Bulan Ramadhan bakal tiba tidak lama lagi! Semua pasti tidak sabar untuk menunggu ketibaan bulan yang penuh mulia dan menjalani ibadah puasa. Mungkin sesetengah para ibu bakal merasakan keletihan menjalani bulan puasa kerana masih perlu menyusukan si kecil. Bagaimana mahu mengekalkan tenaga sepanjang hari ketika berpuasa dan dalam masa yang sama menyusukan bayi?

Ada yang berpendapat susu ibu akan berkurang sewaktu berpuasa dan ini boleh memberi kesan terhadap si kecil. Jom ketahui bagaimana cara dan tips terbaik untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari sewaktu berpuasa buat para ibu yang masih menyusukan anak. Berikut adalah 5 tips berguna buat ibu yang menyusukan si manja pada bulan puasa kelak:

1. Makan makanan yang tinggi karbohidrat

Jangan sesekali terlepas sahur kerana ianya amat penting buat para ibu. Anda memerlukan tenaga yang secukupnya untuk seharian suntuk serta membekalkan susu yang mencukupi buat bayi. Sewaktu sahur, ambil makanan yang yang kaya dengan karbohidrat seperti nasi, roti, oat dan biasakan diri untuk mengamalkan memakan kurma. Kurma mampu membekalkan tenaga yang diperlukan dan ianya mempunyai banyak khasiat.

Selain itu, cuba untuk melambatkan sahur seperti yang dianjurkan agar para ibu tidak cepat berasa lapar. Jangan bersahur pada malam hari sebelum tidur, waktu sahur yang terbaik adalah di awal pagi sebelum subuh.

2. Amalkan memakan kurma

Kurma ini mempunyai banyak khasiatnya dan disebabkan itulah ianya merupakan makanan sunnah. Kurma in dikenali sebagai superfood yang mengandungi pelbagai khasiat dan kelebihan. Kurma membantu melancarkan penghasilan susu ibu. Ianya mampu menghasilkan susu badan yang banyak kerana nutriennnya yang tinggi. Amalkan memakan kurma terlebih dahulu sewaktu berbuka sebelum memakan makanan lain.

3. Pam susu 3-4 jam sekali

Sebagai cadangan, anda boleh mengepam susu selepas selesai bersahur. Jika masih mempunyai masa, minum segelas susu atau air suam selepas mengepam untuk mengembalikan tenaga. Pam susu anda seperti biasa iaitu 3-4 jam sekali. Di tempat kerja, anda boleh luangkan masa rehat dengan mengepam susu badan. Proses mengepam susu ini boleh meletihkan badan, disebabkan itulah sahur amat penting buat para ibu dan makan makanan yang boleh membekalkan tenaga yang secukupnya.

4. Minum air yang mencukupi

Tubuh badan memerlukan air yang mencukupi agar kekal bertenaga dan sihat. Minum air yang mencukupi pada waktu malam untuk menggantikan cecair dalam badan yang telah digunakan. Amalkan membawa botol air sentiasa sewaktu menonton televisyen ataupun ketika menunaikan solat terawih. Sebelum tidur, pastikan anda meletakkan segelas air suam di tepi katil untuk diminum di malam hari.

Hal ini amat lah penting untuk memastikan bekalan air dalam tubuh badan ibu mencukupi sewaktu berpuasa keesokkan harinya.

5. Kurangkan pengambilan kafein

Jika kuantiti susu anda berkurangan, ianya bukanlah disebabkan oleh faktor ibu berpuasa tetapi ianya disebabkan oleh rasa letih yang sering kali berlaku ketika mula berpuasa dan menyebabkan hormon yang membantu penghasilan susu (hormon oksitosin) berkurangan. Amat penting untuk para ibu kekal bertenaga dengan sahur dan minum air yang mencukupi sepanjang malam. Kurangkan pengambilan makanan yang boleh mengurangkan kuantiti air dalam badan seperti kafein, makanan yang berminyak serta makanan pedas.

Kepada semua para ibu di luar sana, selamat menjalani ibadah puasa. Utamakan kesihatan si manja dan diri anda sepanjang bulan puasa kelak. Baca artikel-artikel di 100Comments untuk ketahui lebih banyak tips.