Adakah anda berhasrat untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa?
Namun, rancangan anda tergendala kerana memikirkan si anak juga perlu mendapat pendidikan formal tentang Islam di sekolah. Usah risau Mama! Ketahui 5 alasan utama untuk masukkan permata hati anda ke sekolah antarabangsa Islamik!
Sekolah antarabangsa Islamik kini menjadi semakin popular di kalangan ibu bapa khususnya yang beragama Islam kerana ibu bapa sedar pembelajaran akademik dan agama perlu seimbang untuk masa depan anak-anak.
Table of Contents
5 Alasan Belajar di Sekolah Antarabangsa Islamik
Kaifa haluka? How Are You? Apa Khabar?
Seronoknya bergelar pelajar sekolah antarabangsa Islamik apabila anak anda dapat menguasai tiga bahasa penting; bahasa Arab, bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan di rumah, sementara dua lagi bahasa iaitu bahasa Arab dan Inggeris digunakan secara rasmi di dalam kelas dan juga di sekolah.
Kurikulum antarabangsa
Rata-rata sekolah antarabangsa Islamik turut menggunakan kurikulum antarabangsa lain seperti Baccalaureate Antarabangsa sebagai kurikulum bersama. Perkara ini turut memberi manfaat kepada pelajar kerana akan memudahkan mereka untuk menyambung pengajian di mana-mana universiti terkemuka di dalam dan luar negara.
Muslim sejati
Belajar di sekolah antarabangsa Islamik membolehkan anak anda untuk mendapat ilmu agama dan melengkapkan diri sebagai Muslim sejati. Para pelajar akan dibentuk untuk menjadi Muslim yang berpendidikan bagi menghadapi cabaran dunia moden kini. Antara ilmu agama yang akan dipelajari di sini ialah membaca dan memahami al-Quran, Tauhid, Feqah, Sirah Nabi, Akhlak, Hadith dan memahami serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.
Tenaga pengajar bertauliah
Sudah namanya sekolah antarabangsa, sudah tentu pemilihan tenaga pengajarnya juga bukan calang-calang. Di sekolah atarabangsa Islamik, kanak-kanak akan diberi tujuk ajar oleh guru berpengalaman dan bertauliah dari universiti-universiti Islam terkemuka.
Segala-galanya antarabangsa
Sama seperti sekolah antarabangsa lain, di sini juga pelajar akan mendapat kemudahan terbaik seperti kemudahan bilik darjah yang luas dan selesa, makmal sains dan komputer, padang, gelanggang badminton, kolam renang, auditorium dan perpustakaan.
Berikut merupakan senarai 3 sekolah antarabangsa Islamik yang ada di Lembah Klang:
1. Idrissi International School
Satu-satunya sekolah antarabangsa yang berkonsepkan eko-Islamik di Malaysia. Dibangunkan oleh Genius Aulad International, sekolah ini membekalkan pengalaman rumah di sekolah yang cemerlang dan menjadikan alam semula jadi sebagai alat pembelajaran. Selain itu, bangunan di Idrissi juga dibina bercirikan elemen mesra alam dan mengikut piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI).
2. Greenview Islamic School
Menggunakan kurikulum Antarabangsa Cambridge untuk sekolah rendah dan sekolah menengah, Greenview Islamic School menekankan asas agama Islam dan penggunaan bahasa Inggeris di dalam kelas dan sekolah.
3. Baseerah International School
Berteraskan pengajian Islam dan Arab, Baseerah International School menumpukan kepada pendekatan nilai-nilai Islam di dalam kelas mahupun di luar.