Alam kanak-kanak dahulu amat berbeza dengan kini. Kanak-kanak dahulu menikmati zaman mereka dengan bermain di luar seperti bermain tingting, konda-kondi, sorok-sorok, layang-layang, galah panjang dan banyak lagi. Berbeza sekali dengan kanak-kanak sekarang yang lebih banyak meluangkan masa dengan bermain gajet.
Suatu masa dahulu, kanak-kanak tidak akan melepaskan peluang jika diberi masa bermain di luar, malah akan tertunggu-tunggu untuk ibu bapa mereka tawarkan peluang tersebut. Walau bagaimanapun, amat berbeza dengan situasi hari ini di mana jika boleh ibu bapa mahu anak mereka ‘melekat’ di dalam rumah- dan perkara ini adalah tidak elok!
Dianggarkan, kanak-kanak zaman sekarang hanya meluangkan masa 30 minit sahaja di taman permainan rumah mereka. Selebihnya, lebih tujuh jam daripada waktu mereka setiap hari dilebihkan dengan bermain gadget elektronik dan televisyen.
Justeru, tidak hairanlah lagi jika kajian demi kajian menunjukkan peningkatan bilangan kanak-kanak yang mengalami obesiti dan penyakit ADHD. Tanpa berpeluh, berlari, memanjat, melompat dan aktiviti-aktiviti lain yang sinonim untuk perkembangan mereka, kanak-kanak ini akan berubah bentuk tubuh dan mudah rasa tertekan kerana tidak berhubung dengan dunia luar.
Kita juga boleh lihat di mana kanak-kanak yang bermain di luar akan lebih gembira, malah lebih sihat jika meluangkan masa di luar rumah berbanding dengan menghabiskan masa dengan menonton skrin. Berikut merupakan manfaat atau kebaikan yang akan si kecil anda dapati jika meluangkan masa di luar rumah:
Table of Contents
1. Berada di luar membantu meningkatkan tumpuan si kecil
Menurut satu kajian, dengan meluangkan masa bermain di kawasan hijau akan dapat mengurangkan simptom penyakit ADHD, iaitu bersikap leka dan impulsif.
2. Mengurangkan tekanan
Kajian dari dua orang pakar psikologi persekitaran di Universiti Cornell menemukan bahawa membesar dengan dikelilingi alam sekitar adalah faktor signifikasi kepada kesihatan emosi dan mental kanak-kanak. Tidak hairan lagi, kerana orang dewasa sendiri pun akan merasa lebih relaks dan tenteram jika dapat menikmati alam hijau yang terbentang.
3. Cahaya matahari membekalkan vitamin D yang penting
Kajian daripada American Academy of Pediatrics menunjukkan bahawa kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat vitamin D yang mencukupi. Kekurangan vitamin penting ini akan menyebabkan masalah pada tulang, diabetes dan penyakit jantung. Malah, sinaran matahari adalah sumber terbaik untuk vitamin D.
4. Menajamkan daya penglihatan
Menurut kajian dalam Optometry and Vision Science, kanak-kanak yang bermain di luar mempunyai tahap penglihatan yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang sering menghabiskan masa di ruangan tertutup atau dalam rumah. Pakar berpendapat hal ini mungkin kerana faktor sinaran cahaya luar yang lebih terang kepada kanak-kanak.
5. Meningkatkan kekuatan sistem imun tubuh
Salah satu sebab mengapa ibu bapa tidak mahu anak bermain di luar adalah kerana kekotoran yang ada di luar rumah. Namun, sebenarnya, kanak-kanak perlu terdedah kepada kekotoran dan kuman bagi membantu sistem imun tubuh mereka berkembang dengan baik.
6. Mengelakkan obesiti
Banyak kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang bermain di luar adalah aktif dari segi fizikal, bermakna ia bukan sahaja baik untuk mengelakkan mereka obesiti semasa kecil, bahkan juga boleh memperbaiki tahap kolesterol, tekanan darah, dan kepadatan tulang.