Anda telah membuat pilihan untuk menghantar anak anda pergi ke prasekolah A. Walau bagaimanapun, anda masih waswas adakah anak anda mendapat segala yang diperlukan untuk perkembangannya. Ketahui tanda-tanda anda telah memilih prasekolah yang tepat untuk si comel anda.
Table of Contents
Pentingkah pendidikan awal?
Pendidikan awal adalah penting bagi kanak-kanak kerana ketika inilah otak mereka sedang berkembang pesat. Otak kanak-kanak di usia dua hingga enam tahun umpama span yang mampu menyerap cecair dengan cepat. Secara alaminya, kanak-kanak gemar meneroka dunia di sekeliling mereka. Mereka juga peka dengan perkara yang berlaku pada persekitaran.
Justeru itu, tidak hairanlah mengapa ibu bapa kini sedaya-upaya mencari prasekolah yang terbaik untuk anak mereka bagi menyediakan anak ke arah pendidikan sebenar di sekolah.
Teruskan atau cari lain?
Antara keputusan penting yang perlu anda buat sebagai ibu bapa ialah mencari prasekolah yang terbaik untuk anak. Hal ini kerana prasekolah adalah titik penting untuk pendidikan awal kanak-kanak. Keputusan yang tepat akan membawa anak anda ke arah laluan yang betul untuk pembelajaran seumur hidup mereka di samping mendekatkan peluang mereka untuk ke sekolah dan kolej yang bagus serta mendapat masa depan yang cemerlang.
Bagaimana pula jika keputusan anda silap? Tentu sekali sedikit sebanyak akan mempengaruhi perkembangan si manja. Penerimaan kanak-kanak di usia awal mereka secara tidak langsung dapat membentuk perkembangan minda si manja.
Jika anda sudahpun menghantar anak anda ke prasekolah, adakah anda yakin pilihan anda itu tepat? Ketahui tanda-tanda anda telah membuat pilihan yang bijak untuk masa depan anak anda. Kini, anda tidak perlu berganjak daripada keputusan awal anda lagi!
Pelajaran
1. Tujuan ibu bapa menghantar anak ke prasekolah adalah supaya anak mendapat pendedahan yang sepatutnya untuk perkembangan minda mereka. Apakah yang anak anda dapat belajar di prasekolahnya? Ingat! Pembelajaran untuk kanak-kanak bukanlah tertumpu kepada buku semata-mata. Jika anak anda dapat menyanyikan ABC, Alif, Ba, Ta atau 1, 2, 3 sudah memadai anak anda belajar sesuatu di sekolah.
Sikap
2. Lebih lima bulan anak anda bersekolah, apakah perubahan dari segi sikapnya? Adakah anak anda kini sudah pandai mengemas barang mainannya? Atau sekurang-kurangnya sudi berkongsi makanan dengan adiknya yang kecil. Jika si manja menunjukkan perubahan sikap yang positif, ini salah satu petanda baik pilihan prasekolah anda tepat!
Hubungan
3. Adakah anak anda sering bercerita tentang aktiviti yang dilakukan oleh gurunya di sekolah? Hubungan yang baik antara pelajar dan cikgu penting untuk merangsang minat dan membina semangat kanak-kanak untuk ke sekolah serta belajar. Perhatikan layanan guru terhadap anak anda. Jika guru mengenali anak anda dan memberitahu perkembangan anak anda di prasekolah, kekalkan anak anda belajar di situ.
Kemudahan dan persekitaran
4. Selain memandang kepada faktor perkembangan anak, anda juga perlu melihat kepada kemudahan dan persekitaran yang terdapat di sekolah. Selama setengah tahun lebih anak anda di situ, tanya anak anda adakah dia menggunakan kemudahan yang disediakan di prasekolah seperti taman permainan, bola, kad imbasan atau kolam renang?
Jika anak anda gembira dan menikmati kemudahan yang tersedia, tidak salah andai anda kekalkan dia di prasekolah tersebut. Ini juga bermakna guru di sana menggunakan semua kemudahan seperti yang dijanjikan semasa anda mula mendaftar anak ke prasekolah.