kebanyakan masa mereka di dalam kereta. Justeru itu, bagi menghilangkan rasa bosan mereka, anda mulakanlah perjalanan percutian anda ketika hampir waktu tidur mereka. Bagaimanapun, jika anda terpaksa memulakan perjalanan pada hari siang, banyakkan berhenti di hentian rehat supaya anak anda tidak terasa lamanya perjalanan.
Ajak saudara atau rakan
Bercuti beramai-ramai lebih memberikan keseronokan kepada anak anda. Jika anda sedang merancang percutian, ajaklah bersama keluarga ataupun jiran anda yang mempunyai anak lebih kurang seusia dengan anak anda. Kanak-kanak gemar berkawan dengan rakan sebaya mereka. Percutian akan menjadi lebih menghiburkan buat kanak-kanak jika berada bersama rakan yang dikenali.
Bawa barang kesayangan mereka
Apakah barang yang menjadi kegemaran anak anda? Jika anak anda gemar bermain anak patung, jadi bawa bersama anak patungnya supaya dia tidak akan bosan sepanjang perjalanan. Jika dia gemar membaca, belikan buku baru untuknya dan bawalah semasa percutian. Pasti dia akan teruja dan tertarik untuk membaca buku yang baru dibeli. Jadi, masa perjalanan tidak akan terasa lama buatnya.
Ceritakan gambaran perjalanan
Jika anda merancang percutian dengan menaiki kapal terbang, maklumkan kepada anak-anak anda mengenai gambaran sebelum menaiki kapal terbang, seperti prosedur yang perlu dilakukan dan tempoh perjalanan.
Pilih penginapan yang mesra kanak-kanak
Bagi memudahkan percutian anda, tempahan penginapan hendaklah dibuat lebih awal. Cari penginapan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk kanak-kanak seperti kolam renang, basikal, gym kanak-kanak dan taman permainan kanak-kanak. Selain daripada menikmati percutian, kanak-kanak pasti tertarik meneroka penginapan sepanjang percutian.
Libatkan anak-anak
Sebelum mula bercuti, ceritakan perancangan sepanjang percutian seperti aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan. Rancang aktiviti yang boleh anak anda lakukan sepanjang percutian seperti melukis bangunan atau pemandangan semasa percutian nanti.
Santai
Pastikan aktiviti sepanjang percutian dibuat secara santai kerana melibatkan anak-anak. Jangan rancang percutian dengan jadual yang padat kerana akan membuatkan anak-anak anda keletihan sekaligus mereka tidak dapat menikmati percutian.
Nikmati percutian
Bercuti bersama kanak-kanak agak mencabar kerana anda perlu melayan kerenah mereka. Nikmati percutian anda sekeluarga dengan lapang dada. Ikhlaskan hati dan sabar melayan kerenah anak anda, pasti percutian yang anda impikan menjadi nyata.