Tinggal di kawasan persekitaran yang kotor bermakna terdapat kemungkinan anda sekeluarga terdedah kepada pelbagai jenis kuman dan bakteria, dan sebahagiannya sudah tentu berbahaya kepada kesihatan keluarga anda. Walau bagaimana sibuk pun kehidupan anda, namun jangan ambil ringan tentang kebersihan rumah dan kawasan sekitar!

Rumahku, syurgaku!

Anda mungkin banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah. Akan tetapi, ingatlah bahawa ahli keluarga anda meluangkan kebanyakan masa mereka di rumah. Jadi, keadaan persekitaran di dalam rumah boleh mempengaruhi kesihatan mereka yang tinggal di dalamnya. Apatah lagi jika rumah anda turut dihuni oleh bayi dan kanak-kanak. Mereka amat berisiko tinggi untuk tidak sihat jika tinggal di kawasan yang tidak bersih. Justeru itu, persekitaran tempat tinggal perlu dititikberatkan supaya kesihatan setiap penghuni rumah tidak terjejas.

Adakah udara dalam rumah anda bersih?

Ramai yang beranggapan pencemaran hanya berlaku di luar rumah sahaja. Jangan tersilap, ya! Pencemaran dalam rumah juga boleh terjadi. Asap dari rokok dan dapur gas, bulu haiwan, debu, pewangi rumah, bauan dari bahan pencuci rumah dan banyak lagi, menyebabkan udara di dalam rumah anda tercemar, sekali gus boleh membahayakan kesihatan ahli keluarga anda. Udara yang tercemar di dalam rumah adalah lebih buruk kesannya kerana udara ini yang kita sedut setiap hari.

Berikut merupakan beberapa cara untuk anda meningkatkan kualiti udara di dalam rumah:

  • Penapis udara adalah satu pelaburan bijak kerana fungsinya untuk membersihkan udara yang kita hidu, membantu mengurangkan virus, bakteria, bau dan kulat di samping menyegarkan udara. Jika anda memiliki penapis udara, pastikan penapis dibersihkan mengikut jadual supaya fungsinya lebih berkesan.
  • Pilihlah lantai jubin atau marmar berbanding karpet bagi mengelakkan pengumpulan habuk dan debu.
  • Gunakan pembersih vakum yang mengandungi penapis HEPA yang berfungsi untuk memerangkap habuk sekali gus mengurangkan alergen di dalam rumah.
  • Bersihkan penyaman udara anda secara berkala. Sebaik-baiknya, selenggara penyaman udara anda sekurang-kurangnya dua kali setahun.
  • Pastikan bilah kipas seiling dan kipas meja dibersihkan selalu kerana kawasan ini mudah untuk menarik habuk.

Bekalan air yang selamat dan bersih

Air adalah sumber penting yang kita gunakan setiap hari. Jadi, menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan air yang digunakan setiap hari adalah bersih dan selamat untuk diminum atau untuk kegunaan harian. Jangan terlalu yakin bekalan air di rumah anda sudah bersih. Cara paling mudah untuk mendapatkan air yang selamat adalah dengan memasak air sebelum minum. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika anda memasang penapis air untuk mendapatkan kualiti air bersih di kediaman anda. Alat penapis air berfungsi untuk menyingkirkan rasa payau pada air dan menyahwarna serta bendasing yang ada pada air.

Pastikan aliran udara di rumah

Ventilasi atau aliran udara penting kerana fungsinya bukan sahaja mengoptimakan tahap kelembapan di dalam rumah malah untuk memastikan bau-bauan yang tidak menyenangkan tidak terkurung di dalam rumah.

Cubalah cara ini untuk memastikan peredaran udara di rumah anda baik:

  • Buka tingkap setiap hari untuk memastikan udara di dalam rumah berpindah ke luar.
  • Pasang kipas pengalih udara bagi menghilangkan lembapan yang tidak elok dan menyahbau.
  • Baiki kerosakan yang disebabkan oleh kulapok atau kebocoran.

Halau nyamuk

Bukan sekadar serangga biasa, nyamuk amat berbahaya kerana boleh menyebabkan penyakit seperti demam denggi dan zika yang mana boleh membawa maut. Jauhkan nyamuk daripada kawasan tempat tinggal anda dengan mematuhi langkah di bawah:

  • Periksa bekas yang boleh menakung air
  • Buang atau tutup bekas yang bertakung air
  • Pastikan longkang diselenggara dengan baik dan tidak tersumbat
  • Gunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  • Elakkan gigitan nyamuk dengan menyapu krim atau ubat penghalau nyamuk
  • Tukar air dalam pasu bunga dengan kerap