Salah satu kerisauan terbesar ibu bapa dalam proses membesarkan anak adalah tentang perkara pemilihan sekolah. Sekolah yang baik dapat menjamin masa depan si anak selain membentuk sahsiah dan peribadi mereka. Justeru itu, ramai ibu bapa yang amat menitik-beratkan hal pemilihan sekolah untuk permata mereka.

Trend sekolah antarabangsa

Trend menghantar anak ke sekolah antarabangsa kini semakin meningkat. Menganggap pendidikan adalah pelaburan terbaik dalam aspek membesarkan anak-anak, ramai ibu bapa yang begitu menitik-beratkan soal pemilihan sekolah. Buktinya, peratusan kemasukan ke sekolah antarabangsa di negara ini meningkat saban tahun. Ditambah pula dengan pengumuman oleh pihak kerajaan tentang keputusan memansuhkan kuota 40 peratus enrolmen pelajar tempatan ke sekolah antarabangsa, menyebabkan ramai ibu bapa yang berebut-rebut ingin memasukkan anak mereka ke sekolah antarabangsa.

Bagi mereka yang masih kurang arif tentang sekolah antarabangsa di Malaysia, teruskan membaca kerana selepas ini mungkin anda akan terfikir untuk memasukkan si kecil anda ke sekolah ini. Sekolah antarabangsa di sini menawarkan kurikulum antarabangsa yang berbeza dengan kurikulum kebangsaan. Tambahan pula, kebanyakan sekolah antarabangsa mengamalkan dasar pendidikan antarabangsa yang menawarkan program seperti Baccalaureate Antarabangsa dan kurikulum British, yang tentunya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sekolah antarabangsa di Malaysia mula dibuka kepada pelajar yang mempunyai ibu bapa yang bekerja di kedutaan, pertukaran kerja di syarikat multi-nasional dan penduduk asing yang menetap di negara ini. Walau bagaimanapun, situasi mula berubah apabila kerajaan mula membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk belajar di sini. Justeru itu, ramai ibu bapa yang berkemampuan memilih untuk menghantar anak mereka ke sini, di mana jumlah kemasukan pelajar tempatan meningkat tahun demi tahun.

Bersediakah anda?

Jika ditanya pada mana-mana ibu bapa, tentu ramai yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa. Walau bagaimanapun, banyak faktor perlu dipertimbangkan bagi mendapatkan keputusan yang terbaik dalam memilih pendidikan anak-anak. Berikut merupakan perkara-perkara yang mungkin akan mempengaruhi keputusan anda:

Kos

Faktor terbesar yang sering dibicarakan apabila bercakap tentang sekolah antarabangsa ialah kos pengajian. Jika anda memang bercadang untuk menyekolahkan anak anda di sekolah antarabangsa, anda perlulah bersedia dari segi kewangan kerana bukan hanya yuran pendidikan sahaja yang perlu anda bayar, bahkan juga anda perlu menyediakan wang untuk kegiatan luarnya. Sebagai contoh, lawatan sambil belajar yang dianjurkan di sekolah antarabangsa bayarannya lebih mahal daripada sekolah nasional. Jika anak anda sudah melangkah ke tahap dua sekolah rendah, lawatan ke luar negara adalah aktiviti tahunan yang akan dibuat oleh pihak sekolah. Jadi, bersedialah untuk itu.

Fikir! Jika anda berhasrat menyekolahkan anak di sekolah antarabangsa, anda tidak perlu memikirkan wang tambahan untuk menghantarnya ke pusat tuisyen kerana wang pengajian yang anda bayar sudah merangkumi bayaran untuk tuisyen.

Akreditasi

Anda perlu memberi perhatian kepada perkara ini jika anda berhasrat untuk menyekolahkan anak ke sekolah antarabangsa. Akreditasi ialah akta yang memantau program sekolah dan persekitaran pembelajarannya. Badan pentauliahan biasanya bebas daripada kementerian pendidikan sesebuah negara.

Contohnya, sekolah yang menawarkan peperiksaan IGCSE perlu benar-benar mendapat akreditasi salah satu daripada tiga badan pentauliahan; iaitu Lembaga Peperiksaan Antarabangsa Cambridge, Edexcell atau AQA.

Semasa anda meninjau sekolah yang diinginkan, ringankan mulut untuk bertanya mengenai akreditasi yang mereka perolehi. Kebanyakan sekolah antarabangsa terkemuka akan memastikan akreditasi mereka sentiasa dikemaskini.

Dekat atau jauh?

Adakah sekolah antarabangsa yang anda inginkan menyediakan kemudahan asrama keada pelajar? Jika ya, anda tidak perlu runsing untuk memikirkan tentang masalah pengangkutan anak anda. Akan tetapi, jika sekolah tersebut tiada asrama dan anda ‘sukarela’ untuk menghantar dan mengambil anak setiap hari di sekolah, anda perlu memikirkan faktor kedekatan tempat tersebut dari rumah anda. Kedekatan sekolah dengan rumah adalah amat membantu bagi menjimatkan masa selain mengurangkan tekanan yang perlu dihadapi jika berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas.

Selain daripada faktor kedekatan, anda juga perlu memikirkan faktor persekitaran seperti kemudahan awam yang disediakan. Selalunya, sekolah antarabangsa dibina di kawasan yang mudah diakses dengan kemudahan awam. Lihat sama ada sekolah itu dekat dengan kemudahan bas, kereta api atau komuter, teksi dan sebagainya. Perhatikan juga persekitaran sekitar sekolah kerana anak anda akan menghabiskan masa lima hingga lapan jam setiap hari di situ.