Ingin menghantar anak anda ke sekolah antarabangsa? Tahukah anda, setiap sekolah antarabangsa menyediakan kurikulum yang berbeza. Buatlah pilihan yang bijak demi masa depan anak anda.
Table of Contents
Kurikulum Amerika/American Curriculum
Kurikulum Amerika (AC) menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang akan membentuk pengetahuan, kemahiran dan sikap mereka. Kurikulum ini bertujuan membentuk individu yang berjaya dan bertanggungjawab yang dapat menyumbang kepada masyarakat dunia. Pelajar dilengkapkan dengan kemahiran- kemahiran penting dalam bidang pembelajaran di mana mereka turut diberi fleksibiliti dan ruang kebebasan.
Sekolah yang menggunakan kurikulum AC menggalakkan pelajarnya untuk membentuk kemahiran, membina hubungan positif dengan guru dan rakan-rakan di samping mendidik mereka untuk bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri. Matlamat utama dalam peringkat awal perkembangan pelajar adalah untuk membina asas yang kukuh sebagai persediaan pelajar untuk tahap seterusnya.
Pendidikan Amerika menyediakan tiga peringkat iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi, bermula dari Gred 1 hingga Gred 12 (umur 6 tahun hingga 17 tahun). Pelajar yang berjaya bergelar graduan AC dari Gred 12 akan dianugerahkan dengan Diploma Sekolah Tinggi Amerika, yang diiktiraf oleh universiti-universiti seluruh dunia sebagai kelayakan masuk yang sah.
Tahukah Anda?
International School of Kuala Lumpur (ISKL) merupakan sekolah antarabangsa pertama yang menawarkan kurikulum Amerika untuk pelajar ekpatriat.
Kurikulum Australia
Sistem pendidikan kurikulum Australia memfokuskan tentang kemahiran belajar kanak-kanak, pemikiran pada tahap tinggi, penyelesaian masalah, tingkah laku, kecenderungan dan kemahiran umum yang dipercayai menjadi kunci penting untuk berjaya dalam dunia global masa kini. Kurikulum Australia adalah salah satu sistem pendidikan yang membenarkan kanak-kanak berbakat dan mereka yang memiliki IQ yang tinggi untuk terus maju menerusi Program Bakat. Dalam kursus ini, kanak-kanak diberikan Rancangan Pembelajaran Individu yang direka oleh guru khas Program Bakat dan guru terlatih mengikut tahap kebolehan dan kecergasan mereka.
Setiap kanak-kanak di sini dianggap istimewa dan memiliki kemampuan dan keperluan yang berbeza dalam kelas. Justeru itu, latihan akan diberikan dalam kerja yang berasingan supaya pelajar cemerlang dalam bidang mereka, di samping memupuk hubungan persahabatan dan kerjasama di dalam kelas. Cara pengajaran ini membantu pelajar yang pintar untuk lebih maju dan membimbing pelajar yang lemah untuk lebih berjaya.
Pendidikan Australia menyediakan tiga peringkat iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi, bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 12 (umur 7 tahun hingga 18 tahun). Kesemua graduan kurikulum ini dianugerahkan Sijil Sekolah Tinggi (HSC) yang secara automatiknya membolehkan mereka memulakan pengajian tinggi di Australia atau mana-mana universiti di seluruh dunia termasuklah di New Zealand, Malaysia, Kanada, United Kingdom, Amerika Syarikat dan pelbagai negara Eropah lain.
Tahukah Anda?
AISM adalah satu-satunya sekolah antarabangsa di negara ini yang menawarkan kurikulum Australia.
Kurikulum Baccalaureate Antarabangsa/International Bacclaureate
Program Baccalaureate Antarabangsa (IB) adalah kelayakan antarabangsa yamg diiktiraf oleh pakar akademik di seluruh dunia. Ia merangkumi empat program pendidikan berkualiti tinggi yang bertujuan mengembangkan minda, membentuk individu yang penyayang dan bertanggungjawab, serta anak muda yang dapat menyumbang kepada dunia menerusi pemahaman dan penghormatan antara budaya.
Kurikulum IB menawarkan tiga peringkat iaitu Tahun Rendah, Tahun Menengah dan Program Diploma serta terbuka kepada pelajar berusia 3 tahun hingga 19 tahun. Matlamat utama program IB adalah untuk mengembangkan pemikiran antarabangsa pelajar, mengenali dasar kemanusiaan dan bersama-sama menjaga dunia dengan cara yang harmoni. IB menawarkan program berkualiti tinggi dalam pendidikan antarabangsa di semua sekolahnya di seluruh dunia.
