Sebagai ibu bapa, tentunya anda akan runsing apabila anak anda ditimpa penyakit. Apatah lagi jika penyakit yang dialami kanak-kanak tidak menunjukkan kesembuhan. Ketahui 5 jenis penyakit yang sering melanda kanak-kanak. Awas! Ada beberapa penyakit yang boleh membawa maut!

Table of Contents

Batuk

Batuk adalah satu tindak balas yang terhasil apabila ada bendasing yang cuba memasuki saluran pernafasan kita seperti kahak atau makanan. Ia adalah satu cara pertahanan badan kita untuk mengelak daripada paru-paru dicemari dengan bendasing yang mungkin akan mengakibatkan saluran pernafasan kita tersumbat, sekaligus membawa kepada masalah pernafasan atau jangkitan.

Jika kanak-kanak sering mengalami batuk pada waktu malam, berkemungkinan disebabkan asthma atau post-nasal drip, iaitu jangkitan selesema yang menghasilkan hingus pada rongga hidung.

Bagi kanak-kanak yang mengalami batuk di waktu malam, jika didapati anak anda sesak nafas maka perlulah dibawa berjumpa doktor, sebaliknya jika disebabkan post-nasal drip, biasanya jangkitan akan hilang sendiri selepas 3-5 hari.

Pneumonia

Pneumonia adalah virus yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae (S.pneumoniae). Namun, kanak-kanak boleh dijangkiti virus pneumonia daripada jangkitan penyakit lain, yang membuatkan sistem imunisasinya lemah.

Tanda-tanda pneumonia kadang-kadang agak mengelirukan kerana seakan-akan sama dengan gejala biasa kanak-kanak seperti demam, selesema, dan batuk.

Sekiranya penyakit ini berjaya dikesan lebih awal, doktor boleh merawat penyakit biasanya dengan menggunakan antibiotik luaran, tanpa melakukan langkah-langkah yang lebih drastik. Sebaliknya, pneumonia yang berjaya dikesan pada peringkat akhir akan memerlukan antibiotik intravena dan langkah lebih drastik terutama apabila dada dimasuki cecair. Penyakit ini juga boleh membawa maut.

Bagi mengurangkan risiko penyakit pneumonia, kanak-kanak perlu diberikan vaksin pneumokokal bagi mencegah jangkitan yang boleh menyebabkan pneumonia!

Demam

Demam merupakan salah satu sebab utama kemasukan kanak-kanak ke wad. Malah, dianggarkan antara 20% -40% kanak-kanak mengalami masalah demam setiap tahun.

Biasanya, demam dikaitkan dengan masalah jangkitan kuman yang boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kebarangkalian demam yang disebabkan oleh jangkitan kuman yang serius adalah kecil dan pada kebanyakan masa, demam seringkali disebabkan oleh jangkitan virus.

Sistem pertahanan atau antibodi badan kanak-kanak itu sendiri akan cuba melawan jangkitan virus tersebut dan ia biasanya akan baik dengan sendirinya. Secara amnya, suhu badan yang melebihi  37.5 °C adalah demam.

Jika anak anda mengalami tanda-tanda kulit pucat, kurang aktif, sukar bernafas atau demam yang berpanjangan, segeralah membawa anak anda berjumpa dengan pakar kanak-kanak.

Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang demam tetapi masih lagi aktif bermain, anda masih perlu memantau anak anda dengan memastikan badannya mendapat air yang mencukupi.

HFMD

Penyakit kaki, tangan dan mulut atau HFMD adalah disebabkan oleh jangkitan virus. Biasanya, virus yang menyerang adalah seperti coxsackie dan enterovirus. Virus-virus ini akan dipindahkan kepada orang lain melalui fecal oral route, iaitu virus yang keluar dari najis pesakit, makanan tersentuh benda-benda yang dicemari oleh unsur najis, hingus, bersin, sentuhan dan air liur.

Lazimnya, penyakit HFMD senang dijangkiti pada kanak-kanak di nurseri, tadika atau sekolah. Tanda-tanda awal mereka yang menghidap penyakit ini ialah demam, ulcer mulut, ruam pada kaki dan tangan serta dehidrasi.

Segelintir kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan mengalami komplikasi seperti meningitis (otak) dan myocarditis (jantung) yang boleh membahayakan.

Cara mencegahnya adalah dengan menjaga kebersihan rumah dengan baik. Jangan hantar anak anda ke sekolah jika dijangkiti penyakit tersebut. Sementara itu, pihak taska pula perlulah memainkan peranan dengan memastikan kanak-kanak yang mengalami demam dan ruam badan tidak dihantar ke sekolah.

Rotavirus

Rotavirus adalah sejenis penyakit cirit-birit akut yang melanda bayi dan kanak-kanak. Antara simptom awal yang dialami oleh kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini ialah muntah-muntah, cirit-birit, demam dan dehidrasi.

Punca utama penyakit rotavirus ialah tahap kebersihan yang kurang baik di sekeliling. Penyakit ini tersebar melalui najis yang terkena rotavirus iaitu disebarkan melalui tangan, objek-objek lain atau mungkin juga melalui pernafasan. Rotavirus juga boleh tersebar melalui air dan boleh kekal di najis manusia sehingga seminggu serta hidup di tangan manusia.

Penyakit ini boleh dicegah dengan cara pemberian vaksin Rotavirus kepada kanak-kaak yang boleh diambil seawal usia bayi 8 minggu hingga 8 bulan. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan kebersihan kawasan rumah, kebersihan makanan dan kawasan sekeliling. Didiklah anak anda untuk membasuh tangan sebelum memegang makanan. Ibu bapa juga perlu menitik beratkan kebersihan semasa menyediakan makanan kepada anak-anak seperti memasak makanan dengan kepanasan yang sempurna dan mendidihkan air sebelum hendak diminum.