Ramai pakar yang mengaitkan pengguna otak kanan sebagai seorang yang bijak, justeru, kebanyakan pusat pengayaan kanak-kanak turut mementingkan kaedah penggunaan otak kanan dalam pembelajaran mereka. Bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Nordin Mamat berkongsi pandangan tentang persepsi masyarakat mengenai penggunaan otak kanan dan keberkesanannya.
SKW: Banyak pusat pendidikan awal kanak-kanak dan pusat pengayaan kini yang mempraktikkan penggunaan otak kanan. Apakah yang dimaksudkan dengan pembelajaran otak kanan?
Dr Nordin: Pembelajaran otak kanan bermaksud memaksimumkan penggunaan otak kanan dengan cara melatih otak kanan dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai. Tujuannya adalah untuk menjadi seorang yang luar biasa, hebat dan kreatif. Timbul pelbagai pertanyaan daripada ibu bapa tentang otak kanan seperti, “Betulkah otak kanan lebih hebat dari otak kiri?” atau “Betulkah orang yang berjaya adalah dominan otak kanan?”
Persoalan ini amat sukar untuk saya simpulkan kerana bukti emperikal belum ada. Akan tetapi, yang pasti kita perlu memaksimumkan bahagian otak kanan kita dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai. Kebanyakan orang yang dominan otak kanan berfikir dan bertindak berbeza dengan orang yang menggunakan otak kiri.
SKW: Apa perbezaan antara fungsi otak kanan dan otak kiri?
Dr Nordin: Roger W Sperry membahagikan otak kepada dua hemisfera, setiap separuh melaksanakan satu set yang agak berbeza operasinya. Otak kiri dan kanan masing-masing mempunyai fungsi yang berbeza. Tugas belahan kiri paling utama adalah untuk bahasa (verbal) termasuk kata-kata, logik, matematik, urutan, analisis, dan lain-lain sedangkan tugas belahan kanan berfungsi selain daripada bahasa (nonverbal) yang meliputi kreativiti, irama, kesedaran ruang, imaginasi, khayalan, warna, dan lain-lain.
SKW: Mengapa latihan penggunaan otak kanan di kalangan kanak-kanak penting?
Dr Nordin: Latihan untuk penggunaan otak kanan penting. Dari segi kapisiti kemampuan otak, otak kanan mempunyai kapasiti 90% berbanding otak kiri hanya 10-12%. Fungsi utama otak kanan adalah mengawal bahagian tubuh kita terutamanya bahagian kiri badan seperti saraf sensori dan pergerakan tubuh, kesedaran akan anggota tubuh. Selain itu, penggunaan otak kanan berfungsi menjadikan kita kreatif, berdaya cipta, berimaginasi, berpersonaliti, inovasi, dan empati yang menjadi indikator untuk bergelar seseorang yang hebat.
SKW: Bagaimana rangsangan otak kanan boleh dilakukan?
Dr Nordin: Kita mempunyai cara berfikir yang berbeza, namun cara berfikir kita boleh dilatih. Begitu juga dengan kanak-kanak, kemahiran menggunakan otak kanan mereka perlu dilatih dalam pembelajaran formal dan kehidupan harian mereka. Antaranya melalui Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak sama ada di taska atau tadika. Tiga cara bagi merangsang otak kanan ialah:
- Penekanan dalam kurikulum mesti berorientasikan individu, sesuai dengan prinsip pembelajaran kanak-kanak; setiap individu mempunyai kebolehan yang berbeza.
- Pendekatan bermain atau pembelajaran secara aktif. Aktiviti-aktiviti pembelajaran berkonsepkan memperkembang potensi individu. Perbanyakkan bentuk-bentuk aktiviti penerokaaan, bermain peranan, visual, penyoalan, perhitungan, analitis, keterampilan diri, seni, muzik, kreativiti, imaginasi, metafora dan analogi.
- Penilaian atau pentaksiran yang berbentuk formatif atau berterusan yang boleh mengukur perkembangan holistik kanak-kanak, bukannya penilaian yang berorientasikan peperiksaan. Bagi penilaian yang tepat, pendidik harus mengembangkan bentuk-bentuk penilaian baru yang mengembangkan bakat dan keterampilan dengan menggunakan otak kanan.
SKW: Apakah contoh aktiviti mudah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah untuk merangsang otak kanan anak?
