Kehidupan yang baik bermula dengan pendidikan. Tanpa pendidikan, anda akan ketinggalan dari setiap segi. Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan jugalah yang menjadi asas kepada perubahan kehidupan seseorang.

Mengapa sekolah antarabangsa semakin diminati?

Salah satu elemen penting semasa membesarkan anak adalah memastikan keselamatan dan gaya pemakanan anak. Namun, kebelakangan ini, ramai ibu bapa yang mula mengambil berat akan jenis pendidikan yang perlu diberikan kepada anak-anak mereka. Selain sekolah tradisional, pelajar turut ditawarkan dengan pilihan di sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Ibu bapa terutamanya yang berkemampuan turut menyenaraikan sekolah antarabangsa sebagai pilihan pendidikan untuk anak mereka.

Ditambah pula dengan pengumuman oleh pihak kerajaan pada tahun 2012 tentang keputusan memansuhkan kuota 40 peratus enrolmen pelajar tempatan ke sekolah antarabangsa, menjadikan trend menghantar anak ke sekolah antarabangsa kini semakin meningkat. Malah, pada tahun 2013 pula, bilangan pelajar tempatan yang mengikuti sekolah antarabangsa semakin meningkat, malah ada yang melebihi bilangan pelajar ekspatriat. Menganggap pendidikan adalah pelaburan terbaik dalam aspek membesarkan anak-anak, ramai ibu bapa yang tidak kisah untuk melabur demi mendapatkan pendidikan terbaik buat anak mereka.

Mengapa pilih sekolah antarabangsa?

Terdapat beberapa faktor mengapa ibu bapa berebut-rebut untuk menghantar anak memasuki sekolah antarabangsa.

Antaranya adalah kerana:

Mahir dalam bahasa internasional

Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang perlu dikuasai untuk membolehkan seseorang itu pergi lebih jauh. Bahasa antarabangsa ini adalah bahasa yang digunakan di seluruh dunia. Majoriti sekolah antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian, menjadikannya bahasa utama semasa di sekolah. Bukan itu sahaja, kebanyakan sekolah antarabangsa juga akan memastikan pelajarnya menguasai bahasa Inggeris, baik dari segi percakapan dan juga penulisan.

Pelajar di sekolah antabangsa juga turut didedahkan kepada penggunaan bahasa Inggeris yang betul. Dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di sekolah dapat membantu pelajar untuk masa depannya ketika di kolej dan juga di alam pekerjaan.

Diiktiraf oleh dunia

Semua kurikulum dan program; Kurikulum Nasional UK, IGCSE, A Levels, Kurikulum Amerika dan Baccalaureate Antarabangsa (IB) adalah dikenali dan diiktiraf. Kurikulum-kurikulum ini ditawarkan secara meluas di Malaysia. Bukan itu sahaja, kurikulum lain seperti New South Wales Board of Studies Syllabus, kurikulum Ontario dan Central Board of Secondary Education, New Delhi- juga ditawarkan di sini. Dengan memilih salah satu daripada kurikulum antarabangsa yang ada, anak anda akan mudah untuk diterima masuk ke universiti-universiti lain di seluruh dunia.

Kemahiran komunikasi dan memahami kebudayaan

Sekolah antarabangsa dipenuhi dengan pelajar-pelajar dari seantero dunia. Dengan ini, anak anda akan diberi peluang untuk berkomunikasi dengan semua pelajar yang boleh bercakap dalam bahasa berbeza. Ini berita baik untuk anak anda kerana dia boleh belajar bahasa asing selain yang diwajibkan (bahasa Inggeris) di sekolah. Malah, anak anda juga boleh mempelajari pelbagai jenis budaya di sekolah antarabangsa- ini yang anda tidak dapat perolehi di sekolah biasa.

Ini juga merupakan peluang berharga untuk masa depan anak anda, contohnya jika dia berpeluang untuk menyambung pelajaran ke universiti luar negara atau semasa di alam pekerjaan, yang memerlukannya berkomunikasi dengan pelanggan dari pelbagai negara.

Kurikulum tambahan yang bermanfaat

Selain menawarkan sistem akademik yang bagus, sekolah antarabangsa juga menyediakan pelbagai pilihan kurikulum tambahan, seperti sukan indoor dan outdoor, kelas muzik, tarian, lakonan dan pelbagai lagi bagi menjanjikan keseronokan kepada pelajar, pada masa yang sama memberikan kemahiran dan pembelajaran.

Penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum dapat meningkatkan tahap keyakinan pelajar dan seterusnya mencungkil serta memantapkan lagi bakat dan kemahiran sosialnya, sekali gus kualiti sebegini diperlukan semasa anak anda ingin memohon pekerjaan. Di sini juga, bakat anak anda dapat dicungkil dan dikembangkan lagi.

Kurikulum tambahan yang ditawarkan di sekolah antarabangsa adalah lebih meluas dengan fasiliti yang lebih lengkap berbanding sekolah nasional. Penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti ini dapat mengembangkan kemahiran kendiri, kepimpinan dan sosial mereka sekali gus membantu mereka di alam pekerjaan. Dengan penyertaan yang aktif dapat meningkatkan peluang anak anda untuk diterima bekerja.