Apa reaksi anda apabila anak tiba-tiba bertanyakan tentang seks?

Ramai ibu bapa mengelak untk berbicara tentang seks kepada anak kerana menganggap anak masih terlalu kecil untuk memahaminya. Benarkah cara tersebut? Bersama dengan Pakar Psikologi Klinikal dari Pusat Perubatan Sunway, Jessie Foo Xiang Yi merungkai tentang pendidikan seks di kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa tidak selesa dan sering mengelak untuk membicarakan tentang seks, terutama apabila ditanya oleh anak-anak mengenainya. Jika anak-anak anda bertanyakan tentang perkara ini, tanya dahulu soalan asas sebelum anda menjelaskan lebih lanjut mengenai pendidikan seks. Tanya anak anda dengan tenang dan lemah lembut, “Apa yang membuatkan adik bertanya tentang perkara ini?” Jawapan anak anda akan membantu anda untuk mengukur sejauh mana penerangan yang perlu anda berikan kepada mereka dan had pengetahuan yang perlu mereka ketahui di tahap umur mereka.

Berapa banyak penerangan anda kepada anak tentang pendidikan seks juga bergantung kepada anak anda. Jika mereka sudah berpuas hati dengan jawapan yang anda berikan dan tidak bertanyakan soalan lanjut, tandanya anda mungkin sudah memberikan penerangan yang secukupnya yang ingin mereka ketahui. Walau bagaimanapun, jika mereka bertanyakan soalan lain, anda boleh terus berikan penerangan kepada mereka. Namun, tidak semestinya anda perlu menjelaskan perkara ini dengan terperinci. Hanya jawapan yang ringkas dan pendek sudah mencukupi.

Kanak-kanak yang sudah bersekolah sepatutnya sudah tahu akan asas tentang perkara-perkara sosial dan privasi serta had dalam perhubungan. Mereka sepatutnya faham tentang sentuhan yang selamat dan sentuhan yang tidak selamat.

Selain itu, kanak-kanak di usia ini juga perlu tahu tentang peranan setiap organ dalam tubuh manusia termasuklah tentang hubungan antara lelaki dan perempuan. Walau bagaimanapun, setiap ibu bapa disarankan untuk mendapatkan buku pendidikan seks yang sesuai bagi membantu ibu bapa untuk menerangkan perkara yang sepatutnya kepada kanak-kanak.