Dr Nordin: Aktiviti yang boleh dilakukan di rumah ialah:
- Hobi atau perkara yang disukai anak – Pastikan setiap kanak-kanak ada hobi seperti bersukan (bermain bola, hoki, golf, skate). Hobi dikaitkan dengan melakukan sesuatu yang seseorang suka, yang datang daripada keinginannya sendiri dan secara sukarela. Hobi membantu individu untuk bersifat sabar, memberi tumpuan, kreatif dan tekun. Ini adalah salah satu cara praktis untuk melatih otak kanan. Secara tidak sedar, ketika mereka melakukan hobi, mereka tidak akan rasa bosan. Hobi juga sangat berpotensi melatih otak kanan kerana sangat berkaitan rapat dengan kreativiti.
- Aktiviti spontan atau kelakar – Banyak program spontan dan kelakar dalam televisyen kita hari ini yang amat membantu anak-anak kita menggunakan otak kanan. Tontonan kepada program seperti ini menjadikan kanak-kanak ceria. Mereka yang ceria mampu merangsang idea-idea kreatif. Orang yang kuat otak kanannya selalu berfikir ke depan, mencari idea-idea baru.
- Muzik – Kanak-kanak secara semula jadinya sukakan muzik. Dengan melatih kanak-kanak mencintai muzik dapat membantu merangsang mereka berimaginasi. Lirik-lirik lagu yang indah, irama yang penuh dengan seni membantu menenangkan emosi. Orang yang kuat otak kanannya selalu berimaginasi dan mendapatkan idea dengan muzik.
- Membaca al-Quran – Ayat-ayat dalam al-Quran bermula dari kanan ke kiri adalah berlawanan dengan tulisan rumi. Bagi penganut agama Islam, dengan membaca al-Quran dapat melatih penglihatan kita dari kanan ke kiri. Kedudukan tulisan berbeza dengan tulisan latin biasa akan merangsang pemikiran untuk berfikir dalam arah bertentangan dari biasa. Ternyata hal itu dapat dijadikan terapi otak kita, iaitu melatih kemampuan otak kanan. Kelancaran kanak-kanak membaca al-Quran dari kanan ke kiri akan membantu pemikiran anak-anak bertindak dengan cepat.
SKW: Ramai yang mengaitkan otak kanan dengan kreatif. Benarkah orang yang kreatif banyak menggunakan otak kanan? Jika ya, bolehkah kreatif dibentuk di kalangan anak kecil?
Dr Nordin: Memang benar, orang yang kreatif banyak menggunakan otak kanan. Kita boleh melatih otak kanan kanak-kanak seperti melakukan aktiviti-aktiviti di rumah yang berasaskan kreativiti. Antara aktivitinya ialah melatih kemahiran motor halus kanak-kanak seperti menulis, melukis, melakar, merasa dengan sentuhan. Pada masa yang sama, latih mereka menggambarkan apa yang akan dilukis, membiasakan mereka dengan aktiviti baru melalui fotografi dan seterusnya meminta mereka menulisnya. Aktiviti-aktiviti ini mengasah otak kanan kanak-kanak berfikir idea baru yang mungkin mudah bagi anda tetapi hebat bagi kanak-kanak, ini adalah latihan otak kanan.
SKW: Nasihat Dr. kepada ibu bapa tentang rangsangan otak kanan di kalangan kanak-kanak.
Dr Nordin: Ibu bapa di rumah boleh mengaktifkan otak kanan dengan melatih anak-anak kita melalui cara berikut:
- Left-handed handling (Buat sesuatu dengan menggunakan tangan kiri)
- Left-handed brushing (Gosok gigi dengan tangan kiri)
- Left-handed writing (Tulis nama dengan tangan kiri)
- Left-handed signing (Buat tanda tangan dengan tangan kiri)
Aktiviti-aktiviti ini membantu otak anak-anak anda memaksimumkan penggunaan otak mereka, berfikir secara terbalik dan bertentangan dengan kebiasaan mereka. Kita perlu melatih anak-anak sukakan perubahan, berfikir di luar kotak, dan berfikir secara berlawanan dengan kebiasaan.
Sebagai rumusan, kanak-kanak yang lebih dominan menggunakan otak kanan cenderung menggunakan kreativiti untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka melihat secara keseluruhan situasi dan menggunakan intuisi untuk menyelesaikan sesuatu masalah.