Program Diploma IB merupakan program akademik yang seimbang dan mencabar dalam pendidikan dunia dengan membekalkan peperiksaaan akhir yang dapat menyediakan pelajar untuk berjaya di universiti dan kehidupan mereka. Program Diploma menyediakan pelajar untuk penglibatan yang efektif dalam menghadapi masyarakat global dengan cara:
- berkembang dari segi fizikal, intelektual, emosi dan etika
- mengembangkan kemahiran dan sikap positif terhadap pembelajaran sebagai persediaan untuk mereka memasuki pengajian tinggi
- mempelajari sekurang-kurangnya dua bahasa (tujuannya untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap budaya dan meluaskan sikap pemikiran antarabangsa)
- meningkatkan perkembangan kendiri dan interpersonal melalui perkhidmatan, tindakan dan kreativiti
Kurikulum British/UK
Kurikulum British (juga dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan England/ UK) adalah lambang unggul pendidikan antarabangsa. Pendidikan British diperakui berprestij dan berkualiti di serata dunia.
Kurikulum British direka bercirikan penstrukturan yang dapat memenuhi keperluan pelajar pintar termasuk aspek akademik dan kokurikulum. Meskipun akademik amat dititikberatkan di sekolah, namun dalam kurikulum British, pelajar akan dibantu dalam membentuk personaliti mereka.
Kurikulum British menawarkan tiga peringkat iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Pra Universiti serta terbuka kepada pelajar berusia 5 tahun hingga 20 tahun. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah antarabangsa yang mengamalkan kurikulum ini turut menawarkan peringkat Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak/ Tadika.
Sekolah turut menerapkan nilai-nilai tambahan kepada graduan British seperti berdikari dan membuat keputusan sendiri, kritis dalam mengeluarkan pendapat, mempunyai interaksi yang baik dengan masyarakat, bertanggungjawab dan aktif dalam pendidikan jasmani.
INFO
Permintaan terhadap kurikulum ini begitu banyak sehingga lebih tiga juta kanak-kanak di serata dunia didaftarkan di bawah kurikulum ini. Bilangan kemasukan pelajar mengikuti kurikulum British dijangka akan terus meningkat tahun demi tahun berikutan permintaan daripada ekspatriat dan juga masyarakat tempatan.
CBSE Kebangsaan (CBSE-i)
CBSE Kebangsaan (CBSE-i) adalah kurikulum global yang direka untuk menangani isu antarabangsa, isu tempatan dan budaya. Ia menggalakkan pemikiran kritis, kreatif, kemahiran komunikasi yang berkesan, kemahiran hubungan sesama manusia, kerjasama serta kemahiran media. Kesemua ini dibuat di dalam persekitaran berpusat yang kurang tekanan.
CBSE-i juga sangat popular bagi pelajar yang mempunyai ibu bapa yang kerap berpindah kerana sekolah CBSE boleh didapati di lokasi-lokasi utama di seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah. Kurikulum intensifnya menyediakan pelajar untuk peperiksaan kemasukan seperti IIT-JEE, PET dan PMT di India.
Kurikulum Islamik
Kurikulum Islamik atau kurikulum bahasa Arab menyediakan pelajar dengan kemahiran akademik dan melengkapkan diri sebagai Muslim sejati. Berasaskan nilai islam, pelajar dibentuk untuk menjadi Muslim dan Muslimah yang berpendidikan bagi menghadapi cabaran dunia moden kini.
Kurikulum Ontario/Kanada
Diploma Sekolah Menengah Ontario (OSSD) adalah kelayakan sekolah menengah yang paling dihormati dan diterima di universiti-universiti peringkat tertinggi di seluruh dunia. OC berdasarkan pendekatan peribadi praktikal dan aktiviti bilik darjah yang relevan untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar. Pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti interaktif dan pembelajaran secara terus bagi menggalakkan kemahiran penyelidikan, komunikasi, pembentangan dan prestasi.
Tahukah Anda?
Sunway International School (SIS) adalah sekolah antarabangsa tunggal di Malaysia yang menawarkan program pembelajaran Kanada, untuk pelajar gred 7 hingga 11.