Berikut merupakan panduan yang boleh anda ikuti bagi mengenali dan memahami bahasa si manja. Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa setiap bayi mempunyai bahasa dan gaya yang berbeza, justeru anda mungkin akan mengalami situasi yang berlainan untuk setiap bayi anda. Kami kongsikan dengan anda panduan umum tentang gaya tubuh si manja.

Pandangan mata tepat ke arahmu

– Jika anda lihat si manja tersenyum dan memandang anda dengan tenungan yang lama, sedarilah bahawa anak anda sedang cuba ingin mengecam wajah anda. Bukan itu sahaja, ini juga bermakna dia memberitahu anda bahawa dia gembira melihat muka anda. Saat anda lihat dia tersenyum, berboraklah dengannya ataupun dendangkannya lagu-lagu dodoi untuk menggembirakan si manja.

Pandangan merata 

-Pernahkah anda lihat anak anda memandang sekeliling seolah-olah tercari-cari sesuatu. Mata anak anda meliar memandang kerana dia sedang meneroka persekitarannya. Jika ada bunyi di sekellilingnya, dia ingin mencari-cari arah bunyi tersebut.

Gerakan tangan

– Jika anda lihat si manja menggoyang-goyang atau menggoncang tangannya ke kiri dan kanan, itu membawa maksud dia sedang gembira.

Menggosok telinga

– Ada kalanya anda akan lihat si kecil meraba-raba telinganya seolah-olah dia tidak selesa dengan telinganya. Jangan terus menganggap bahawa si manja anda mengalami masalah jangkitan pada telinga kerana ada kalanya bayi berbuat demikian kerana mereka baru sedar bahawa terdapat anggota tubuh lain di sebelah kepala mereka.

Hentakan kaki

– Bayi amat gemar menendang-nendang atau menghentakkan kakinya bagi menyampaikan maksud bahawa dia sedang teruja. Namun, ia juga mungkin bermakna dia tidak selesa dengan lampinnya. Jadi, periksalah si manja anda.

Membebel

– Jika anda lihat bayi mengeluarkan bunyi ‘bbbbb’ dengan keadaan air liurnya bertakung pada mulut, ia bermakna si kecil sedang cuba untuk bercakap. Dia akan bermain dengan suaranya untuk memberitahu anda sesuatu dan juga mengajak anda berborak.